Ahad, 31 Disember 2017

SPRM jangan takut jalankan siasatan penuh terhadap Isa, skandal tanah FELDA


Roketkini.com

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menjalankan siasatan lanjut berhubung segala kemungkinan rasuah dan salah guna kuasa dalam skandal tanah FELDA bernilai RM270 juta yang terbongkar baru-baru ini.

Desakan dari AMANAH dan NGO Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak) ini dibuat ekoran kenyataan awal SPRM yang sebelum ini mengumumkan tidak wujud unsur terbabit dalam kes tersebut.

Kenyataan itu dibuat Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) Datuk Azam Baki yang berkata isu berkaitan tanah FELDA itu berlaku akibat kelemahan urus tadbir.

Menurut Timbalan Ketua Pemuda AMANAH Faiz Fadzil, kes tersebut tidak harus ditutup kerana segala kebarangkalian rasuah dan salah guna kuasa mungkin wujud.

“Kami pemuda Amanah dan Anak (Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan) berpendapat transaksi pindah milik tanah Felda tersebut dibuat secara penipuan dan menggesa pihak SPRM tidak menutup fail siasatan skandal ini,” katanya kepada media.

Beliau ditemui ketika menyerahkan memorandum empat muka surat di perkarangan ibu pejabat SPRM, Putrajaya hari ini.

Tegasnya, fail melibatkan tanah yang kini dibangunkan dengan nilai mencecah RM6 bilion itu perlu dibuka semula bagi siasatan penuh, adil telus dan bebas.

Selain itu, SPRM juga kata Faiz memiliki kuasa bagi menyiasat dan membuat pendakwaan terhadap kes melibatkan pecah amanah dan penipuan.

Lebih menghairankan, bekas pengerusi FELDA Tan Sri Mohd Isa Samad masih belum dipanggil SPRM untuk siasatan kes tersebut meskipun beliau merupakan saksi penting dalam kes transaksi meragukan tersebut.

Presiden ANAK, Mazlan Aliman berkata, kenyataan SPRM yang mendakwa kontroversi tanah itu tidak memiliki elemen rasuah hanya akan menimbulkan lebih banyak persoalan.

“(Alasan) kelemahan urustadbir dan bukannya rasuah adalah kesimpulan tergesa gesa.

“Sepatutnya penyiasatan harus dilakukan terlebih dahulu sebelum buat apa-apa kesimpulan,” kata beliau.

Beliau turut mendesak supaya sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Felda ditubuhkan bagi menjalankan siasatan penuh terhadap skandal terbabit.

Kontroversi ini tervetus setelah akhbar Berita Harian pada 21 Disember 2017 mendedahkan sebanyak tiga lot tanah milik FELDA bernilai lebih RM 200 juta telah berpindah milik kepada sebuah syarikat pemaju swasta.

Lebih mengejutkan apabila Pengerusi FELDA Tan Seri Shahrir Samad sendiri mengakui bahawa transaksi pindah milik tanah tersebut tidak mendapat kelulusan FELDA dan kerajaan, selain tiada sebarang pampasan dibayar kepada FELDA .

Ia dipercayai berlaku melalui sebuah transaksi yang meragukan pada 2015 ketika Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menerajui Felda Global Venture Holdings Bhd (FGV) yang dilantik pada 2011 hingga Januari lalu. – Roketkini.com


Tiada ulasan: