SHAH ALAM: Isu 'pembekuan' peruntukan kepada ADUN bukan hanya terjadi
kepada PAS tetapi juga wakil rakyat daripada parti lain, kata
Pesuruhjaya PAS Selangor, Sallehen Mukhyi.
Sallehen berkata beliau mendapat makluman bahawa masalah kelewatan
mendapat peruntukan bagi membolehkan ADUN-ADUN menjalankan tugas wakil
rakyatnya turut dialami parti lain dalam Pakatan Harapan (PH).
"Peruntukan belum sampai ke pejabat daerah menyebabkan kos program yang
sudah berjalan belum dapat dituntut lagi, masalah itu bukan hanya
kepada ADUN PAS sahaja tetapi semua ADUN lain," katanya dipetik akhbar
Sinar Harian.
Sallehen dalam pada itu mengesahkan mahu mengadap Sultan Selangor
berhubung dakwaan 'pembekuan' peruntukan untuk ADUN PAS, namun
memberitahu mahu menunggu surat rasmi daripada Menteri Besar, Datuk Seri
Mohamed Azmin Ali terlebih dahulu.
"Benar, PAS Selangor bercadang mengadap Sultan Selangor tetapi belum
ditetapkan waktunya masih menunggu surat hitam putih daripada kerajaan
negeri dahulu," katanya.
Jelas Sallehen lagi Azmin sebelum ini tidak pernah menyentuh isu
kelewatan peruntukan biarpun khabar angin bersabit perkara itu sudah
kedengaran pada hujung tahun lalu.
"Hanya khabar angin mengenai pembekuan peruntukan itu diterima
penghujung tahun lalu namun perkara itu tidak pernah dibincang atau
diluahkan Azmin kepada PAS Selangor.
"Sekiranya pembekuan peruntukan itu berlaku, ia adalah sesuatu yang
tidak boleh diterima kerana ADUN PAS mewakili kerajaan negeri yang
dilantik oleh rakyat pada PRU13," katanya.
Tambahnya, pembekuan peruntukan itu hanya boleh dibuat selepas pembubaran Parlimen kelak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan