Ahad, 17 Disember 2017

Sindikit seludup buruh asing di KLIA, PDRM ‘BERTINDAK’

THE MALAYSIAN TIMES
 


SERDANG : Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenal pasti beberapa warga Bangladesh dipercayai terlibat dengan sindiket yang memainkan peranan bagi menguruskan penyeludupan buruh haram warga Bangladesh di negara ini, melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Tanpa mendedahkan identiti suspek terlibat, Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Noor Rashid Ibrahim berkata ia susulan penahanan beberapa anggota sindiket berkenaan yang beroperasi di Bangladesh dan ibu negara bagi membantu siasatan.

“PDRM membuat kajian mengenai kegiatan menyeludup warga asing dari Bangladesh ini sejak setahun lepas difokuskan di KLIA, dan terdapat tiga sindiket memainkan peranan masing-masing iaitu sindiket di Bangladesh berperanan mengumpul rakyatnya di sana, manakala sindiket di KLIA memudahkan cara mereka masuk serta satu lagi jadi penerima.

“Modus operandi sindiket itu, mereka akan menguruskan apa jua cara untuk masuk ke negara ini termasuk berhubung dengan sindiket memudahkan kemasukan mereka, beri rasuah dan sebagainya kerana mereka hanya akan menghadapi masalah memasuki ke negara ini melalui pintu masuk,”
katanya pada sidang akhbar Kejohanan  Endurance Tan Sri Khalid Abu Bakar di Pusat Equine, Universiti Putra Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata PDRM ketika ini sedang memantau kemasukan warga asing di KLIA dan tidak menolak kemungkinan akan menahan beberapa lagi dalang sindiket berkenaan, selepas ini.

Baru-baru ini, sebuah akhbar tempatan mendedahkan buruh haram warga Bangladesh diseludup masuk ke negara ini melalui KLIA setiap hari, dan diuruskan empat sindiket besar beroperasi di Kuala Lumpur dan Dhaka, Bangladesh.

Sindiket terbabit dikatakan mampu mendapat keuntungan RM5.2 juta setahun dengan mengenakan bayaran antara RM15,000 dan RM20,000 setiap seorang termasuk wang ‘pelincir’ kepada beberapa pihak berkuasa terutama anggota dan pegawai Jabatan Imigresen serta Kedutaan Malaysia di Dhaka.

Dalam perkembangan lain, Noor Rashid berkata PDRM memandang serius berhubung kes kebakaran di Tanjung Sepat, Kuala Langat.

“Oleh demikian, saya mengarahkan Ketua Polis Selangor untuk menubuhkan pasukan khas bagi menyiasat kes ini dengan lebih terperinci antaranya melibatkan aspek mengumpul bukti di lokasi kejadian dan membuat kajian ke atas latar belakang mangsa,” katanya.

Dalam kejadian 5.50 pagi Rabu lepas, empat sekeluarga di Tanjung Sepat, Kuala Langat dipercayai dibunuh sebelum dibakar di kediaman mereka.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 38 tahun, yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) pekak dan bisu.

Tiada ulasan: