Jumaat, 15 Disember 2017

PH ada sehingga pelan C untuk menang PRU14, kata Dr M

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pakatan Harapan (PH) mempunyai alternatif sehingga pelan C jika ia gagal didaftarkan secara rasmi dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dibatalkan pendaftaran, kata Tun Dr Mahathir Mohamad.
 
Menurut Pengerusi PH itu lagi, PH kini berdepan dengan usaha kerajaan untuk menggagalkan usaha parti itu dalam memenangi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
 
"(Untuk BN terus berkuasa) Pembangkang dihalang daripada menawarkan alternatif kepada BN pada PRU akan datang.
 
"Untuk melakukannya kerajaan hanya perlu menolak atau menangguh pendaftaran PH atau membatalkan pendaftaran (PPBM), parti pilihan ahli dan penyokong Umno yang tidak berpuas hati dengan parti itu.
 
"Tetapi Najib akan tetap kalah. Pembangkang boleh kembali kepada pelan B dan pelan C," katanya di laman blognya, hari ini.
 
Mahathir bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut 'pelan C' itu.
 
Pendaftaran PH dilihat penting terutama agar empat parti komponennya - PKR, DAP, PPBM dan Amanah - dapat bertanding menggunakan satu lambang pada pilihan raya nanti.
 
PH sebelum ini mendakwa Jabatan Pendaftaran Negara (RoS) sengaja menangguhkan pendaftaran mereka.
 
Namun Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata penangguhan itu antaranya kerana masalah dihadapi PPBM yang tidak membuat mesyuarat agung tahunan (AGM) yang sepatutnya dilaksanakan September lalu.
 
PPBM kini berdepan risiko dibubarkan RoS selepas didapati melanggar tiga perlembagaan partinya sendiri.
 
Pertama, gagal mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM), menggunakan istilah Armada untuk sayap pemuda parti dan menangguhkan AGM tanpa peruntukan dalam perlembagaan parti.
 
PPBM sudah memohon untuk berjumpa RoS bagi mengemukakan cadangan alternatif namun hingga kini belum ada perkembangan berhubung perkara itu. 
 
Selain PPBM, DAP turut membantutkan usaha PH berdaftar di bawah satu logo selepas Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) tidak sah.
 
Bagaimanapun, DAP sudahpun mengadakan pemilihan semula CEC pada 9 November lalu.
 
 

Tiada ulasan: