Selasa, 12 Disember 2017

Pembuli jalan raya dicekup

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia 34 tahun ditahan di sebuah hotel di Kluang, tengah malam tadi dipercayai terbabit dengan kegiatan membuli pengguna jalan raya di Lebuhraya Penyuraian Timur (EDL), kelmarin.
 
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad, berkata suspek disyaki terbabit dalam kejadian membuli pengguna jalan raya lain pada jam 8.30 pagi kelmarin.
 
Katanya, suspek ditahan di bilik sebuah hotel di bandar Kluang bersama seorang lelaki tempatan dan seorang wanita warga Vietnam, masing-masing berusia 33 tahun.
 
"Turut ditemui pada suspek ialah dadah dipercayai heroin seberat 3.19 gram dan 9.95 gram syabu, selain sepucuk pistol tiruan bertulis 'Beretta' yang dijumpai dalam kereta milik suspek.
 
"Tangkapan ke atas suspek dibuat untuk siasatan kes disyaki menghimpit dengan keretanya sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) dinaiki tiga lelaki lain secara berbahaya," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
 
Mohd Taib berkata, sebaik mangsa memberhentikan kenderaan, suspek turun dari keretanya dan menakutkan mangsa dengan besi.
 
Katanya, sebaik mangsa meneruskan pemanduan di Kilometer 6.3 EDL, suspek sekali lagi menghimpit kenderaan mangsa dan bertindak menakutkan mangsa.
 
"Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan oleh polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Utara, manakala rampasan dadah disiasat IPD Kluang.
 
"Suspek didapati mempunyai satu rekod lampau kes jenayah dan satu kes kesalahan dadah," katanya.
 
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Mohamad Laham, berkata pihaknya menyiasat kes berkenaan mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjatapi 1960 kerana memiliki senjata tiruan, Seksyen 6 Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.
 
"Kes turut disiasat mengikut Seksyen 39A (1) (a) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Merbahaya 1952 dan semua mereka ditahan reman empat hari sehingga Jumaat ini," katanya

Tiada ulasan: