Rabu, 29 Mac 2017

Najib Siap Sedia Jual Negara Pada India Pula!!

Suara Kebenaran




Perjanjian perdagangan antara Malaysia dan India bernilai RM 30 billion yang akan dilaksanakan tidak lagi, memberikan indikasi bahawa Najib akan sekali lagi menjual kepentingan negara ini kepada negara luar – selepas China dan Arab Saudi.

Apa lagi yang tinggal kepada rakyat negara ini bila semua hasil yang ada dibahagi-bahagikan kepada negara-negara luar berkuasa besar yang mempunyai kepentingan komersial semata-mata.

Sekalipun tidak diperincikan perkara yang akan terlibat dalam pelaburan bernilai RM 30 billion ini, sudah tentu akan ada tanah di negara ini yang menjadi milik negara India seperti mana yang berlaku dalam pelaburan China di Bandar Malaysia dan Arab Saudi di Penggerang.

Apakah hasil dari pelaburan bernilai tinggi ini kepada rakyat Malaysia, tiada siapa tahu tapi yang kita tahu, tanah dah kena jual dulu.

Pakatan Harapan di Selangor tidak menyerahkan tanah atas nama pelaburan.  Ada banyak cara untuk mendapatkan pelabur luar, tidak semestinya dengan menjual tanah yang sepatutnya menjadi milik rakyat.

9 hingga 12 Oktober depan perbicaraan saman Maria Chin kepada Jamal Yunos

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan empat hari untuk mendengar saman fitnah oleh Pengerusi BERSIH Maria Chin Abdullah terhadap Ketua Umno Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos.
 
Peguam Maria, Melissa Sasidaran berkata tarikh perbicaraan ditetapkan pada 9 Oktober hingga 12 Oktober.
 
Di samping itu, hakim perbicaraan Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab juga menetapkan 22 Mei ini untuk pengurusan kes.
 
"Kedua-dua pihak perlu memuktamadkan dokumen yang akan digunakan semasa perbicaraan, jadi pengurusan kes ini adalah untuk memaklumkan mahkamah mengenainya," katanya kepada Malaysiakini selepas pengurusan kes hari ini di hadapan hakim.
 
Pada 27 Disember tahun lalu, mahkamah meminta Maria yang memfailkan saman terhadap pemimpin gerakan Baju Merah itu yang menuduh NGO berkenaan mempunyai kaitan dengan militan IS meninjau kemungkinan penyelesaian.
 
Bagaimanapun Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Januari lalu diberitahu bahawa Jamal masih belum mengemukakan sebarang cadangan atau tawaran kepada Maria.
 
Maria menyaman Jamal atas dakwaan BERSIH diresapi elemen kumpulan bersenjata IS.
 
Jamal membuat kenyataan itu dalam sidang media pada 28 September tahun lalu dan laporan polisnya berkaitan perkara itu pada 4 Oktober.
 
 

Bekas AJK Pergerakan Puteri bakal diumum Ketua Srikandi Bersatu

DALIA ISMAIL
Rina Mohd Harun Rina Mohd Harun Bekas Ahli Jawatankuasa Pergerakan Puteri Umno Malaysia Rina Mohd Harun bakal diumum secara rasmi dilantik, Ketua Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) pada 5 April depan.

 Perkara ini disahkan Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin walaupun dalam sidang media selepas  Mesyuarat  Pimpinan Tertinggi parti itu semalam, beliau enggan menamakan siapa Ketua Srikandi bakal diumumkan  parti itu.

Namun desas desus mengenai usahawan wanita muda ini yang bakal  mengetuai Srikandi   sudah tersebar di kalangan ahli parti dikhabarkan sejak beberapa bulan lalu kerana  Rina sudahpun menjalankan tugasnya untuk menyenaraikan barisan Exco Srikandi di peringkat pusat dan negeri.

Seperti kata Muhyiddin," beliau telah menjalankan tugas menamakan sesiapa yang sesuai untuk jadi ahli exco Srikandi pusat.

"Ahli Srikandi sebahagian sudah tahu  (ketua ) atas sebab tertentu kita umumkan  dengan pelantikan seluruh negeri..kita akan beritahu kemudian," ujarnya.

Rina turut kelihatan di ibu pejabat Bersatu (gambar ) selepas dipercayai turut menghadiri mesyuarat pimpinan tertinggi parti  itu semalam.

Rina adalah bekas Ketua Puteri Umno Bahagian Sepang (2004-2007) dan pernah menang bertanding bagi kerusi AJK Pergerakan Puteri (2009-2011) juga dilantik mengetuai Biro Keahlian dan Daftar Pemilih Puteri.
Dalam Bersatu,  Rina juga  akan dilantik sebagai Ketua Srikandi Negeri Selangor dan Ketua Srikandi Bahagian Sepang.

Jawatan Ketua Srikandi dalam Bersatu menimbulkan konflik apabila Anina Saadudin antara tujuh pengasas dan pengerak awal parti itu tidak dilantik ke jawatan itu sebaliknya, Anina secara rasmi diumumkan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT).

Anina SaadudinAnina SaadudinPada 25 Mac lalu Anina di dalam facebooknya menulis perkembangan terbaru bakal membawa khabar gembira kepada ke semua penyokong Bersatu kerana Ketua Srikandi yang baharu bakal diumumkan dalam masa terdekat.

"Untuk Srikandi PPBM, anda tahu bahawa sayap Srikandi itu begitu dekat di hati saya.
Sebagai satu-satunya pengasas parti dari kalangan wanita sudah pastilah saya sangat berkehendakkan supaya sayap yang saya usulkan sendiri untuk ditukarkan namanya sebagai sayap Srikandi ini akan terbang tinggi menjadi tulang belakang PPBM bagi menempuh PRU14.

"Saya penuh percaya bahawa Ketua Sayap baharu ini serta barisan kepimpinannya di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan akan menjadi nadi kekuatan utama segala jentera parti pada PRU14 nanti.

"Yakinlah bahawa pucuk pimpinan parti cukup arif dalam menganalisa ciri-ciri serta kredibiliti Ketua Srikandi PPBM," ujar Anina yang berpesan agar semua ahli dalam parti itu memberikan taat setia serta sokongan kepada bakal Ketua Srikandi yang akan diumumkan nanti walaupun tidak didedahkan nama Ketua Srikandi itu.

Salah seorang Ahli MPT Bersatu yang ditemui juga tidak menafikan bahawa Rina  bakal diumumkan untuk menerajui Srikandi Bersatu.

Terserah pada anggota untuk hidupkan semula PPS - Lim


Kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP menyerahkan kepada anggota Pasukan Peronda Sukarela (PPS) berhubung sama ada

untuk menghidupkan semula pasukan itu, berikutan keputusan Mahkamah Rayuan semalam yang mengisytiharkan bahawa PPS ditubuhkan secara sah.

Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata masih terdapat halangan terakhir yang membolehkan kerajaan persekutuan untuk merayu keputusan Mahkamah Rayuan itu dalam tempoh 30 hari.

Beliau berharap keputusan Mahkamah Rayuan itu, yang juga bermakna PPS boleh dihidupkan semula dan meneruskan aktivitinya, akan dihormati semua pihak.

"Kami menyerahkan perkara ini kepada anggota PPS kerana kami tidak tahu sama ada kerajaan persekutuan akan memohon penangguhan, bagaimanapun, sehingga tiba saat itu, anggota PPS boleh meneruskan aktiviti mereka," katanya kepada pemberita di George Town hari ini.

Dalam keputusannya semalam, Mahkamah Rayuan turut mengeluarkan perintah yang dipohon oleh kerajaan negeri untuk mengisytiharkan bahawa PPS bukanlah sebuah persatuan di bawah Akta Pertubuhan 1965.

PPS ditubuhkan pada 2011 oleh majlis mesyuarat kerajaan negeri Pulau Pinang, dengan matlamat membantu kerajaan negeri dalam memerangi jenayah dan menyediakan kebajikan, keselamatan umum serta keselesaan kepada penduduk Pulau Pinang.

Pada 22 Nov tahun lepas, Mahkamah Tinggi Pulau Pinang menolak semakan kehakiman oleh kerajaan negeri, dengan memutuskan bahawa penubuhan PPS adalah tidak sah disebabkan ia tidak didaftarkan mengikut Akta Pertubuhan.

Kerajaan Pulau Pinang pada 27 Jan 2015, memfailkan semakan kehakiman untuk mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri yang mengisytiharkan PPS sebagai sebuah pertubuhan haram. -Bernama


RELA kaji semula pengurusan senjata api

 
Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) menubuhkan 'pasukan petugas' untuk melaksanakan langkah jangka pendek dan panjang dalam menambah baik pengurusan senjata api ekoran kes kehilangan senjata
api milik Rela Selama, Perak.

RELA dalam satu kenyataanya hari ini berkata pasukan petugas berkenaan dianggotai pegawai dari pelbagai agensi yang antara lain berperanan mengkaji semula segala arahan termasuk manual pengurusan senjata api sedia ada.

Ia turut melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap senjata api, menambah baik stor penyimpanan senjata api, meningkatkan kemahiran anggota RELA dalam pengurusan persenjataan dan mengkaji keperluan jawatan tambahan bagi mengurus semua hal berkaitan senjata api, katanya.

Pasukan itu juga berperanan menubuhkan pasukan naziran yang terdiri dari pegawai Rela di ibu pejabat, Rela Negeri dan Pusat Latihan RELA  Malaysia, katanya.

"Langkah-langkah penambahbaikan jangka pendek dan panjang tersebut dijangka akan dapat menambah baik pengurusan senjata api Rela Malaysia," katanya.

RELA berkata ia akan memberikan kerjasama sepenuhnya kepada pihak polis dalam siasatan kes kehilangan senjata api itu.

"RELA Malaysia tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dan menyokong tindakan tegas diambil terhadap mereka," katanya.

Polis sebelum ini mengesahkan 26 laras senjata api milik RELA dikesan

hilang di stor Rela Wilayah Utara, Bukit Selambau, Sungai Petani, Kedah sejak awal bulan ini selepas semakan semula dilakukan. -Bernama


Tiada larangan untuk guru naik pentas pembangkang

Shawaliah Hadir
 
 
Semua parti dalam Pakatan Harapan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menawarkan khidmat bantuan guaman kepada kesemua guru yang terlibat untuk membela diri jika mereka berhasrat untuk melanjutkan isu ini ke mahkamah

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan sebagai penjawat awam tidak melarang pekerjanya bergiat aktif dengan parti pembangkang, justeru tindakan terhadap lima guru yang mengikuti program parti pembangkang baru-baru ini disifatkan Adun Sungkai A Sivanesan sebagai tidak wajar.

Sebaliknya kata Sivanesan yang juga merupakan seorang peguam, penjawat awam diarahkan untuk meletakkan jawatan sekiranya menjadi calon atau berperanan sebagai wakil dalam mana-mana pilihan raya.

“Apa yang terkandung dalam perintah am adalah jika seorang penjawat kerajaan ingin menjadi calon atau ejen kepada calon dalam pilihan raya umum atau pilihan raya kecil, mereka kena letak jawatan itu sahaja ketetapan yang ada.

“Tidak ada mana-mana yang sentuh berkaitan dengan berkempen atau berucap di atas pentas. Jika mereka berucap di atas pentas dan fakta mereka tidak benar tindakan boleh diambil di bawah akta-akta lain, tetapi bukan di bawah untuk tindakan tempat kerja,” katanya kepada Berita Daily.

Justeru itu kata beliau, penjawat awam berhak untuk mengikuti mana-mana program yang melibatkan parti politik sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.

“Jadi menteri tidak boleh ugut penjawat kerajaan. Tindakan yang diambil terhadap lima orang guru ini adalah tindakan dengan niat jahat.

“Mereka mempunyai hak menyertai mana-mana parti yang diiktirafkan di undang-undang,” kata Ketua Biro Buruh DAP Kebangsaan itu lagi.

Beliau terdahulu mengulas tindakan yang dikenakan terhadap lima guru yang diberikan surat tunjuk sebab oleh Kementerian Pendidikan kerana didapati menaiki pentas politik pembangkang untuk memburukkan kerajaan.

Beliau turut membidas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) dan Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) yang tidak menyebelahi kesemua guru tersebut.

Sementara itu Sivanesan berkata DAP dan semua parti dalam Pakatan Harapan termasuk Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menawarkan khidmat bantuan guaman kepada kesemua guru yang terlibat untuk membela diri jika mereka berhasrat untuk melanjutkan isu ini ke mahkamah.

Ingkar arahan mufti satu kesalahan, kata Jamil Khir

Farhan Darwis

Mengulas berhubung isu Valet Doa, Jamil Khir berkata, mengingkari arahan mufti juga dianggap sebagai satu kesalahan walaupun tiada fatwa dan undang-undang diperkenalkan

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Jamil Khir Baharom berkata mana-mana pihak yang mengingkari arahan  mufti telah melakukan kesalahan.

Mengulas berhubung isu Valet Doa, Jamil Khir berkata, mengingkari arahan mufti juga dianggap sebagai satu kesalahan walaupun tiada fatwa dan undang-undang diperkenalkan.

“Perkara ini tidak wajar diamalkan. Tiada fatwa dan undang-undang tidak semestinya jadi peraturan, tindakan mengingkari arahan mufti, boleh diambil tindakan.

“Beberapa mufti sudah tulis, penjelasan jelas, dengan hal berkaitan kesucian Islam untuk tingkatkan pemahaman umat Islam,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Ahli Parlimen Pasir Gudang Normala Abdul Samad bertanya kepada pihak kerajaan sama ada terdapat tindakan diambil terhadap penganjur Valet Doa yang tular sejak beberapa bulan lalu apabila menawarkan perkhidmatan kiriman doa di Mekah dengan beberapa kadar caj tertentu.

Jamil Khir yang juga ahli Parlimen Jerai berkata, pihak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Jabatan Mufti Selangor sudah memanggil penganjur Valet Doa itu dan menasihatinya supaya memberhentikan perkhidmatan tersebut.

“Jais sudah panggil, termasuk mufti, dah jelaskan, dalam jaga kesucian dan amalan Islam.

“Ada unsur amat tidak sihat dalam iklan doa, antaranya, janji bayaran RM250 hingga RM5,000,” kata Jamil Khir lagi.

Jamil Khir berkata, iklan Valet Doa memberi gambaran, doa yang dikirimkan kepadanya akan dimakbulkan.
“Doa ini dipermainkan untuk mengaut keuntungan.”

Jamil Khir berkata, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah menjalankan pemantauan ke atas akaun laman sosial Facebook Valet Doa tersebut.

Jakim juga katanya menyokong apa jua tindakan yang diambil SKMM dalam membasmi aktiviti-aktiviti yang boleh menvemarkan kesucian Islam.

Timbang tara 1MDB-IPIC adalah rahsia - kementerian kewangan

MALAYSIAKINI



PARLIMEN l Kementerian Kewangan tidak boleh mendedahkan butiran proses timbang tara antara 1MDB dan International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpangkalan di Abu Dhabi kerana terikat dengan garis panduan kerahsiaan.

Kementerian itu berkata demikian dalam jawapan bertulis di Parlimen bagi menjawap soalan Ahli Parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar, yang meminta maklumat terkini mengenai proses timbang tara itu.

"Kes timbang tara antara pihak IPIC dan 1MDB masih berlangsung di London Court of International Arbitration (LCIA).

"Kedua-dua pihak perlu menghormati garis apanduan kerahsiaan dan publisiti pihak LCIA dan oleh itu status kedudukan terkini kes tersebut tidak dapat diperincikan," kata kementerian kewangan.

IPIC memohon bayaran dan pampasan sebanyak AS$ 6.5 bilion daripada 1MDB, termasuk dana 1MDB yang dibayar kepada anak syarikat palsu IPIC.

Isnin lalu, Menteri Kewangan II Datuk Johari Abdul Ghani berkata, 1MDB telah mengemukakan semua dokumen yang diperlukan untuk proses timbang tara berkenaan.

Beliau berkata langkah seterusnya adalah untuk menunggu keputusan mahkamah itu.

1MDB dan IPIC sebelum ini cuba untuk menyelesaikan isu itu melalui rundingan terus, tetapi gagal mencari penyelesaian

Harga petrol, diesel turun

MALAYSIAKINI



Harga runcit bagi petrol RON95, RON97 dan diesel turun masing-masing sebanyak 17 sen, 19 sen dan 9 sen mulai tengah malam ini.





Penurunan itu menjadikan petrol RON95 dijual pada harga RM2.13 seliter, RON97 pula RM2.41 seliter dan diesel berharga RM2.11 seliter, lapor China Press.

Ini adalah kali pertama harga bahan api itu diumumkan menggunakan sistem harga siling mingguan seperti dinyatakan diumumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainuddin.

Mengikut sistem terbaru itu, mana-mana syarikat boleh menjual bahan bakar itu lebih rendah, dengan syarat mereka mendapat kebenaran daripada KPDNKK terlebih dulu.

Hamzah turut mengingatkan semua syarikat-syarikat minyak dan pengedar petrol supaya mematuhi harga baru.

Tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang menjual petrol atau diesel pada harga selain daripada yang ditetapkan kerajaan.


PRU 14: Azmin bakal hilang jawatan MB?

Berita Daily Staff

Satu kajian dijalankan kepada 3,000 pengundi di lima kawasan iaitu  Gombak, Shah Alam, Selayang, Ampang dan Hulu Langat bermula Oktober sehingga Disember 2016

KUALA LUMPUR: Menteri Besar Mohamed Azmin Ali dijangkakan bakal kehilangan jawatannya pada pilihan raya yang akan datang.

Menurut hasil kajian yang dijalankan Zaaba Institute for Leadership (ZIL) pengundi Melayu khususnya cenderung untuk memilih PAS manakala hanya 5.6% sahaja yang masih yakin dengan DAP, PKR bersama parti baharunya iaitu Parti Amanah Negara (Amanah).

“Hasil soal selidik, apabila ditanya jika esok adalah pilihan raya, parti manakah yang anda akan undi, sebanyak 24.4 peratus responden berkata akan mengundi PAS, 9.3 peratus akan mengundi Umno, 5.4 peratus akan mengundi PPBM dan hanya 5.6 peratus akan mengundi pakatan harapan. Manakala bakinya “masih atas pagar”.

“5.6 peratus adalah undi kepada pakatan harapan, yakni bercampur antara DAP, PKR dan Amanah. Jika diasingkan PKR sahaja, mungkin peratus itu akan semakin berkurangan. Kami asingkan antara pakatan harapan dan PPBM kerana senario pada waktu itu mereka belum bergabung,” kata  Pegawai Eksekutif ZIL, Dr Ali Boerhanudin.

Kajian tersebut terdahulu dijalankan kepada 3,000 pengundi di lima kawasan iaitu  Gombak, Shah Alam, Selayang, Ampang dan Hulu Langat bermula Oktober sehingga Disember 2016.

Menurut kajian itu lagi, pengundi di kawasan Parlimen Gombak yang kini dimiliki Azmin juga kini cenderung tidak memilihnya kerana majoriti mereka mengutamakan isu agama.

“Antara 16 isu yang ditanya pada pengundi, yang manakah paling perlu diberikan perhatian oleh parti yang memerintah, isu ‘memartabatkan Islam dan memelihara kesuciannya’ menduduki tangga ke-3 selepas ‘turunkan kos sara hidup’ dan ‘basmi rasuah dengan berkesan’.

“Ini menunjukkan agama masih menjadi soal utama pada pengundi Melayu dan parti-parti yang bertanding harus memberi perhatian yang serius ke arah itu,” jelasnya.

PAS Kedah turut kaji hubungan dengan PKR

ANTARAPOS.COM
Post Pic


ALOR STAR: Selepas Pulau Pinang, Terengganu, kini PAS kawasan Kedah pula dilapor meluluskan usul mengkaji semula hubungan tahaluf siyasi dengan PKR dan ini akan dibawa pada muktamar PAS di negeri itu hujung bulan depan.

Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah Dr Ahmad Fakhruddin Sheikh Fakhrurazi yang mengesahkan perkara itu bagaimanapun enggan mendedahkan nama PAS kawasan yang berbuat demikian lapor Utusan Malaysia.

“Setakat ini 11 daripada 15 PAS kawasan di negeri ini sudah pun mengadakan mesyuarat agung tahunan sementara empat lagi akan bermesyuarat dalam tempoh terdekat.

“Ada beberapa PAS kawasan yang membahaskan usul mengenai tahaluf siyasi bersama PKR dan perkara itu diluluskan untuk dibawa kepada jawatankuasa penapis usul di peringkat PAS Pusat,” beliau dilaporkan sebagai berkata.

Menurut laporan itu, PAS kawasan Baling juga meluluskan usul tersebut secara sebulat suara.

Semalam empat kawasan PAS di Terengganu yang telah selesai mengadakan mesyuarat agung tahunan,
sebulat suara meluluskan usul agar parti itu memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.

Sementara itu di Pulau Pinang, 12 daripada 13 kawasan PAS turut meluluskan usul menamatkan tahaluf siyasi dengan parti itu.

Hubungan antara PAS dan PKR menjadi tegang berikutan PKR mengambil keputusan menjalinkan kerjasama dengan Parti Amanah Negara, DAP dan Parti Bersatu Pribumi Malaysia yang membentuk Pakatan Harapan.

Kemelut berkenaan semakin meruncing apabila Ketua Dewan Pemuda PAS Nik Abduh Nik Aziz mengeluarkan kenyataan bahawa parti berkenaan akan menawan Selangor pada pilihan raya umum akan datang

Pemimpin DAP perlu hati-hati cakap soal rasuah

Oleh Zeanaaima Mohd Yusof
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Pemimpin DAP, dinasihatkan agar lebih berhati-hati ketika bercakap soal rasuah yang cuba dikaitkan dengan Barisan Nasional (BN) kerana dikhuatiri akan terpalit kembali kepada partinya sendiri.
 
ADUN Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata pemimpin BN lebih bertanggungjawab dengan mengambil cuti untuk membolehkan siasatan ke atasnya dilakukan pihak berkuasa.
 
Beliau kemudiannya merujuk sikap yang diambil Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang enggan bercuti atau meletakkan jawatan selepas dirinya didakwa di mahkamah atas tuduhan rasuah.
 
"ADUN-ADUN DAP yang nak bercakap pasal rasuah ini, patut tengok parti dia dululah. Jangan sampai nanti memalukan diri sendiri, membuat hujah dalam Dewan (DUN), direkod dalam hansard, tapi dalam masa yang sama gagal pertahankan ketua mereka sendiri.
 
"Pemimpin BN, disoal siasat sahaja oleh SPRM pun, dah bercuti apatah lagi kalau dah didakwa. Ini menunjukkan bahawa BN ini lebih bertanggungjawab dan kita lebih telus dalam isu-isu berkaitan rasuah," ujarnya kepada pemberita di lobi DUN Selangor.
 
Sulaiman berkata demikian merujuk kes Exco Johor, Datuk Abdul Latif Bandi yang mengambil keputusan bercuti daripada menjalankan tugasnya dalam kerajaan negeri bagi membolehkan siasatan dijalankan ke atasnya.
 
Abdul Latif memohon cuti selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan anak dan pegawainya berhubung dakwaan penyelewengan hartanah di Johor bernilai RM15.5 juta.  
 
Sulaiman kemudiannya menambah, sikap Abdul Latif berbeza dengan Guan Eng.
 
"Ketua Menteri Pulau Pinang dalam kesnya, dia dah didakwa bukan baru disiasat tapi dah didakwa di mahkamah. Tapi langsung tak bersedia untuk bercuti atau letak jawatan," ujarnya.
 
Guan Eng sebelum ini didakwa di Mahkamah Sesyen George Town atas dua pertuduhan rasuah membabitkan penyalahgunaan kuasa berhubung isu permohonan pengezonan semula status tanah dan pembelian banglo di Jalan Pinhorn. 
 
Kes itu sepatutnya dibicarakan 27 Mac lalu namun ditangguhkan hingga rayuan mereka mencabar Seksyen 62 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 selesai.
 
Pada 7 Mac lalu, mahkamah menolak dua notis usul difailkan Guan Eng untuk mengisytiharkan Seksyen 62 Akta SPRM 2009 sebagai tidak berperlembagaan dan tidak sah yang difailkan mereka pada 6 Januari lalu.
 
 

DUN Selangor kecoh, ADUN DAP sebut 'tok lebai'

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Sidang DUN Selangor hari ini kecoh apabila seorang ADUN DAP mengeluarkan perkataan "tok lebai" yang disifatkan menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini.
 
Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku) ketika membahaskan usul menjunjung kasih titah ucapan Sultan Selangor, menyebut perkataan "tok lebai" yang merujuk kepada individu tertentu yang menjadi punca ketidaktentuan ekonomi negara dan kejatuhan nilai ringgit.
 
Datuk Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) kemudian bangun mencelah dan menegur Lau untuk tidak menggunakan perkataan itu lagi sebab ia seolah-olah menghina agama Islam.
 
"Dalam agama Islam, tok lebai merujuk kepada agamawan, ahli cendekiawan agama dan paling tidak tok imam," katanya.
 
Namun, Lau enggan menerima teguran Sulaiman sehingga menyebabkan kedua-dua wakil rakyat berkenaan bertikam lidah sebelum Timbalan Speaker DUN, Mohd Shafie Ngah meminta mereka duduk serta meminta Lau menarik semula perkataan itu.
 
Lau kemudian memohon maaf jika tindakan beliau itu menyinggung perasaan umat Islam.
 
Istilah "tok lebai" popular selepas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menerusi akaun Twitternya baru-baru ini merujuk seorang invidu sebagai tok lebai yang dikatakan bercita-cita hendak menawan Selangor.
 
"Ada tok lebai nak tawan Selangor. Kawasan sendiri pun kalah tersungkur," kata Mohamed Azmin
 
 

Dua lelaki bom kelab malam Movida dipenjara 25 tahun

ANTARAPOS.COM
Post Pic

KUALA LUMPUR: Dua lelaki dihukum penjara 25 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini, selepas mengaku bersalah terhadap tuduhan menyokong kumpulan militan Daesh dan pengeboman kelab malam Movida di Puchong, pada Jun lalu.

Hakim Datuk Nordin Hassan membuat keputusan itu selepas tertuduh, Imam Wahyudin Karjono, 21, dan Jonius Ondie, 25, membuat pengakuan itu selepas tuduhan dibacakan secara berasingan.

Nordin menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun terhadap tuduhan membaling dan meletupkan bom tangan di kelab malam Movida manakala penjara 10 tahun bagi setiap tertuduh atas tuduhan memberi sokongan kepada kumpulan pengganas.

Beliau memerintahkan hukuman dijalankan serentak berkuat kuasa dari tarikh tangkap, masing-masing Imam pada 29 Jun 2016 manakala Jonius pada 1 Julai 2016.

Dalam penghakimannya, Nordin berkata kes yang dihadapi kedua-dua tertuduh adalah berat kerana mereka mengakui membaling bom di tempat awam sehingga menyebabkan lapan parah.

"Perbuatan itu menyebabkan keadaan huru-hara berlaku di negara ini.

"Matlamat mahkamah jatuhkan hukuman adalah isyarat kepada mereka di luar termasuk rakan seperjuangan kamu yang beranggapan matlamat itu penting, " katanya.

Mereka dituduh bersama-sama membaling dan meletupkan bom tangan yang menggunakan fius lever jenis 'Fuze M213' sehingga menyebabkan kecederaan terhadap lapan orang di premis itu.

Perbuatan mereka itu dilakukan dengan niat untuk melanjutkan satu perjuangan ideologi serta dianggap sebagai diniatkan untuk mengugut orang awam di negara ini.

Kesalahan itu dilakukan di Movida Boulevard, Lot G2 & G3, Tingkat Bawah, IOI Boulevard, Jalan Kenari 5, Bandar Puchong Jaya, Puchong, jam 2 pagi, pada 28 Jun 2016.

Imam turut menghadapi tuduhan memberi sokongan kepada militan Daesh dengan melakukan sumpah setia dalam telegram Kumpulan Gagak Hitam manakala Jonius didakwa menyokong Daesh menerusi kumpulan sama.

Perbuatan itu dilakukan di C-4-19, Blok Cempaka, Jalan Indah 1, Puchong di sini, antara 30 Mac hingga 15 Jun 2016.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Saiful Edris Zainudin berhujah peningkatan kes berkaitan keganasan sejak kebelakangan ini perlu dibendung.

"Hukuman yang berat dapat mencegah kumpulan pengganas terbabit daripada terus berleluasa dalam negara ini," katanya.

Selasa, 28 Mac 2017

Umno-BN terdesak guna Jamal serang Yawas, kata Adun DAP

MALAYSIA DATELINE

Jamal Ng Suee LimJamal Ng Suee Lim


Umno-BN terdesak apabila menggunakan Datuk Seri Jamal Md Yunos bagi menyerang Kerajaan Negeri Selangor dan wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) mengenai Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).

Ahli Dewan Negeri (ADN) Sekinchan, Ng Suee Lim dari DAP bekata, tindakan Ketua Bahagian Sungai Besar itu dilihat lebih bermotif politik dan mencari publisiti murahan ekoran Umno-BN sudah ketandusan isu bagi menawan kembali Selangor.

“Perkara ini diuar-uarkan sejak seminggu lalu dan tindakan terdesak Jamal untuk menyerang Kerajaan Negeri dan wakil rakyat Pakatan Harapan khususnya DAP termasuk bukan kali pertama laporan polis dibuat beliau.

“Ia secara bersiri bermula dengan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok diikuti ADN Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan kini saya membicarakan isu sama iaitu Yawas yang kononnya saya menyeleweng peruntukan Yawas. Biar polis siasat,” katanya seperti dipetik portal Selangorkini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas laporan polis Jamal terhadap dirinya dengan dakwaan menyalahgunakan peruntukan Yawas sejak 2008.

Beliau menyifatkan serangan Jamal ke atas dirinya sebagai serangan peribadi dan fitnah ekoran terdapat laporan mengatakan beliau mungkin bertanding di Dun Sekinchan.

Lebih-lebih lagi dengan pendedahan dibuatnya mengenai lebih 1,200 pengundi hantu dipindah Jamal ke Dun berkenaan tempoh hari.

“Saya memang tidak pernah curi duit rakyat dan perkara ini tidak pernah berlaku kerana jika pada 2008 saya curi pasti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang di bawah kuasa Umno-BN awal-awal sudah menahan saya.

“Kita akan kaji (tindakan saman) tetapi saya tidak mahu isu berpanjangan dengan orang tidak bertamadun yang pakai tuala di tengah hari, orang seperti ini saya tidak mahu layan kerana saman ini memerlukan proses panjang, jika dilayan saya pun jatuh standard,” katanya berhubung kesediaan Jamal untuk disaman.

Annuar, ada 10 isu M'sia yang 'lebih besar' dari Kit Siang


Kira-kira setahun dua bulan yang lalu, Tan Sri Annuar Musa dilantik menjadi ketua penerangan Umno yang beliau sendiri sifatkan sebagai suatu kejutan dan bukan calon terbaik untuk jawatan itu kerana tugasannya yang sangat berat.

Hari ini, terbuktilah tanggapan Annuar itu betul kerana beliau gagal untuk menerangkan kepada rakyat negara ini termasuk di kalangan ahli-ahli Umno sendiri mengenai tindak-tanduk kerajaan sehingga rakyat kian 'lari' dari Barisan Nasional tatkala negara di ambang pilihan raya umum ke-14.

Rakyat jelata termasuk ahli-ahli Umno sendiri ternanti-nanti dan dahagakan penerangan dan penjelasan mengenai rasional dan logiknya segala tindakan kerajaan untuk 'mempertahankan' kerajaan sedia ada tetapi hampa kerana tidak dibekalkan dengan maklumat yang sahih dan benar.

Walaupun jawatan itu berpaksikan sebuah parti politik, secara realitinya, Annuar memegang amanah untuk bersuara bagi pihak kerajaan kerana pada masa ini, kerajaan Malaysia diterajui oleh Umno dan pimpinan Umno yang menjadi menteri-menteri yang mentadbir negara ini.

Daripada terus 'menerangkan' segala punca dan sebab-musabab kepada permasalahan rakyat yang kian meruncing, Annuar memilih untuk 'membuang masa' banyak pihak dengan menyerang DAP dan pimpinannya dengan retorik lapuk lagi usang iaitu anti Islam, anti Melayu dan rasis.

Daripada bergelut mencari strategi menyerang pembangkang terutama DAP dengan retorik sedemikian yang semakin tidak dipercayai selepas rakyat melihat sendiri pentadbiran DAP di Pulau Pinang ke atas orang Melayu, adalah lebih baik Annuar bersama-sama pasukannya mengembeling tenaga untuk menjawab isu-isu seperti berikut.

Permasalahan 1 hingga 5

Pertama, bagaimana kerajaan mahu menangani ledakan inflasi 4.5 peratus buat masa ini yang dijangka berterusan untuk beberapa bulan yang mendatang kerana isu tersebut lebih memberi kesan kepada kehidupan seharian.

Kenaikan kadar inflasi ini di tahap itu sememangnya tidak mengambarkan lonjakan sebenar terutama di bandaraya besar seperti Kuala Lumpur, Ipoh, Georgetown dan Johor Bahru yang kian dihimpit kenaikan harga barangan sekitar dua angka.


Kedua, bagaimana Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) mampu untuk membantu rakyat mengatasi kos sara hidup sedangkan 'tangan kanan' kerajaan mengambil RM39 bilion menerusi kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi 'tangan kiri' memulangkan RM6.8 juta sahaja dalam bentuk BR1M.

Ketiga, Annuar juga boleh menerangkan bagaimana kerajaan akan menyelesaikan kemelut 93 peratus rakyat Malaysia yang masih tidak memiliki rumah sendiri dengan kebanyakan daripada mereka adalah golongan muda bawah 40 tahun yang bergaji kecil.

HSBC dalam kajiannya baru-baru ini mendedahkan golongan muda mendapati mereka tidak mampu untuk membeli rumah disebabkan peningkatan harga hartanah dan kenaikan gaji yang lebih perlahan.

Keempat, terangkan bagaimana kerajaan mahu menguruskan nilai ringgit yang semakin melemah sehingga menjejaskan ekonomi bukan sahaja rakyat tempatan yang membeli barangan import, mereka yang menghantar anak belajar di luar negara malah juga golongan peniaga yang menjalankan aktiviti perdagangan di luar negara.


Kelima, Annuar perlu mengambil tanggungjawab untuk menerangkan kepada rakyat terutama di bandar bagaimana kerajaan akan membersihkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa setelah begitu tercalar ekoran skandal 1MDB yang terpampang di banyak akhbar di luar negara.

Permasalahan 6 hingga 10

Keenam, kerajaan perlu menjelaskan jika benar jangkaan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) bahawa 45,000 hingga 50,000 pekerja akan kehilangan punca pendapatan tahun ini tidak akan menjadi realiti di sebalik khabar angin pemberhentian pekerja dalam beberapa syarikat gergasi.

Antaranya ialah khabar-khabar angin penamatan perkhidmatan ribuan pekerja susulan pelupusan sebahagian daripada kepentingan Proton kepada rakan strategik asing selain nasib pekerja Keretapi Tanah Melayu Berhad yang bakal terlibat dengan Perjanjian Akses Rangkaian Kereta Api.

Ketujuh, masalah pembiayaan pengajian yang meruncing di kalangan pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta termasuk Universiti Kuala Lumpur (UniKL) sendiri selain ribuan anak muda lain yang layak untuk menyambung pengajian tetapi tidak mendapat biasiswa pendidikan.


Kelapan, Annuar perlu menerangkan penyelesaian kerajaan dalam menangani masalah pengangguran di kalangan graduan muda yang terpaksa membayar pinjaman pelajaran sehingga menyebabkan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) merekodkan seramai 663,000 peminjam gagal membuat bayaran balik pinjaman melibatkan jumlah RM4.7 bilion setakat 31 Januari 2017.

Harus difahami, bukan semua antara mereka yang mempunyai pekerjaan tetapi tidak mahu membayar kerana majoriti daripada mereka tidak mempunyai pekerjaan tetap ataupun mendapat pekerjaan yang bergaji kecil serta tidak mampu untuk membuat bayaran PTPTN setelah melangsaikan bil-bil bulanan mereka.

Kadar pengangguran di Malaysia dilaporkan meningkat sedikit kepada 3.5 peratus pada bulan Januari 2017 daripada 3.4 peratus pada bulan yang sama tahun sebelumnya. Bilangan penganggur meningkat 2.5 peratus berbanding tahun sebelumnya kepada 514, 100 orang.

Kesembilan, Annuar juga harus menerangkan apa yang kerajaan bakal lakukan dengan data statistik kebankrapan Jabatan Insolvensi Malaysia bagi tempoh 2011 hingga Disember 2015 dengan 101,537 kes bankrap kerana berpunca daripada masalah pinjaman peribadi dan sewa beli kenderaan.

Harus diingat majoriti membuat pinjaman peribadi adalah mereka yang terdesak untuk membuat pembayaran tertentu walaupun sedar kadar faedah yang sangat tinggi dikenakan oleh bank manakala kenderaan kini adalah keperluan asas semua orang sama ada bujang mahupun berkeluarga.


Kesepuluh, beliau yang juga ahli Parlimen Ketereh perlu 'meringankan' minda para peneroka Felda dengan menerangkan kerugian tidak nyata sebanyak RM1.21 bilion hasil pegangan 33.8 peratus saham dalam Felda Global Ventures Bhd (FGV) dan masa depan syarikat perladangan yang menjadi periuk nasi ribuan penduduk Melayu di bumi bertuah Malaysia.

Bebanan yang dipermudahkan

Justeru, daripada rakyat disajikan dengan dakyah serta tohmahan siapa rasis, anti Islam, anti Melayu, lebih baik Annuar menjalankan kerja-kerja yang diamanahkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk memberi penerangan dan penjelasan, moga-moga rakyat tidak terus berbeban di peringkat psikologi.

Rakyat hari ini telah semakin matang untuk memilih kerajaan yang lebih cekap, berorientasikan rakyat dan berdaya maju setelah melihatkan corak pentadbiran serta pemerintahan dua negeri paling maju di negara ini iaitu Selangor dan Pulau Pinang yang ditadbir oleh 'pesaing politik' BN.

Percayalah, walaupun ada isu-isu dalam Pakatan Harapan yang belum diselesaikan oleh pimpinan utama pembangkang di negara ini, janganlah Annuar mengambil mudah untuk mempertahankan BN dengan isu dan cara lama dengan berlegar-legar dalam isu perkauman dan keagamaan.

Sebaliknya, tumpukan kepada menjawab dan mencadangkan penyelesaian isu-isu di atas yang bukan sahaja melibatkan masa depan negara malah kelangsungan hidup seharian semua lapisan masyarakat termasuk golongan pesara Melayu yang selama ini menyokong Umno.

Jong-Nam maut, pembawa racun selamat?

SUBKY LATIF

RACUN kimia VX yang dipercayai disapu di muka Kim Jong-nam menyebabkan maut dalam waktu yang singkat, tetapi dua wanita yang dikatakan menyapunya ke muka mangsa didapati tidak apa-apa.
    
Racun jenis ini dikira amat bahaya, bukan sekadar disapu di muka yang ada lubang hidung, mulut, mata dan lubang telinga yang memudahkannya cepat tiba ke jantung dan lain-lain organ badan sensitif menyebabkan orang mati cepat, kena bahagian mana-mana kulit saja jadi pembunuhnya serta mereta.
    
Kerana bahayanya kimia jenis itu, maka petugas-petugas yang membersihkan KLIA 2 dari racun itu terpaksa memakai sarung badan yang tidak boleh diterap racun itu.
     
Tetapi dua wanita upahan yang dibawa ke situ, sebelum diturunkan dari kenderaan tentulah telah dibekalkan racun itu. Jika ia dibekalkan dalam motokar, bagaimana orang yang sama-sama dalam motokar boleh kebal dengan risiko racun itu?
    
Jika ia disampaikan kepada mereka selepas turun dari kereta bagaimana mereka boleh selamat membawanya hingga dapat menyapunya ke muka Jong-nam?
    
Apakah mudah selamat dengan memakai sarung tangan?
     
Bagaimana mereka boleh membawanya ke situ tentu dapat dihuraikan oleh polis kerana kedua-dua mereka kini berada dalam  tahanan polis dan polis ada cara bagi mendapatkan maklumat itu.
     
Bagaimana mereka boleh selamat daripada bahaya kimia itu menjadi tandatanya. Kita percaya racun yang diumumkan itu telah digunakan. Tetapi bagaimana mereka tidak sedikitpun terkesan dengan risiko racun itu?
    
Jika sah racun itu digunakan dan ia tidak mengapa-apakan si penyapu, maka ini bererti Korea Utara telah memperoleh satu ilmu dan kepakaran betapa racun itu tidak menjejas kulit dan lain-lain  selain dari muka.
    
Sains yang dikuasai oleh manusia di mana-mana di dunia tahu racun itu boleh membunuh sekalipun yng terpalit dengannya sekadar kulit. Ia memang membahayakan. Jika tidak, tidaklah pembersih KLIA 2 menggunakan sarung badan kalis kimia bagi mengesan zat racun itu.
     
Apakah setakat ini saintis Korea Utara yang menguasai rahsia itu. Untuk menjawab semua kekeliruan ini, mungkin kita hanya dapat dari Korea Utara saja.
     
Memang kebarangkalian Korea Utara sudah meninggalkan ke belakang pakar-pakar kimia lain-lain negara termasuk Amerika, Israel, Rusia dan China.
    
Selagi dunia tidak dapat menghuraikan ilmu rahsia yang Korea Utara gunakan bagi membunuh Jong-nam, maka payah hendak mematahkan dalih Korea Utara betapa kematian itu gara-gara serangan jantung.
    
Kita percaya pakar forensik  kita ada ilmu dan wibawa bagi mengesahkan kematian Jong-nam adalah gara-gara mukanya disapu racun itu. Pakar dunia seluruhnya payah mempertikai penemuan pakar forensik kita, tetapi yang hendak dihuraikan sekarang ini ialah ilmu yang Korea Utara itu tidak membahaya dan mencedera bahagian lain dari muka yang terkena palitnya?
     
Korea Utara dipercayai tidak akan mengaku ia ada sebarang kelebihan dalam ilmu kimianya. Sebagaimana ia tidak mengaku pembunuhan itu dirancangkan, ia pasti simpan kemungkinan kemas bahawa ia memiliki kemajuan senjata kimia yang termaju.
    
Ia tidak rahsiakan ia memilik senjata nuklear perkasa, tetapi ia tidak akan kongsi ilmu kimia yang dipercayai sudah dicapainya. HARAKAHDAILY

20,675 unit Rumah Selangorku sedang dibina

 
 
KERAJAAN Selangor sedang membina 20,675 unit Rumah Selangorku menerusi 24 projek sejak Insentif Pembinaan Rumah Selangorku diperkenalkan.
 
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, setakat ini hanya 665 unit yang sudah siap dibina merangkumi dua projek di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS).
 
“Berdasarkan pecahan, rumah Jenis A 1,333 unit, Jenis B 4,300 unit, Jenis C 8,875 dan Jenis D 6,167,” katanya dipetik Selangorku.
 
Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan lisan yang dikemukakan ADN Sri Andalas, Dr Xavier Jayakumar pada persidangan Dewan Negeri Selangor (DNS).
 
Secara keseluruhan kerajaan negeri sudah meluluskan pembinaan 89,396 unit dengan 24,700 mendapat kebenaran merancang (KM) yang merangkumi 45 projek.
 
Manakala 3,803 unit merangkumi 13 projek telah mendapat kebenaran merancang serta pelan bangunan sejak insintif itu diperkenalkan.

Kematian lapan remaja berbasikal: Jurujual mengaku tidak bersalah

Bernama

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam di sini pada 3.20 pagi menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 serta lesen memandu digantung

JOHOR BAHRU: Seorang jurujual wanita mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Trafik di sini hari ini atas pertuduhan memandu secara melulu hingga menyebabkan kematian lapan remaja lelaki pada 18 Feb lepas.

Sam Ke Ting, 21 membuat pengakuan tersebut di hadapan Majistret Salina Omar selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Lingkaran Dalam di sini pada 3.20 pagi menurut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan denda tidak melebihi RM20,000 serta lesen memandu digantung.

Mahkamah turut memutuskan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain pasport diserahkan kepada mahkamah dan lesen memandu digantung sehingga kesnya selesai.

Mahkamah menetapkan 13 April ini sebagai tarikh pengurusan kes.

Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Johor Roslan Mat Nor manakala tertuduh diwakili peguam Faizal Mokhtar dan Bustaman Menon.

Dalam kejadian itu, sebuah kereta yang dipandu seorang wanita merempuh sekumpulan remaja yang sedang berbasikal di tepi jalan berkenaan.

Insiden menyebabkan lapan remaja –  Muhammad Firdauz Danish Mohd Azhan, 16; Mohammad Azrie Danish Zulkefli, 14;  Haizad Kasrin, 16; Muhammad Shahrul Nizam

Maruddin, 14; Fauzan Halmijan, 13; Muhamad Shahrul Izzwan Azzuraimee, 14; Mohamad Azhar Amir,16; dan Muhammad Harith Iskandar Abdullah, 14 maut.

Kejadian turut mencederakan lapan lagi remaja lelaki lain yang turut serta dalam aktiviti berkenaan

Tindakan tegas jika gagal patuhi penetapan harga petrol mingguan

Bernama

Pengumuman mengenai penetapan harga petrol dan diesel akan dibuat di TV1 pukul 8 malam esok dan akta itu akan pastikan semua syarikat dan pengusaha stesen minyak mesti ikuti arahan diberikan pada mereka

KLANG: Syarikat dan pengusaha stesen minyak yang gagal mematuhi penetapan harga petrol serta diesel secara mingguan yang akan diumumkan setiap Rabu bermula esok, bakal berdepan tindakan tegas mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan Hamzah Zainudin berkata hukuman yang diperuntukkan di bawah akta itu ialah denda maksimum RM500,000 bagi syarikat sementara dan denda maksimum RM100,000 atau penjara tiga tahun bagi individu.

“Pengumuman mengenai penetapan harga petrol dan diesel akan dibuat di TV1 pukul 8 malam esok dan akta itu akan pastikan semua syarikat dan pengusaha stesen minyak mesti ikuti arahan diberikan pada mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis penutupan Seminar Kepimpinan Pegawai Ehwal Koperasi 2017 di sini hari, ini.

Turut hadir Pengerusi Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) dan Presiden Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Bhd (Angkasa) Abdul Fattah Abdullah.

Katanya melalui beberapa siri perbincangan bersama syarikat dan pengusaha stesen minyak sebelum ini, mereka telah menyatakan persetujuan untuk menambah baik mekanisme berkenaan.

Pada minggu lepas, Hamzah mengumumkan penetapan harga petrol dan diesel secara mingguan diumumkan setiap hari Rabu dan harga tersebut berkuat kuasa selepas 12 malam.

Kerajaan sebelum ini melaksanakan penetapan harga bulanan secara pengapungan terkawal dengan mengguna pakai formula Mekanisme Harga Automatik (APM) yang telah ditetapkan sejak 1983.

Penetapan harga secara pengapungan terkawal bulanan itu bermula Disember 2014.

Mahkamah Rayuan isytihar PPS ditubuh secara sah mengikut undang-undang

Bernama

Kerajaan negeri Pulau Pinang pada 27 Jan, 2015, memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan haram

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini mengisytiharkan bahawa Pasukan Peronda Sukarela (PPS) ditubuhkan secara sah di sisi undang-undang oleh kerajaan negeri Pulau Pinang.

Panel tiga hakim diketuai Hakim Tengku Maimun Tuan Mat membenarkan rayuan kerajaan negeri selepas mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang yang memutuskan PPS sebuah pertubuhan haram.

Panel dengan itu membenarkan perintah certiorari kepada kerajaan negeri untuk membatalkan perintah Menteri Dalam Negeri bertarikh 3 Nov 2014 yang mengisytiharkan PPS sebagai pertubuhan haram.

Hakim Tengku Maimun yang bersidang bersama Hakim Kamardin Hashim dan Mary Lim Thiam Suan yang mencapai keputusan sebulat suara juga membenarkan perintah yang dipohon oleh kerajaan negeri untuk mengisytiharkan PPS bukan sebuah pertubuhan mengikut Akta Pertubuhan 1965.

Beliau turut membenarkan perintah mandamus mengarahkan responden supaya mengembalikan semula jaket, peralatan, cop materai, lencana, senjata api dan dokumen yang dirampas daripada PPS.

Pada 22 Nov tahun lepas Mahkamah Tinggi di Pulau Pinang menolak permohonan semakan kehakiman oleh kerajaan negeri dengan memutuskan PPS ditubuhkan menyalahi undang-undang kerana ia tidak berdaftar di bawah Akta Pertubuhan.

Kerajaan negeri Pulau Pinang pada 27 Jan, 2015, memfailkan permohonan semakan kehakiman untuk mencabar perintah Kementerian Dalam Negeri mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan haram.

Dalam permohonan bagi semakan kehakiman, kerajaan negeri menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden.

PPS ditubuhkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada 2011 dengan objektif membantu kerajaan negeri membanteras jenayah selain menjaga kebajikan dan keselamatan awam penduduk Pula Pinang.
Anggota PPS berkhidmat secara sukarela.

Peguam Tommy Thomas dan S Ambiga mewakili kerajaan negeri Pulau Pinang sementara pegyuam kanan persekutuan Shamsul Bolhassan mewakili responden. Shamsul memberitahu pemberita bahawa beliau akan mendapatkan arahan mengenai sama ada ungtuk membawa perlara itu ke Mahkamah Persekutuan

Sukarnya pembangkang hendak berpakat

 
Oleh Zin Mahmud

Minggu lalu, secara rasminya Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) menyertai Pakatan Harapan (PH).
Dengan ini, gabungan itu mempunyai 4 anggota, termasuk PKR, Amanah dan DAP.Ia menjadi bersejarah kerana kedua-dua tokoh ikon PPBM dan PKR, iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, pernah bersama-sama memimpin negara ini.

PH ditubuhkan tahun lalu bagi menggantikan Pakatan Rakyat yang bubar akibat perseteruan DAP dan PAS. Perpecahan Pakatan Rakyat ini juga membawa kepada perpecahan PAS yang melahirkan Amanah.

Ketiadaan PAS menyebabkan kedudukan PH tidak sekuat Pakatan Rakyat. Amanah yang menggantikan PAS adalah parti lebih kecil. Sementara PBBM juga adalah parti baharu walaupun mempunyai tokoh hebat.

Namun begitu PH lebih tersusun berbanding Pakatan Rakyat walaupun ia akan menghadapi saingan daripada PAS yang dijangka memecah undi pembangkang dalam pilihan raya akan datang, dan selanjutnya memberi kelebihan kepada Barisan Nasional (BN).

Pemecahan Pakatan Rakyat dan PAS merupakan strategi BN selepas pilihan raya tahun 2008.

Ketika mula Pakatan Rakyat ditubuhkan, ia berada dalam keadaan kuat. Anwar yang mengumumkan penubuhannya masih bebas dan dapat menyatukannya. Mursyidul Am PAS ketika itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, bukan saja menyatukan partinya tetapi juga komited terhadap kerjasama dengan PKR dan DAP dalam Pakatan Rakyat. Pada masa itu Pakatan Rakyat memerintah Kedah, Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Kelantan.

Tetapi kekuatan Pakatan Rakyat terhakis bermula dengan kelemahan ahli dewan undangan negeri DAP dan PKR di Perak yang akhirnya menjatuhkan kerajaan negeri mereka. Ia diikuti dengan krisis perpecahan dalaman PAS Selangor dan PAS Kedah. Di Selangor, ia menyaksikan terkeluarnya Datuk Dr Hassan Ali.

Pakatan Rakyat ditubuhkan setelah parti yang menentang BN memenangi 5 negeri dan menafikan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum tahun 2008. Parti-parti itu ialah PKR, DAP dan PAS, sementara Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertanding atas tiket PKR.

Gabungan ini hanya sempat menghadapi sekali pilihan raya umum iaitu pada tahun 2013. Dalam pilihan raya itu, ia kehilangan Kedah dan gagal memenangi semula Perak. Negeri Pakatan Rakyat tinggal 3 iaitu Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor.

Dalam pilihan raya 2013, Pakatan Rakyat memperlihatkan suasana tidak sekatanya. Terdapat 2 tempat di mana berlaku pertandingan PAS menentang calon Pakatan Rakyat yang menggunakan lambang PKR.
Di Kota Damansara, calon Pakatan Rakyat diwakili oleh PSM yang bertanding atas tiket PKR ditentang oleh PAS. Akibatnya, BN yang memenangi pertandingan 3 penjuru itu.

Pakatan Rakyat terus menghadapi perpecahan apabila PKR melaksanakan “Langkah Kajang” pada 2015 yang bertujuan untuk menggantikan menteri besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan Anwar.

Usaha itu tidak kesampaian apabila Anwar didapati bersalah dan dihukum penjara. Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail kemudian menggantikan suami beliau dalam Langkah Kajang, tetapi akhirnya beliau tidak dapat juga menjadi Menteri Besar.

Sebaliknya ia bukan saja membawa pergeseran dalam Pakatan Rakyat iaitu antara PKR dan PAS, tetapi juga di kalangan dalaman kedua-dua parti itu. Ini kerana PAS menyokong Khalid dan akhirnya yang menjadi menteri besar ialah Datuk Seri Azmin Ali.

Proses terungkainya Pakatan Rakyat bermula apabila Nik Aziz meninggal dunia dan jawatan beliau diambil alih Datuk Haron Din. Ekoran itu berlakulah pertelingkahan antara PAS dan DAP yang membawa kepada pembubaran Pakatan Rakyat diikuti dengan perpecahan PAS yang menghasilkan Amanah.
Daripada situlah PKR, DAP dan Amanah menubuhkan Pakatan Harapan.

Undi disia-sia


Segala pergolakan dalam parti-parti pembangkang ini mendatangkan kekecewaan pada pengundi mereka. Harapan besar pendokong pembangkang dipunahkan dengan gelagat politik para pemimpinnya.

Sebagai pihak pembangkang yang hendak menumbangkan parti kerajaan, mereka perlu idealisme dan etika lebih tinggi. Jika tidak, rakyat akan berasa undi mereka dipersia-siakan.

Bagaimanapun, ketika Pakatan Harapan tidak sekuat Pakatan Rakyat, berlaku pula krisis dalaman Umno akibat isu 1MDB. Isu ini melarat hingga membawa kepada penubuhan PPBM. Maka dalam ketiadaan PAS dalam Pakatan Harapan, penyertaan PPBM menambahkan kekuatan pakatan itu.

Sebagai parti baharu, PPBM tidaklah sekuat PAS, apatah lagi bila dibandingkan dengan Umno. Lebih-lebih lagi selama ini Pakatan Rakyat banyak juga memperoleh manfaat jentera pilihan raya PAS. Ditambah pula dengan jentera PAS yang lebih kemas daripada PKR dan DAP.

Kedua-dua PPBM dan Amanah adalah parti baharu dan kecil yang tidak dapat mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh PAS.

Sehingga ini, dapat dilihat bahawa PAS lebih mesra dengan Umno berbanding ketika ia berada dalam Pakatan Rakyat.

Jika keadaan sekarang berterusan, maka kemungkinan pula akan berlaku pertandingan 3 penjuru iaitu BN, PH dan PAS. Apabila keadaan ini berlaku, ia lebih menguntungkan BN daripada PH.

Namun begitu, Pakatan Harapan bukanlah tiada harapan. Kempennya mungkin lebih ditujukan terus kepada rakyat. Ini supaya rakyat secara langsung boleh memberi undi kepada Pakatan Harapan walaupun jenteranya tidak sekemas BN dan PAS.

Walaupun baharu dan kecil, kemampuan PPBM dan Amanah tidak boleh diperkecilkan dengan begitu saja. Kedua-dua parti itu dipimpin dan digerakkan oleh orang berpengalaman yang pernah memberi sumbangan besar kepada parti lama masing-masing iaitu Umno dan PAS.

Namun begitu, selain daripada kekuatan politiknya, apa yang perlu diambil kira ialah inti perjuangan bukan saja PPBM dan Amanah, tetapi juga PH sendiri.

Setiap parti dalam PH mempunyai fahaman politik masing-masing. DAP mempunyai fahaman sosialisme demokratik. PPBM adalah parti nasionalisme Melayu. Amanah pula parti berfahaman Islam. Sementara PKR membawa fahaman demokratik liberal. Tetapi PH secara keseluruhannya memegang fahaman bahawa Malaysia boleh menjadi lebih baik jika mereka yang mentadbir. Atas anggapan BN gagal mentadbir negara, maka sebab itu mereka bangkit bertindak menjadi pembangkang dan mencabar Barisan Nasional dalam pilihan raya umum akan datang.

Dari sudut lain, PH merupakan sebahagian daripada tradisi parti pembangkang negara ini untuk bekerjasama bagi mencabar parti kerajaan yang sejak kemerdekaan didominasi oleh gabungan politik pimpinan Umno dalam bentuk Perikatan dan BN.

Sebelum Pakatan Rakyat, gabungan yang ditubuhkan oleh parti pembangkang ialah Barisan Alternatif, bermula pada 1999. Sebelum itu, ada Angkatan Perpaduan Ummah dirangkaikan dengan Gagasan Rakyat yang ditubuhkan pada 1990.

Gabungan itu didahulukan pula oleh Harakah Keadilan Rakyat (HAK) yang ditubuhkan pada 1986. Pakatan paling awal yang ditubuhkan di negara ini ialah Front Sosialis Rakyat Malaya (SF) iaitu pada 31 Ogos 1957, hari kemerdekaan negara.

Semua ahli politik tahu bahawa bersatu teguh, bercerai roboh, dan bersekutu bertambah mutu yang merupakan cogan kata pada jata negara.

Cara hendak menang ialah bersatu dan pecahkan pihak lawan. Tetapi pada realitinya, untuk bersatu amat sukar, terutama di kalangan pihak pembangkang.

* Zin Mahmud ialah bekas pengarang kanan Kumpulan Utusan.

Benarkan Guru Berpolitik, Selagi Tidak Melampau

 

Oleh USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAD


PENGLIBATAN kalangan guru di dalam politik terutamanya parti bukan kerajaan tidak harus 'dimangsakan' atau dijadikan alasan oleh pihak kerajaan untuk mengambil tindakan sewenangnya.

Sebaliknya, penyertaan aktif dengan parti-parti politik berdaftar perlu dirai dan dihormati selaras hak perlembagaan dan amalan demokrasi yang subur serta adil, dengan harapan ia juga satu bentuk sumbangan kepada negara.

Demikian itu, Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid tidak perlu mengeluarkan amaran bernada ugutan dan dilihat emosi, serta mengundang tindakan politik yang 'dihalalkan' atas nama pentadbiran.

Sebaliknya, kementerian perlu sentiasa membuat penilaian adil dan mengeluarkan garis jelas kepada para guru berhubung kebenaran yang pernah dikeluarkan dari pindaan Peraturan 21 (Kelakuan dan Tatatertib) 1993.

Sekiranya tidak, tindakan Mahdzir hanya dilihat langkah terdesak menjelang PRU14 yang bakal menjelang tidak lama lagi dengan cuba menakutkan atau menghukum guru terlibat.

Namun disokong dan harus dipastikan agar kedudukan di dalam politik kepartian tidak hingga mengabai tanggungjawab atau tugas asasi dalam perkhidmatan keguruan.

Juga tidak mengheret persekitaran dan masa pekerjaan menjadi medan atau mewujudkan kancah pertembungan politik. Jauh sekali terjebak dengan politik adu domba, fitnah dan perpecahan.

Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah yakin bahawa para guru sentiasa mengekalkan profesionalisme dan integriti perkhidmatan, serta sensitiviti etika dan disiplin yang tinggi kerana guru adalah 'tokoh' masyarakat yang sentiasa tinggi komitmen memberi khidmat bakti kepada masyarakat.

*USTAZ MOHD AZAM ABD SAMAD Ketua Pemuda Dewan Pemuda PAS Negeri Kedah 


Mayat Jong-nam masih di IPFN

ANTARAPOS.COM
 Post Pic
PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam mengesahkan mayat Kim Jong-nam masih berada di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN), Hospital Kuala Lumpur.
 
Berhubung pelbagai spekulasi daripada media mengenai pergerakan keluar masuk mayat berkenaan, Subramaniam berkata, perkara itu di luar pengetahuannya.
 
Bagaimanapun, beliau menafikan mayat Jong-Nam telah dibakar untuk upacara keagamaan sebagaimana dilaporkan media.
 
“Status quo tidak berubah, mayat Jong-nam masih dalam tanggungjawab Kementerian Kesihatan sehingga kita mendapat nasihat atau arahan daripada Wisma Putra dan Jabatan Perdana Menteri,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di sini hari ini.
 
Subramaniam berkata, sebarang keputusan mengenai mayat Jong-nam akan dibuat selepas rundingan antara Malaysia dengan Korea Utara yang masih berlangsung dimuktamadkan.

Tular penerima BR1M diminta ikrar undi BN

OLEH NAZLI IBRAHIM

SIDANG-DUN-SELANGOR 2017 (1)


SHAH ALAM: Kerajaan Negeri mengamalkan prinsip semua rakyat berhak menikmati hasil kekayaan negeri melalui pelbagai program untuk rakyat di bawah Skim Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) tanpa mengambil kira idealogi politik masing-masing.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Seri Andalas, Dr Xavier Jeyakumar, berkata sebaliknya Kerajaan Persekutuan pula memaksa penerima Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) berikrar akan memberi undi kepada Barisan Nasional (BN) seperti dalam satu video yang tular kebelakangan ini.

“Ketika rakyat tertekan, hidup susah, BN menekan mereka dengan memaksa untuk mengundi mereka. Ini tidak sepatutnya berlaku tetapi sebaliknya di Selangor semua rakyat berhak mendapat manfaat program disediakan Kerajaan Negeri tanpa mengambil peduli siapa yang mereka akan undi,” kata Xavier.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menyembah ucapan terima kasih di atas titah ucapan DYMM Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Ketika menyentuh isu fitnah pemimpin BN kononnya terdapat penyelewengan pembayaran Skim Mesra Usia Emas (SMUE), Xavier menyifatkan tindakan itu diambil bagi memperolehi publisiti murahan.

Katanya, selain itu pemimpin BN juga semakin tiada modal untuk menyerang Kerajaan Pakatan Selangor.

“Mereka sebenarnya tidak ada fakta tetapi membuat serangan untuk meningkatkan populariti mereka,” katanya.=EZY=

Muhyiddin: Isu kepimpinan Pakatan Harapan selesai tak lama lagi

ANTARAPOS.COM
Post Pic
  
 
PETALING JAYA: Presiden Parti Bersatu Pribumi Malaysia (PPBM) Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata lebih cepat isu kepimpinan Pakatan Harapan (PH) boleh diselesaikan, ia adalah lebih baik bagi gabungan pembangkang itu.
 
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan berhubung kedudukan samar-samar PH mengenai siapa akan menjadi calon perdana menteri dan timbalannya jika mereka berjaya menawan Putrajaya pada pilihan raya akan datang.
 
"Pemimpin Pakatan Harapan mengakui persepsi bahawa kita perlu lebih bersatu.
 
"Pakatan ini akan membolehkan kami membincangkan isu seperti kepimpinan dan pembahagian kerusi secara bebas dan ikhlas.
 
“Lebih cepat kita selesaikan ini, makan ia akan menjadi lebih baik untuk Pakatan Harapan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) di Petaling Jaya hari ini.
 
Muhyiddin, berkata demikian selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi PPBM, juga mengumumkan pelantikan pengerusi dan timbalannya untuk kepimpinan parti itu di Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Terengganu, Perak, Selangor, Melaka, Johor dan Pahang.
 
Katanya, kepimpinan bagi Negeri Sembilan, Wilayah Persekutuan dan Perlis akan diumumkan pada masa akan datang.
 
Muhiyiddin berkata PPBM tidak akan menubuhkan pejabatnya di Sabah atau Sarawak kerana ia akan menumpukan usahanya pada kawasan di Semenanjung Malaysia.
 
 

Empat kawasan PAS Terengganu lulus usul putus hubungan politik dengan PKR

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
KUALA TERENGGANU: Empat kawasan PAS di Terengganu yang telah selesai mengadakan Mesyuarat Agung tahunan, sebulat suara meluluskan usul agar parti itu memutuskan kerjasama politik atau tahaluf siyasi dengan PKR.
 
Pesuruhjaya Badan Perhubungan PAS negeri Satiful Bahri Mamat berkata empat kawasan itu ialah Marang, Dungun, Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.
 
"Itu adalah suara di peringkat akar umbi. Mereka berhak mencadangkan usul itu untuk perhatian pemimpin tertinggi parti pada Muktamar PAS nanti, seterusnya keputusan akan dimuktamadkan oleh Majlis Syura.
 
"Bagi PAS Terengganu, kita buka ruang dan peluang seluas-luasnya untuk akar umbi menyuarakan pendapat mereka pada mesyuarat agung tahunan... seterusnya mengusulkan perkara itu ketika Muktamar PAS berlangsung di Kota Sarang Semut, Kedah pada 28 April depan," katanya kepada pemberita di luar persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di sini, Selasa.
 
Ditanya mengenai keputusan empat lagi kawasan iaitu Kemaman, Hulu Terengganu, Besut dan Setiu, Satiful berkata keempat-empat kawasan itu sudah selesai mengadakan mesyuarat agung sebelum isu tahaluf siyasi dengan PKR kembali hangat diperkatakan.
 
Beliau berkata usul untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR bukanlah sesuatu yang baru memandangkan usul itu pernah dikemukakan oleh Dewan Muslimat PAS pada muktamar tahun lalu.
 
"Bagaimanapun, usul itu tidak mendapat respons ketika itu. Namun kali ini mungkin ada reaksi sekiranya banyak kawasan yang sepakat untuk membawa usul tersebut," katanya.
 
Ketika ditanya adakah PAS akan terjejas pada pilihan raya umum ke-14 akan datang sekiranya Majlis Syura bersetuju untuk memutuskan kerjasama politik dengan PKR, Satiful berkata PAS Terengganu dijangka tidak mempunyai masalah besar dalam hal itu.
 
"Terengganu tak ada masalah sangat, tapi tak tahu di negeri lain macam Selangor. Tapi ini perkara yang berbeza kerana sekarang adalah hubungan antara parti dengan parti, bukan PAS dalam kerajaan," katanya.
 
Pada Isnin, 12 daripada 13 kawasan PAS di Pulau Pinang turut meluluskan usul menamatkan tahaluf siyasi dengan PKR. 
 
 

Dr Wan Azizah beransur pulih dan dijangka keluar hospital tidak lama lagi

ANTARAPOS.COM
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sedang beransur pulih dan dijangka dibenarkan keluar hospital dalam beberapa hari lagi, demikian menurut seorang pegawai PKR.
 
Pengarah Perhubungan PKR, Fahmi Fadzil berkata, Dr Wan Azizah kini dalam wad untuk pemerhatian.
 
“Beliau demam pada hujung minggu lalu tetapi tidak menunjukkan penyakit yang serius.
 
“Doktor menjalankan pemeriksaan biasa dan mengawasi beliau. Beliau mungkin dibenarkan pulang dalam beberapa hari, bergantung kepada keputusan doktor,” katanya kepada Malay Mail Online hari ini.
 
Fahmi juga berkongsi gambar menunjukkan Dr Wan Azizah dan salah seorang anak perempuannya, Nurul Izzah Anwar.
 
Lewat semalam, Setiausaha Politik Dr Wan Azizah, Rodziah Ismail mengeluarkan kenyataan akhbar Presiden PKR itu dimasukkan ke hospital untuk rawatan dan tidak dapat menghadiri beberapa majlis termasuk sidang Dewan Rakyat serta DUN Selangor.
 
Rodziah berkata, bagaimanapun, keadaan Dr Wan Azizah tidak membimbangkan.
 

Isu SMUE bikin DNS gamat

OLEH AFIX REDZUAN

SIDANG-DUN-SELANGOR 2017 (1)


SHAH ALAM: Sesi perbahasan sebelah petang Dewan Negeri Selangor (DNS) kecoh seketika apabila isu peruntukan Skim Mesra Usia Emas (SMUE) dibangkitkan Ahli Dewan Negeri (ADN) Kuang, Datuk Abdul Shukor Idrus.

Situasi itu menyaksikan ADN Damansara Utama, Yeo Bee Yin dan ADN Sekinchan, Ng Suee Lim bangkit mempertikaikan dakwaan yang disebutkan Shukor.

Suee Lim bangkit untuk menjawab dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai cubaan mengelirukan dewan.
ADN Sungai Pinang yang juga Exco Selangor, Dato’ Teng Chang Khim dan ADN Teratai Tiew Way Keng turut bangkit membacakan Peraturan Tetap 36 (6) Sangkaan Jahat

Way Keng berkata, Shukor cuba memanipulasi perkataan ‘dakwaan’ dan ‘difahamkan’.

Situasi tegang itu memaksa Speaker DNS, Hannah Yeoh menegur Shukor yang secara tiba-tiba membangkitkan isu SMUE sedangkan program itu diperkenalkan sejak dua penggal lalu.

“Kuang sudah menjadi ADN selama dua penggal. Program SMUE bukan perkara baru dan sudah dua penggal.

“Sebagai Speaker saya hairan mengapa perkara ini dibawa masuk sekarang sedangkan penggal akhir dah nak habis, baru dibangkitkan.

“Sama ada perkara ini tidak mendapat perhatian pada penggal pertama atau apa sebenarnya?” katanya.
=EZY=

Pulangkan KL kepada Selangor, beri kuasa autonomi

OLEH NAZLI IBRAHIM

Xavier


SHAH ALAM: Selangor wajar diberikan kuasa autonomi ekoran kemampuannya berdikari bagi menguruskan ekonomi, menjaga kebajikan rakyat dan membangunkan negeri lebih baik berbanding Kerajaan Persekutuan.

Ahli Dewan Negeri Seri Andalas, Xavier Jeyakumar berkata, selain itu Kerajaan Persekutuan juga patut mengembalikan Kuala Lumpur kepada Selangor.

“Sekarang banyak isu autonomi dibangkitkan termasuk berkenaan Sabah dan ada juga bangkitkan isu Bangsa Johor. Jadi, mengapa Selangor tidak boleh dapatkan kuasa autonomi dan kembalikan Kuala Lumpur kepada Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membahaskan usul menyembah ucapan terima kasih di atas titah ucapan Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor di Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Katanya, Selangor boleh mengambil model di Amerika Syarikat, Kanada, India dan negeri lain yang mempunyai sistem kuasa autonomi lebih luas.

Sebelum itu, ADN Sekinchan, Ng Suee Lim turut membangkitkan isu sumbangan Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri yang tidak setimpal dengan sumbangan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada ekonomi negara.-NFN-

Isu SMUE: Yeo Bee Yin akan saman Jamal

OLEH HAFIZAN TAIB

Yeo Bee Yin (2)


SHAH ALAM: Ahli Dewan Negeri (ADN) Damansara Utama, Yeo Bee Yin akan mengambil tindakan saman ke atas Jamal Md Yunos yang mendakwa dirinya menyalahgunakan peruntukan Skim Mesra Usia Emas (SMUE).

Beliau berkata, tuduhan dibuat Ketua Bahagian Umno Sungai Besar itu jelas fitnah dan pihaknya akan mengadakan perbincangan susulan bersama peguam untuk tindakan berkenaan.

“Saya akan saman dia (Jamal) di mahkamah, ini satu tuduhan jahat dan kita tidak boleh menerima politik sedemikian.

“Kalau ada bukti, (beliau) boleh tunjukkan bukti dan kita juga tunjukkan dokumen bukti tetapi dia tidak berminat untuk menelitinya,” katanya dalam sidang media di lobi Dewan Negeri Selangor (DNS) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Jamal memfitnahnya dua kali berhubung perkara itu dengan membuat laporan polis serta laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), baru-baru ini.

Katanya, beliau telah hadir ke pejabat SPRM dengan segala bukti diperlukan tetapi tidak menjadi kenyataan ekoran Jamal sekadar menampilkan wakilnya.

“Sekarang saya difitnah kali ketiga (dalam sidang dewan DNS oleh Umno-BN) dan tahap politik sebegini amat rendah.

“Saya berharap Umno-BN khususnya di Selangor mempraktikkan politik lebih mulia,” katanya berhubung tuduhan dibuat ADN Kuang, Datuk Abdul Shukur Idrus dalam sidang DNS.

Sebelum ini, tuduhan sama turut dilempar Jamal kepada Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok dan ADN Sekinchan, Ng Suee Lim berkaitan isu peruntukan SMUE di bawah program Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas).=EZY=

Isnin, 27 Mac 2017

Jangkaan PRU14: BN makin kuat walau undi lebih rendah


Dr Jomo Kwame Sundaram adalah pakar ekonomi di Institut Strategik dan Kajian Antarabangsa (ISIS).
Berikut soal-jawap yang dijalankan baru-baru ini.

Soalan: Apa ramalan ekonomi Dr Jomo di peringkat dunia dan nasional?

Jawapan: Keadaan ekonomi dunia terus muram. Ekonomi Barat, terutamanya di Eropah, enggan mengambil tindakan fiskal yang perlu untuk mencapai pemulihan, apa lagi pertumbuhan ekonomi yang berterusan.

Di Malaysia, kita masih tersangkut dalam keadaan kemelut setelah krisis kewangan Asia tahun 1997-1998.

Pasaran saham tidak mencerminkan keadaan ekonomi sebenar, apa lagi nasib rakyat jelata. Kenaikan harga minyak dan minyak kelapa sawit baru-baru ini banyak membantu ekonomi nasional, terutama sekali kedudukan kewangan kerajaan.
Dari segi nasib orang biasa, dua faktor membantu.

Pertama, pengenalan dasar gaji minima mulai awal tahun 2013, yang telah sedikit menaikkan pendapatan rakyat bawahan.

Kedua, bantuan rakyat BR1M yang menggantikan subsidi lain. Subsidi seperti subsidi petrol lebih banyak menguntungkan mereka yang lebih berada, sedangkan subsidi gula memberi kesan buruk dari segi kesihatan, seperti kencing manis, dan lain lain.

Malangnya, dari segi lain, rakyat jelata rugi.
Jumlah bantuan, termasuk BR1M, telah banyak kurang daripada RM40 bilion pada 2014 kepada RM25 bilion pada 2016, sedangkan cukai terhadap orang ramai telah meningkatkan hasil cukai jualan daripada RM17 bilion pada 2014 lebih dari dua kali ganda kepada hasil GST sebanyak RM39 bilion pada 2016!

Di samping itu, hasil cukai pendapatan peribadi tidak meningkat di mana separuh daripada pemilik kereta mewah Jerman (Mercedes, BMW, VW, Audi) langsung tidak membayar cukai pendapatan!

Ini bermakna subsidi telah banyak menurun walaupun sebahagian diagihkan melalui BR1M, bukan lagi subsidi lain.

Di samping itu, beban cukai terhadap orang ramai banyak meningkat, sedangkan cukai pendapatan peribadi makin menurun.

Sistem fiskal digunakan untuk meminda pendapatan daripada orang ramai kepada pihak berkuasa untuk projek mewah dan menutup penyelewengan 1MDB, dan lain-lain.

S: Dr Jomo dilaporkan meramalkan kemenangan BN dalam pilihanraya akan datang. Betulkah?

J: Saya tidak kata BN akan menang, tapi pembangkang akan kalah kalau lawan tiga penjuru. Soal kerjasama pembangkang menjadi masalah pokok.

Sebenarnya, kemarahan rakyat kian meningkat, dan mungkin BN tak dapat capai 40% dari jumlah undi, tapi dengan system pilihanraya yang ada sekarang, BN dan Datuk Seri Najib Razak akan dapat terus berkuasa.

S: Apakah sebabnya pembangkang tak dapat kerjasama?

J: Perselisihan utama ialah antara DAP dengan PAS. Sebenarnya, sewaktu Ustaz Fadzil Nor dan Tok Guru Datuk Nik Aziz Nik Mat masih ada lagi, memang lebih mudah.

Di pihak lain pula, ada pemimpin DAP yang cuba menjaga hubungan itu, tetapi ada juga lain yang ‘naik tochang’.

Sewaktu Pakatan Rakyat, ketiga-tiga parti utama masing-masing menjaga kepentingan parti dan kadangkala tidak menghormati keputusan bersama.

Selepas pilihanraya lepas, DAP yang keluar dari Pakatan, bukan PAS. Tindakan itu telah menghancurkan kerjasama.

Kemudian, menjelang Muktamar PAS, pimpinan DAP jelas campurtangan hal dalaman PAS, dengan menyokong Mat Sabu dan menentang Haji Hadi, kononnya atas soal kerjasama pembangkang.

Kemudian, apabila Mat Sabu serta golongan yang dipinggirkan dalam PAS keluar menubuhkan Parti Amanah Negara (AMANAH), DAP jelas menyokong mereka.

Pemimpin Umno juga berjaya mengambil kesempatan dalam keadaan kucar-kacir ini untuk memastikan pihak pembangkang tidak bekerjasama. Media massa dan badan kerajaan tertentu turut main peranan.

Malah, pemimpin pembangkang menggunakan media yang dikuasai BN untuk kritik-mengkritik satu sama lain tanpa usaha mencari penyelesaiaan.

S: Apa ramalan Dr tentang keputusan pilihanraya akan datang?

J: Selain soal lawan tiga penjuru, ada beberapa perkembangan lain yang membantu BN.

Persempadanan semula, yang menukar kawasan mengundi, akan membantu BN sekali lagi. Di samping itu, selama ini, pembahagian kerusi sentiasa menguntungkan BN.

Sabah dan Sarawak mempunyai satu suku dari kerusi parlimen, walaupun peratusan rakyat sana jauh lebih kurang. Di samping itu, parti pembangkang dari Semenanjung kurang peka terhadap keluhan rakyat di situ, terutama sekali selain orang bandar di Sarawak.

Kalau pihak pembangkang tidak berjaya mengatasi perselisihan mereka, BN akan terus memerintah di peringkat persekutuan atau nasional. DAP dan PKR barangkali akan terus berkuasa di Pulau Pinang dan Selangor.

PAS pula sukar menang di Kelantan, Terengganu dan Kedah tanpa kerjasama dengan pembangkang lain walaupun tidak dapat dinafikan PAS lebih kuat di kebanyakan kawasan di negeri-negeri itu.

Malah, PAS mungkin tidak dapat memerintah di peringkat negeri lagi kecuali dengan restu Umno, yang akan mendalangi kerajaan negeri berkenaan walaupun dengan MB dari PAS.

Kalau demikian, ini akan menimbulkan semula masalah seperti di Kelantan pada tahun 1970an, yang akhirnya menjatuhkan kerajaan PAS di Kelantan dan menyebabkan PAS kembali kepada pihak pembangkang sebelum mengambil semula teraju negeri Kelantan pada tahun 1990.

Di kawasan Melayu lain, PAS akan menarik undi pembangkang Melayu/Muslim lain, seperti diharapkan BN.
Akibatnya, sukar bagi pembangkang maju, apa lagi menukar teraju negara walaupun majoriti orang Melayu tidak menyokong Umno dan BN lagi.

Ironisnya, akibat perselisihan di kalangan pembangkang Melayu, kedudukan kesemua mereka akan merosot walaupun kemarahan rakyat Melayu terhadap Umno-BN terus meningkat. Malah, cogankata Reformasi dulu jauh lebih relevan sekarang kerana korupsi, kronisme dan nepotisme berleluasa.

Kedudukan BN akan bertambah kuat walaupun sokongan undinya jauh lebih rendah.

PAS, PKR, BERSATU dan AMANAH semua akan menjadi makin lemah, dan mungkin beberapa parti akan hancur. DAP akan timbul semula sebagai pembangkang utama di Malaysia akibatnya.


GURU2 BOLEH SOKONG PEMBANGKANG DAN KRITIK KERAJAAN, TAPI....

 shahbudindotcom


Saya meneliti kenyataan Menteri Pendidikan, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang menasihat guru-guru yang cenderung menyokong parti pembangkang supaya berhenti daripada perkhidmatan tersebut.

Itu secara tersurat tetapi secara tersirat pula, saya melihat kenyataan beliau sebagai satu bentuk ancaman dan ugutan awal supaya para guru tidak terlibat dengan program parti pembangkang atau bersedia menerima padah.

Dengan perkembangan teknologi maklumat dan minat politik rakyat semakin bercambah baik, agak aneh apabila pemimpin negara seperti Datuk Seri Mahdzir memilih untuk bersikap kolot dan jumud dengan menafikan hak para guru untuk menyokong parti politik bukan kerajaan.

Barangkali, kerana sikap kuno pemimpin seperti inilah yang menyebabkan negara masih gagal mencapai taraf negara maju pada 2020 sehingga terpaksa menganjak sehingga 2050.

Saya menyarankan agar Datuk Seri Mahdzir Khalid berhenti mencampuri urusan para guru di luar waktu sekolah, sebaliknya beliau patut memberikan keutamaan dengan menumpukan perhatian kepada usaha membaiki mutu pengajaran dan pembelajaran (P&P) di sekolah.

Hal ini kerana, bukan satu rahsia lagi apabila para guru turut dibebankan dengan tugasan berbentuk pentadbiran dan perkeranian sehingga mengganggu fokus mereka untuk mengajar. 

Waktu kerja mereka bukan lagi setakat waktu persekolahan, ada kalanya terpaksa dibawa pulang untuk diselesaikan sehingga larut malam.

Selain itu, ada juga dilaporkan yang para guru turut diwajibkan menghadiri kursus yang tiada kaitan dengan profesion perguruan.

Dengan pelbagai bebanan tugasan yang tidak berkaitan ini, sudah tentu para guru ini berhak untuk membuat pilihan dengan menyertai parti lain yang diharapkan boleh menjamin kualiti pendidikan negara pada tahap terbaik.

Dalam pada itu, saya juga menggesa Datuk Seri Mahdzir Khalid supaya menyiasat sekolah-sekolah terutamanya di luar bandar, Sabah dan Sarawak yang sehingga sekarang tidak menikmati infrastruktur pendidikan yang lebih sempurna. Inilah antara keutamaan yang perlu beliau laksanakan sebagai Menteri Pendidikan.

Walau bagaimanapun, menyedari suasana Kerajaan yang semakin bersifat autokratik dan tidak terbuka untuk menerima kritikan dari penjawat awam, saya turut menasihatkan para guru dan penjawat awam lain supaya mengambil langkah berwaspada.

Pastikan anda menggunakan kuasa undi anda untuk mengubah Kerajaan sekarang kepada sebuah Kerajaan baharu yang lebih peduli dengan nasib semua golongan masyarakat.

DR SITI MARIAH MAHMUD
Ahli Parlimen AMANAH Kota Raja
Ketua Angkatan Wanita AMANAH Negara (AWAN) Nasional
27 Mac 2017.


Ulasan - Mengapa UMNO dan BN tiba-tiba begitu bimbang dengan guru-guru yang menyokong parti pembangkang dan mengkritik kerajaan?

Adakah tarikh pilihanraya sudah hampir nak tiba?

Adakah dengan mengugut untuk mengambil tindakan akan menakutkan guru-guru dan menyebabkan undi lebih bertambah kepada BN atau mengakibatkan kebencian terus meningkat dan sokongan makin terhakis?

Jika guru-guru terlibat dalam politik di luar waktu sekolah dan tidak menjejaskan tugas-tugas mengajar mereka, apa masalahnya kepada kerajaan?

Guru-guru berkhidmat kepada kerajaan atau kepada UMNO dan BN?

Bagaimana pula dengan guru-guru atau pegawai pendidikan daerah dan negeri yang taksub gila menyokong UMNO dan BN?

Apa hukuman untuk mereka? Di mana keadilannya?

Selain itu, bukankah Mahadzir Khalid sendiri adalah guru sebelum ini dan kerana penglibatannya dalam politiklah beliau dapat jadi Menteri Besar Kedah dan sekarang Menteri Pendidikan?

Ohhh....sebenarnya guru-guru memang dibolehkan menyokong pembangkang dan mengkritik kerajaan, tetapi pastikan ia hanya di Selangor, Pulau Pinang dan Kelantan saja.

Oleh itu...PRU 14 nanti, ubah jangan tak ubah