Isnin, 11 Disember 2017

Umno Selangor pun mudah lupa?

DETIK DAILY

 
Oleh ROSLAN SMS 

BUAT baik berpada-pada buat jahat jangan sekali. Menurut riwayatnya inilah pepatah Melayu yang menjadi pesanan Laksmana Hang Tuah buat saudaranya Hang Jebat.

Usaha memperlekeh, mempersenda dan mengkritik pihak istana kebelakangan ini semakin menjadi-jadi.

Bermula dengan kebiadaban Tun Dr Mahathir dalam isu keturunan "Bugis" dan kini ahli DAP Zaid Ibrahim yang turut mengecam kononnya campurtangan Tuanku Sultan Selangor dalam urusan politik.

Raja-raja Melayu sudah wujud sejak lahir peradaban dan tamaddun Melayu dan di bawah konvensyen dan Perlembagaan Negara Duli-duli Tuanku punya peranan sebagai ketua agama negeri masing-masing serta pemegang kunci kestabilan negara dan negeri-negeri dalam menyempurnakan penubuhan kerajaan, perlatikkan dan yang berkaitan dengannya.

Kelangsungan institusi ini mencerminkan kayanya adat dan budaya Melayu serta tingginya status bangsa ini dalam pembentukan dan jati diri negara dan negeri-negeri.

Pihak istana punya tugas dan tanggungjawab mengikut perlembagaan dan undang-undang tubuh negeri. Atas inisiatif masing-masing sebagai ketua negara dan negeri mereka juga mencemar duli melibatkan diri dalam aktiviti rakyat serta kebajikannya.

Dan kerana prihatin akan nasib dan masa depan rakyat serta status kedudukannya Duli-duli Tuanku juga memberikan teguran dan nasihat secara terbuka.

Dan sebagai rakyat - "dimana bumi dipijak disitu langit dijunjung" teguran dan nasihat Tuanku biasanya diraikan dan diterima dengan hati terbuka.

Kalau pun ia pedas ia ditelan apatah lagi kalau manis dan menyelerakan.

Meludah atau memuntahkannya mungkin satu pilihan tetapi di mata adab dan budaya tamaddun kita ia biadap dan tidak pernah diamalkan secara terbuka.

Menegur dan menasihatkan Raja sebagaimana pernah ditunjukkan oleh Bendahara Tun Perak juga satu amalan tetapi ia melibatkan korum tertutup dalam kalangan majlis Raja dan pemimpinnya demi memelihara adab dan kebesaran institusi di Raja itu.

Contohnya Tun Salleh Abas pernah berhujah dengan YDP Agong dulu, sebagaimana direkodkan dalam bukunya MAYDAY FOR JUSTICE tetapi dalam forum tertutup bukannya dalam majlis ceramah atau perhimpunan parti.

Saya merakamkan ini kerana tertarik dengan laporan NST pagi ini yang memetik kenyataan pemimpin Umno Hulu Selangor Datuk Zainal Abidin Sakom.

Zainal dilaporkan mempertahankan institusi di raja dan menyerang DAP dan Zaid Ibrahim yang dikatakannya biadap.

Saya tertarik kerana 25 tahun dulu sekitar 1992 PM dan Presiden Umno ketika itu bernafsu merongkai kekebalan Raja-raja Melayu dengan membawa pindaan terhadap Perlembagaan Negara.

Dalam perhimpunan Umno ketika itu Raja-raja Melayu diserang dan jika saya tidak silap Zainal ketika itu berjawatan dalam kerajaan dan Umno negeri dan sebagai wakil Selangor beliau antara yang lantang menyerang termasuklah Almarhum Tuanku Sultan Selangor tidak terkecuali.

Itu dulu. Hari ini Zainal serang pula DAP dan Zaid kerana menyerang istana, ajaib!

Rupanya sindrom Melayu mudah lupa yang ditemui Tun Dr Mahathir hari ini membiak dan menular di mana-mana.

Apapun kekalkan dan hormatilah Instutusi Raja-raja Melayu ini - benteng terakhir survival bangsa dan agama. 
 
 

Tiada ulasan: