Selasa, 5 Disember 2017

PAS ibarat emas tulen yang dibakar

DETIK DAILY



Anggota PAS diingatkan berkenaan jumlah anggotanya pada tahun ini yang mencecah 41,813 - jumlah tertinggi dalam tempoh lima - merupakan bukti PAS tidak melarat malah semakin ke hadapan.

Naib presidennya, Idris Ahmad dalam mengingatkan perkara itu menyeru agar anggota PAS tidak peduli persepsi orang dan terus bekerja.

“Teruskan buat kerja, usah peduli apa fitnah dan persepsi orang yang benci pada perjuangan PAS. Emas yang tulen lagi dibakar dengan api yang kuat semakin terserlah ketulenannya,” katanya seperti dilapor Harakahdaily.

Idris turut meningingatkan bahawa kekuatan PAS tidak terletak pada pemimpin tapi pada dasar yang diperjuangkan.

“PAS sentiasa evergreen. Pemimpin boleh datang dan pergi. Kekuatan PAS bukan kepada pemimpinnya, tetapi kepada dasar Islam yang diperjuangkan.

“Anggota PAS tidak ada apa-apa kepentingan, kalau ada yang khianat kepada perjuangan PAS, sedikit pun tidak melunturkan semangat anggota,” katanya yang dipercayai merujuk kepada pemimpin Parti Amanah Negara (AMANAH) yang keluar PAS selepas Pakatan Rakyat berkubur pada 2015.




Jumlah anggota PAS pada 2015 sebanyak 41,431 yang kemudian menurun kepada 23,559 pada 2016 sebelum meningkat semula tahun ini.

Menurut Idris lagi, anggota PAS menyertai parti untuk memperjuangkan Islam dan mereka akan kekal dalam parti selagi PAS tidak meninggalkan agenda itu.

“Mereka (anggota PAS) tidak kisah kalau ada dalam kalangan pimpinan PAS yang meninggalkan PAS bersama elaun dan pencen yang diterima. Mereka tidak pernah serik dan menyesal terhadap apa yang berlaku.

“Prinsip mereka mengatakan bahawa PAS tidak susah dan melarat malahan terus memacu ke hadapan. Perjuangan mesti diteruskan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Ketua Penerangan PAS Nasrudin Hassan berkata jumlah keanggotaan PAS yang meningkat membuktikan tohmahan bahawa parti itu kini ditolak rakyat adalah tidak benar.
"Ini satu bukti bahawa tohmahan PAS ditolak oleh rakyat mutakhir ini adalah tidak benar.

"Tanggapan bahawa PAS kian terpinggir dewasa kini juga salah. InsyaAllah PAS akan terus memimpin gelombang kebangkitan Islam dan gerakan perubahan," katanya.

Tiada ulasan: