Ahad, 17 Disember 2017

Speaker: Adakah Noh ‘beri arahan’ kepada SPRM?

OLEH NAZLI IBRAHIM




SHAH ALAM: Tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka semula kertas siasatan pembahagian lot tanah di Kampung Sungai Yu, Tanjong Karang, mengundang persoalan.

Speaker Dewan Negeri Selangor, Hannah Yeoh berkata, hal itu ekoran tindakan membuka semula siasatan berkenaan dilakukan selepas Ketua Perhubungan Umno Selangor, Tan Sri Noh Omar mengadakan satu sidang media meminta supaya PRM menyiasat semula kes berkenaan.

“Pada 27 November lalu, Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (SELCAT) apabila mengetahui SPRM menjalankan siasatan, menulis surat kepada suruhanjaya itu untuk mengetahui hasil siasatannya.

“Pada 29 November lalu, SPRM membalas surat itu dan menyatakan selepas disiasat dengan teliti, dianalisis dan kajian dibuat, mendapati tiada unsur salah guna kuasa berlaku berhubung perkara berkenaan.

“Selepas itu, SELCAT menghantar cadangan penambahbaikan kepada Kerajaan Negeri, namun pada 11 Disember lalu, Tan Sri Noh Omar, Menteri Persekutuan meminta SPRM membuka siasatan isu itu” katanya pada sidang medianya di Pejabat Speaker Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini, hari ini.

Beliau berkata, hanya dua hari selepas Noh mengeluarkan ‘arahannya’ kepada SPRM, pada 13 Disember lalu, beliau dikejutkan apabila Pejabat Dewan Negeri Selangor didatangi SPRM untuk mendapatkan senarai saksi dan dokumen berkaitan.

Katanya, apabila ditanya kepada pegawai SPRM terbabit, beliau dimaklumkan bahawa tindakan sepantas kilat itu dibuat selepas mendapat arahan dari ‘Putrajaya’ untuk membuka semula kertas siasatan.

Hannah berkata, SPRM perlu sedar bahawa DNS mempunyai immuniti daripada sebarang tindakan mahkamah.

“SELCAT adalah sebahagian DNS dan tindakan SELCAT adalah bebas politik. Ini jelas dilihat dalam cadangannya kepada Kerajaan Negeri,” katanya.

Katanya, SPRM seharusnya tidak memilih dengan hanya bertindak sepantas kilat terhadap isu membabitkan Kerajaan Negeri di bawah Pakatan Harapan sahaja.

Tiada ulasan: