Sabtu, 16 Disember 2017

Penduduk mengadu Merapoh musnah kerana pembalakan, lombong

 
Wakil penduduk Merapoh mengadu mengenai eksploitasi manusia memusnahkan nilai eko pelancongan yang menjadi sumber rezeki 8 kampung di situ.
 
 
merapoh-1
Gambar dari udara menunjukkan laluan lori atau jentera yang berselirat.

PETALING JAYA: Sebut sahaja Merapoh, Pahang, tentu ramai menyangka kawasan tersebut dipenuhi keindahan lokasi eko pelancongan dan kemurnian alam yang bebas daripada pencemaran.

Namun pertemuan FMT dengan wakil penduduk di situ hanya mendengar aduan mengenai eksploitasi manusia memusnahkan nilai eko pelancongan yang menjadi sumber rezeki 8 kampung di situ.

“Tiada lagi kehijauan di sini. Semuanya sudah musnah angkara kerakusan pembalak,” kata wakil penduduk Sabri Zoo, 36, kepada FMT. Menurut beliau, ada 10,000 orang mendiami 8 perkampungan di sekitar itu.

merapoh-air
Penduduk mengadu sungai dulunya jernih kini keruh.

“Kesan paling ketara akibat aktiviti pembalakan di Merapoh ialah air yang kami minum sangat kotor. Kalau hujan sahaja kami terpaksa minum air keruh, berkelodak, sebab tiada pilihan.”

Terletak berdekatan Taman Negara Pahang, khazanah di laluan Merapoh-Gua Musang dianggarkan berusia ratusan juta tahun. Hutan di kawasan sekitar bukan hutan sekunder tetapi limpahan hutan hujan asli, dan menjadi habitat kepada spesis bunga pakma tikus, iaitu keluarga raflesia terkecil di dunia. Merapoh turut ditandai ratusan gua batu kapur, deretan air terjun dan latar gunung yang mempesonakan. Bukit batu kapur di kawasan sekitar menyimpan fosil haiwan laut berusia jutaan tahun dan peristiwa kepupusan makhluk bumi 251 juta tahun lampau, atau Kepupusan Usia Perm-Trias (Permian-Triassic Extinction).

Gambar menunjukkan kawasan hutan Merapoh yang terjejas.
Gambar menunjukkan kawasan hutan Merapoh yang terjejas.

FMT difahamkan aktiviti pembalakan di situ merangkumi kawasan seluas 668.8 hektar sekitar Gua Hari Malaysia, dan dianggarkan lebih 200 hektar hutan telah ditebang. Menurut Sabri, kesan tempias aktiviti pembalakan melumpuhkan sumber pendapatan penduduk yang berkhidmat sebagai pemandu pelancong.

“Ramai pelancong membatalkan kunjungan ke sini. Mereka ingat dapat tengok hutan hijau tapi apa yang dapat ialah lumpur, bukit digondol. Malah, jalan masuk ke Gua Hari Malaysia juga rosak teruk.”

merapoh-4
Dianggarkan lebih 200 hektar hutan telah ditebang.

“Selalunya, tiap kali kami bawa masuk pelancong mereka akan bayar RM150 sehari untuk kumpulan 8-12 orang. Sekarang nak dapat RM50 pun susah. Kami tidak tahu nak buat apa untuk cari pendapatan. Yang ada hanyalah hasil menoreh getah,” katanya dalam nada sebak.

Lombong emas

Kemusnahan di Merapoh turut mendapat perhatian Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka), Sahabat Alam Malaysia (SAM) dan Pertubuhan Save Merapoh Cave.

Presiden Peka Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil berkata risikan memaklumkan pihaknya bahawa pihak terlibat tidak mengemukakan sebarang Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar.

merapoh-5
Aktiviti pembalakan dikatakan merangkumi kawasan seluas 668.8 hektar.

Beliau memberitahu FMT, aktiviti perlombongan emas juga giat dijalankan.

“Pembalakan dan perlombongan emas ini telah mengakibatkan gangguan bekalan air kepada penduduk Mukim Batu Yon, terutamanya penduduk di Merapoh. Pembalakan dan perlombongan emas ini telah merosakkan ekosistem di Merapoh. Tidak ada ‘buffer zone’ kepada Sungai Merapoh, yang mengakibatkan sungai tercemar.

merapoh-2
Hutan di Merapoh dan sekitarnya merupakan limpahan hutan hujan asli dan habitat kepada spesis bunga pakma tikus.

“Apabila bacaan tahap kebersihan air melebihi 1000 NTU (nephelometric turbidity units), bekalan air terpaksa diputuskan kerana loji air tidak mampu membersihkan air, yang mengakibatkan air buat penduduk terputus,” kata Shariffa, merujuk kepada unit yang digunakan bagi menilai tahap pencemaran air.

merapoh-6
Kayu yang ditebang tersusun untuk diangkut.

Menurut beliau, paras 1000 NTU merbahaya kepada hidupan sungai dan manusia jika diminum.

“Air yang tercemar juga terus disalurkan kepada penduduk walaupun tahap pencemaran air melebihi 1000 NTU, mengakibatkan penduduk terpaksa menggunakan air yang tercemar,” katanya.

merapoh-11 
Shariffa Sabrina Syed Akil (2 dari kiri) pada sidang media bersama aktivis alam sekitar.

Shariffa bimbang rakyat Merapoh akan mengalami nasib yang sama seperti penduduk Hulu Kelantan yang dilanda “bah kuning” pada 2014.

merapoh-8
Kayu yang ditebang sedia untuk diangkut.

Banjir besar yang melanda Kelantan pada penghujung 2014 itu antara bencana terburuk dalam sejarah negara, menyebabkan lebih 2,000 buah rumah musnah dan kerugian prasarana dan aset awam dianggarkan RM200 juta.

merapoh-12

Pihak terlibat didakwa tidak mengemukakan sebarang Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Jumlah hujan yang banyak, kapasiti sungai tidak mencukupi, penebangan pokok dan pembukaan tanah berleluasa dan prasarana saliran tidak mencukupi, menyaksikan Kelantan, terutamanya, daerah Gua Musang dan Kuala Krai, dilanda banjir yang membawa lumpur yang sangat banyak.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: