Isnin, 29 Januari 2018

7 bom lama ditemui di Terengganu pada 2017

 
Terengganu bukanlah negeri yang merekodkan penemuan bom lama tertinggi tetapi risiko itu tetap ada memandangkan sering mengalami musim tengkujuh ekstrem. 


terangganu_bom_lama_600


KUALA TERENGGANU: Sebanyak 7 bom lama ditemukan di Terengganu hasil 3 laporan dari daerah Kemaman sepanjang 2017 dan kebanyakannya dijumpai di ladang kelapa sawit, kata Komander Unit Pemusnahan Bom Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, ASP Amin Sidek.

Amin berkata walaupun Terengganu bukanlah negeri yang merekodkan penemuan bom lama tertinggi tetapi risiko itu tetap ada memandangkan negeri ini sering mengalami musim tengkujuh ekstrem.

“Episod hujan lebat yang berterusan dalam tempoh lama, hakisan dan banjir besar boleh membongkar bom lama ke permukaan bumi dan ini agak merisaukan kita setiap kali musim tengkujuh.

Namun, kita bersyukur kerana tiada sebarang kes kecederaan atau kemusnahan harta benda disebabkan bom lama yang dijumpai di seluruh Terengganu setakat ini,” katanya ketika ditemu bual Bernama.

Beliau berkata tidak mustahil masih ada lagi bom lama ”tersembunyi jauh dalam perut” bumi Terengganu ini namun belum dijumpai.

“Masih terlalu banyak kawasan belum diterokai di Terengganu bagi tujuan pembangunan… kemungkinan bom lama akan ditemui ketika melakukan kerja di tapak pembinaan sangat tinggi seperti mana yang berlaku di negeri maju seperti Johor, Selangor dan Kuala Lumpur sebelum ini,” katanya.

Beliau sangat berharap orang ramai tidak sesekali menyentuh atau mengalihkan bom lama yang dijumpai kerana ia tiada tarikh tamat tempoh dan letupan boleh berlaku bila-bila masa sahaja.

“Pekerja di tapak pembinaan, atau mereka di lokasi baru pulih daripada banjir atau kawasan hakisan misalnya perlu lebih berhati-hati kerana mereka adalah golongan berisiko menemui bom lama ini.

Sekiranya terjumpa, jangan panik dan terus hubungi talian kecemasan 999 untuk membolehkan Unit Pemusnah Bom menjalankan tugas mereka dengan pantas dan selamat,” katanya.

“Nyawa kita akan jadi yang terakhir, kepentingan awam sentiasa diutamakan” katanya ketika ditanya adakah beliau pernah berdepan dengan situasi cemas ketika dalam usaha mematikan bom.

Amin yang mempunyai pengalaman 19 tahun dalam bidang persenjataan dan bom, berharap orang ramai tidak cuba ”mempermainkan” anggota polis dengan cerita penemuan bom yang sengaja direka.

“Ada ketikanya kami terpaksa melalui pelbagai liku dan jarak jauh hanya kerana mencari kawasan yang dikatakan dijumpai bom tetapi tiada apa-apa, dan alamat tidak lengkap ekoran rekaan itu membuatkan kami melilau tanpa arah,” katanya.

Amin, yang turut mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam menghapuskan bom tidak menafikan beberapa kali berdepan panggilan palsu dan lebih menghampakan apabila mengetahui ia dilakukan kanak-kanak.

“Janganlah sewenang-wenangnya membuat panggilan palsu. Ibu bapa perlu beri kesedaran kepada anak-anak tentang bahaya membuat panggilan palsu sebegini, apatah lagi membabitkan tugasan anggota polis,” katanya.

Meskipun berdepan keadaan sebegitu beliau tetap berharap orang ramai tidak melupakan tanggungjawab membuat laporan tepat dan bertekad untuk melindungi orang ramai.

Tiada ulasan: