Jumaat, 15 Disember 2017

Sebahagian ubat, ujian di hospital kerajaan sudah tiada



Sebahagian ubat, ujian di hospital kerajaan sudah tiada

Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah mendedahkan sebahagian bekalan ubat dan prosedur ujian kesihatan yang wujud di hospital kerajaan sebelum ini sudah tidak lagi disediakan.

Menurutnya, keadaan itu berlaku ekoran pemotongan dana Kementerian Kesihatan serta akibat salah urus tadbir kerajaan dengan kes paling ketara penyelewengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Datuk Ir Amiruddin Hamzah

“Ada ujian kesihatan di hospital kerajaan sekarang tidak buat dah. Riuh dalam sidang dewan negeri (Kedah) baru-baru ini. Hakikatnya, sebahagian ujian yang biasa dibuat di hospital kerajaan sudah tiada sekarang.

“Mereka tidak diberikan bekalan yang cukup untuk membuat ujian tersebut,” jelasnya dalam program Ghebang Santai anjuran Bersatu Kubang Pasu, Kedah, semalam.

Bekas pemimpin Pas itu berkata, pihak hospital turut mengakui wujudnya masalah kekurangan bekalan ubat seperti dimaklumkan kepadanya oleh doktor sendiri ketika pemeriksaan berkala yang dibuat baru-baru ini.

“Saya sendiri enam bulan sekali jumpa doktor, periksa kesihatan, buat ujian darah. Banyak (bekalan) ubat sekarang ini, sebahagian saja diberi.

“Nak ambil ubat di Jabatan Farmasi, sebahagiannya lagi kena beli sendiri,” ceritanya di perkarangan rumah seorang penduduk Kampung Chenghai, Changloon.

Beliau berkata, walaupun pihak kerajaan Umno-BN menafikan kesan pemotongan peruntukan bagi sektor kesihatan tetapi bahana tindakan itu dapat dilihat pada janji pembinaan hospital yang masih belum ditepati.

“Dua malam (pesakit) duduk di zon kuning, merah di Hospital Sultanah Bahiyah (di Alor Setar). Nak naik di atas (wad) tiada katil kosong.

“Janji nak bina Hospital Pendang masa Pilihan Raya Kecil Anak Bukit dan Pendang ketika arwah Ustaz Fadzil dulu meninggal dunia tahun 2002, sampai sekarang tidak naik lagi.

“Tuanku (Sultan Kedah) pun tegur dua kali dalam dewan (sidang rakyat). Duit tidak ada. Duit digunakan untuk selesaikan hutang,” ujarnya lagi yang mengumumkan permohonan menjadi ahli Bersatu pada 26 November lalu.

Bukan sahaja sektor kesihatan terjejas, Amiruddin memberitahu Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sebagai agensi yang dikatakan agensi ketiga paling banyak memberi hasil kepada kerajaan turut menerima tempias sama.

“Nombor satu, LHDN (Lembaga Hasil Dalam Negeri), dok ligan buka fail 12, 15 tahun lepas nak cari duit tampung pendapatan negara.

“Bila ada, habis ke lain. Kedua, Jabatan Kastam yang kutip GST (cukai barang dan perkhidmatan) dan ketiga JPJ walaupun duduk di bawah Kementerian Pengangkutan.

“Pegawai JPJ sendiri cerita pada saya, ada ketikanya pegawai di kaunter, nak cetak pun, ‘catridge’ pencetak terpaksa diusung bertukar tangan dari satu kaunter ke kaunter yang lain,” dedahnya.

Sehubungan itu, Amiruddin menegaskan semua situasi itu berlaku akibat salah guna 1MDB yang digelarnya sebagai “ibu segala masalah” di negara ini selain timbunan kes rasuah.

Tiada ulasan: