Sabtu, 23 Disember 2017

Tindakan Felda beri surat kuasa wakil penuh kepada pemaju mengejutkan



Tindakan Felda beri surat kuasa wakil penuh kepada pemaju mengejutkan



Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam) berkata, tindakan anak syarikat Felda yang bertanggungjawab ke atas pembangunan tanah Felda di Jalan Semarak iaitu Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC) melantik sebuah syarikat tempatan sebagai pemaju utama pada 3 Jun 2014 dan pemaju tersebut dengan diberikan surat kuasa wakil penuh (full power of attorney) bagi membangunkannya sangat mengejutkan.

“Jika benar sebagaimana yang dilaporkan tersebut, bagaimana mungkin FIC sebagai sebuah anak syarikat Felda yang merupakan entiti yang bertanggungjawab kepada rakyat, telah sewenang-wenangnya memberikan Surat Wakil Kuasa Penuh (Full Power of Attorney) kepada pemaju untuk membangunkan suatu projek yang sebegitu besar.

“Memberi surat wakil kuasa penuh (full power of attorney) kepada pemaju samalah seumpama menyerahkan sepenuhnya projek dan tanah tersebut kepada pemaju tanpa campur tangan daripada pemilik tanah,” kata Timbalan Presiden persatuan tersebut, Salkukhairi Abd Sukor dalam satu kenyataan yang disiarkan dalam Facebooknya.

Beliau berkata demikian merujuk kepada laporan Berita Harian kelmarin yang mendakwa Felda bakal kehilangan tanah strategik miliknya di Jalan Semarak yang dianggarkan bernilai lebih RM200 juta.

Menurut Sulkukhairi, dari segi perundangan hartanah, ianya suatu transaksi yang berisiko kerana boleh mendedahkan kepada penyalahgunaan kuasa oleh pemaju termasuklah kemungkinan tanah tersebut dipindahmilikkan kepada pihak ketiga tanpa pengetahuan Felda sendiri.

“Tambahan pula, dalam laporan Berita Harian tersebut juga dilaporkan seolah-olah wujudnya konflik kepentingan (conflict of interest) bila mana dikatakan Pengerusi Felda, Pengerusi FGV dan FIC sendiri adalah orang yang sama dan dipercayai tanah tersebut juga telah dipindahmilikkan kepada sebuah syarikat lain yang ada kaitan dengan pemaju utama projek tersebut.

“Justeru HartaGuam meminta pihak Felda atau FIC membuat kenyataan rasmi berkenaan dengan dakwaan tersebut.

“Pihak berkuasa juga harus segera menyaiasat dakwaan tersebut sama ada memang benar-benar wujudnya transaksi meragukan sebagaimana yang dilaporkan,” kata beliau.

Jelas Sulkukhairi, rakyat berhak untuk tahu sama ada transaksi pembangunan tanah tersebut mematuhi terma-terma perundangan yang sewajarnya atau sebaliknya.

Tiada ulasan: