Khamis, 14 Disember 2017

Rahman Dahlan arah peguam ambil tindakan terhadap Rafizi

 
Menteri lantik Datuk M Reza Hassan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap naib presiden PKR itu bagi menghentikan fitnahnya.


rahman-dahlan_Rafizi_600

PETALING JAYA: Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan telah mengarahkan peguam mengambil tindakan terhadap Naib Presiden PKR Rafizi Ramli kerana menuduh beliau melakukan nepotisme berkenaan tender Expo Negaraku 2017.

Rahman berkata, tindakan diambil bagi menghentikan fitnah Rafizi.

“Dengan adanya bukti terhadap Rafizi dan dakwaan yang dikenakan terhadap diri saya, saya melantik peguam Datuk M Reza Hassan daripada tetuan Raja Riza dan Associate untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Rafizi bagi menghentikan fitnahnya secara berterusan,” kata Rahman dalam kenyataan.

Rafizi dalam sidang media awal minggu ini mendakwa, individu bernama Raslan Dahlan, ketua pegawai eksekutif di PICO Integrated Exhibits (M) Sdn Bhd, merupakan abang kepada Rahman dan diberi tender untuk melaksanakam Expo Negaraku yang bermula 15 November hingga 15 Disember 2017.

Rafizi kemudiannya memadam rakaman video dan kenyataan sidang media dari laman Facebook miliknya tidak lama selepas itu.

Sehari selepas itu, Rafizi membuat permohonan maaf kepada Raslan dan mengakui beliau tersilap kerana menuduhnya abang kepada Rahman.

Rahman hari ini berkata Rafizi pada sidang media dengan penuh keyakinan berkata beliau sudah melakukan kajian dan siasatan untuk membuktikan dakwaannya itu.

“Saya mempunyai bukti Rafizi menghubungi Raslan Dahlan selepas sidang medianya melalui aplikasi mesej Facebook bertanyakan sama ada beliau adalah abang saya.

“Ini menunjukkan Rafizi tidak pasti dengan faktanya. Selain itu, demi cita-cita politiknya, dia memfitnah saya,” kata Rahman.

Tiada ulasan: