Ahad, 17 Disember 2017

Status Baitulmaqdis kekal - PBB

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
NEW YORK: Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mempertimbangkan resolusi draf mendapati sebarang perubahan kepada status Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan, dan perlu dikekal seperti sebelum itu.
 
Resolusi itu menekankan Baitulmaqdis ialah isu yang perlu diselesaikan menerusi rundingan selain meluahkan kekesalan mendalam terhadap keputusan mengenai ibu kota itu.
 
"Sebarang keputusan dan tindakan yang mengubah sifat, status atau kedudukan demografi Baitulmaqdis tidak mempunyai kesan perundangan, tidak sah dan terbatal dan perlu dibatalkan," menurut draf.
 
Mesir mengedarkan teks draf itu semalam, dan diplomat berkata, majlis akan mengundi seawal esok berhubung langkah dicadangkan itu. 
 
Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengumumkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel pada 6 Disember lalu yang mencetuskan bantahan segenap pelosok umat Islam dunia.
 
Diplomat berkata, mereka menjangka AS akan menggunakan kuasa veto untuk menghalang langkah itu, manakala kebanyakan 14 negara anggota majlis berkenaan dijangka menyokong resolusi itu.
 
Draf itu menggesa semua negara tidak membuka kedutaan di Baitulmaqdis, membayangkan kebimbangan kerajaan lain akan mengikut jejak AS.
 
Ia menuntut semua negara anggota tidak mengiktiraf sebarang tindakan yang bertentangan dengan resolusi PBB mengenai status bandar raya berkenaan. 


Tiada ulasan: