Jumaat, 15 Disember 2017

PAS tak minta nama lagi, kita malu nak tanya, kata PKR Kelantan

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: PKR Kelantan memaklumkan kerajaan negeri sehingga hari ini masih belum meminta senarai nama pemimpin mereka untuk lantikan politik dalam pentadbiran PAS bagi sesi 2018.
 
Menurut Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Kelantan Ab Aziz Ab Kadir, secara kebiasaannya kerajaan negeri akan meminta senarai nama cadangan selewat-lewatnya bulan November.
 
"Sekarang ni kita tak tahu ke mana (kedudukan dalam kerajaan negeri) jadi diam begitulah. Biasanya setiap akhir tahun (kerajaan negeri) minta nama-nama untuk kita cadangkan tapi tahun ni tak ada. Kerajaan PAS tak minta (nama), mungkin ditamatkan atau disambung tu kita tak boleh nak komen.
 
”Kita pun malu nak pergi tanya," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Hujung Ogos lalu, Mesyuarat Biro Politik Pusat PKR memutuskan lantikan politik parti itu di Kelantan dikekalkan selepas dihimpit kemelut sejak Mei susulan PAS memutuskan kerjasama dengan parti itu pada muktamar.
 
Keputusan tersebut dibuat berdasarkan alasan keperluan kerjasama parti itu dalam pentadbiran kerajaan negeri sebagaimana yang telah dinyatakan Menteri Besar Datuk Ahmad Yakob sebelum ini. 
 
Kemelut yang melanda parti pimpinan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail itu dikatakan telah mencetuskan perpecahan kepada dua kumpulan dalam PKR Kelantan.
 
Ada pihak yang mendakwa dua kumpulan berkenaan adalah yang menyokong untuk pemimpin PKR kekal dalam kerajaan negeri, manakala yang sebelah lagi adalah sebaliknya dan mahu ahli mereka meletak jawatan.
 
 

Tiada ulasan: