Isnin, 25 Disember 2017

Tarik tali tarikh PRU dan persempadanan semula

DETIK DAILY

 
Oleh Awang Azman Awang Pawi

KEPUTUSAN Mahkamah Rayuan baru-baru ini yang membenarkan permohonan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi membawa kepada lembaran baru kepada suruhanjaya itu dalam usaha mengendalikan inkuiri tempatan bagi cadangan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Selangor.

Ini akan jadi titik tolak ke arah penentuan tarikh pilihan raya umum.

Sebelum ini Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali mewakili kerajaan negeri membuat permohonan semakan kehakiman untuk mencabar cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan DUN di negeri Selangor atas cadangan yang dikemukakan oleh SPR.

Mahkamah membenarkan penangguhan keputusan tersebut, sekali gus menghalang atau menggantung SPR daripada melakukan inkuiri tempatan kawasan parlimen dan DUN terhadap aduan pemilih di Selangor. Tindakan ini berkuatkuasa sehinggalah keputusan rayuan bakal diputuskan oleh Mahkamah Rayuan.

Namun keputusan rayuan terkini ini memihak kepada SPR yang berpendapat bahawa kesan perintah penggantungan akan menghalangnya daripada menjalankan fungsinya, seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan untuk pihak legislatif dan fungsi legislatif tidak boleh dicabar di mahkamah. Dijangka keputusan ini juga mempengaruhi persempadanan semula di negeri-negeri lain.

Implikasi politik dan PRU

Berdasarkan situasi ini, terdapat desas-desus bahawa Pilihan Raya Umum ke-14 dijangka akan berlaku selepas urusan proses persempadanan semula selesai. Dalam konteks SPR pula, usaha mengendalikan inkuiri tempatan bagi cadangan proses persempadanan semula kawasan pilihan raya parlimen dan DUN di Selangor akan terlaksana dengan jayanya.

Bagi memastikan proses persempadanan semula dijayakan mengikut lunas-lunas undang-undang, maka dijangka satu persidangan khas parlimen akan diadakan dalam masa terdekat seawal-awalnya pada bulan Januari 2018. Perkiraan ini dibuat dengan mengambil kira bahawa keputusan rayuan yang sudah dimuktamadkan dan rayuan ini berpihak kepada SPR.

Terdapat dua pandangan mengenai proses persempadanan semula. Yang pertama ia perlu dibawa dan dibahaskan dan diluluskan di peringkat parlimen sebelum diwartakan. Dengan demikian, tempoh ini akan mengambil masa sekurang-kurangnya 3 bulan untuk diwartakan sebelum dikuatkuasakan. Hal ini bermakna pilihan raya negeri akan diadakan pada April atau awal Mei 2018.

Namun terdapat juga pandangan bahawa proses ini hanya perlu kelulusan jawatankuasa kerja parlimen dan tidak perlu diwartakan kerana ini bukan undang-undang. Sekiranya pandangan ini digunakan maka, pilihan raya umum mungkin dapat diadakan seawalnya pada bulan Mac 2018.

Pro dan Kontra

Persempadanan semula perlu dilihat juga daripada perspektif proses dan amalan biasa dalam demokrasi yang mencerminkan perubahan populasi, penyusunan semula kawasan dan pembangunan setempat yang dikendalikan oleh badan bebas SPR.

Proses ini dilakukan dalam tempoh 8-10 tahun sekali yang melibatkan sejumlah pengundi dalam memastikan pentadbiran daerah dan kawasan dapat lebih sistematik dan licin susun tadbir.

Apabila persempadanan dilakukan ia dapat memastikan perkhidmatan yang lebih efisien. Ia perlu dilihat sebagai proses telus, berintergriti dan berlandaskan undang-undang dan Perlembagaan Persekutuan yang mempunyai implikasi yang jauh dari segi pola mengundi semata-mata.

Terdapat juga persepsi dan kebimbangan wujudnya manipulasi atau gerimander dan pembahagian yang mungkin tidak saksama (malapportionment). Namun ini tidak semestinya membawa kepada kelebihan atau kekurangan dan ini bergantung kepada sentimen pengundi yang di luar jangka meskipun tanggapan umum sebaliknya.

Perpindahan kawasan pengundi misalnya boleh mendatangkan rasa ketidakpuasan hati sekiranya ditukar tempat saluran mengundi tanpa pengetahuan atau restu pengundi sendiri.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Tajuddin Abdul Rahman, yang juga Ahli Majlis Tertinggi Umno misalnya menolak cadangan persempadanan semula SPR di Parlimen Pasir Salak. Beliau mendakwa persempadanan semula itu akan menjejaskan sokongan pengundi terhadap Umno.
Beliau membantah apabila terdapat cadangan mengeluarkan 5,000 pengundi dari kawasan Parlimen Pasir Salak untuk dipindahkan ke Teluk Intan dan berpendapat faktor pertambahan penduduk tidak mewajarkan pemindahan 5,000 pengundi di Parlimen Pasir Salak.

Pengerusi DAP Selangor Tony Pua turut mendedahkan terdapat pertambahan tinggi pengundi di kawasannya di Petaling Jaya Utara, yang didakwa meningkat 76.2% dan ini akan menjadikan jumlah sekitar 150,439 pengundi. Malah kawasannya akan dinamakan semula sebagai Damansara.

Parti Gerakan pula berpendapat persempadanan semula kawasan pilihan raya oleh SPR menjejaskan kerusi Parlimen dan DUN yang bakal ditandingi parti itu. Hal ini kerana latihan simulasi sudah di buat dengan jayanya di beberapa DUN dan Parlimen namun persempadanan semula itu tidak memberi kelebihan kepada Gerakan khususnya untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Apapun, proses persempadanan semula perlu meminimakan pemisahan pengundi dalam sempadan dan garisan etnik, walaupun sukar untuk dielakkan realiti jumlah etnik majoriti yang ada di Malaysia.

Apabila persempadanan semula yang akhirnya perbatasan lebih berdasarkan etnik akan dikhuatiri  mewujudkan pola perkauman yang akan terus berlangsung. Lebih-lebih lagi pola pengundian lebih didominasikan oleh orientasi politik etnik yang menjadi asas kepada pembentukan politik negara.

Kawasan yang lebih pelbagai etnik diyakini untuk melakukan meraikan kepelbagaian dalam penyatuan meskipun tidak ada undang-undang yang menetapkan etnik tertentu dalam kawasan DUN atau parlimen dalam proses persempadanan semula.

Persempadanan semula ini perlu dilakukan namun perlu melihat pelbagai faktor dalam konteks pembinaan sebuah negara bangsa dan bangsa idaman.

* Dr Awang Azman Awang Pawi ialah ahli akademik yang percaya dunia akademik melangkaui politik kepartian dan intelektual awam adalah pencetus pencerahan. Selain memberi kuliah beliau juga menjalankan kajian bebas dalam bidang sosio-budaya termasuk budaya politik dan budaya masyarakat.
 
 

Tiada ulasan: