Ahad, 31 Disember 2017

Mahasiswa gesa kerajaan kembalikan subsidi minyak sambut 2018



Mahasiswa gesa kerajaan kembalikan subsidi minyak sambut 2018



Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) menggesa kerajaan mengkaji semula cadangan bagi mengembalikan subsidi bagi bahan bakar bagi mengurangkan beban yang ditanggung rakyat dek kerana kenaikan berterusan harga minyak sempena kedatangan tahun baharu 2018.

“Harga minyak merupakan satu perkara yang sangat sensitif kepada rakyat, oleh itu kerajaan perlu peka mengenai perkara ini.

“PKPIM merasakan sudah tiba masanya kerajaan mengembalikan subsidi bahan bakar bagi mengurangkan beban kepada rakyat yang sedang dihimpit masalah kenaikan kos sara hidup,” kata presiden persatuan itu Muhammad Khair Sujud dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, PKPIM khuatir kenaikan berterusan harga minyak akan menyumbang kepada kenaikan harga barangan keperluan harian di pasaran.

“Hal ini sudah pasti memberi impak negatif kepada seluruh rakyat termasuklah golongan mahasiswa, generasi muda dan golongan berpendapatan rendah bagi menampung keperluan harian.

“Tuntutan kami jelas agar kerajaan dapat menurunkan harga minyak serta mengembalikan semula subsidi bagi bahan bakar.

“Jangan tunggu tarikh pilihan raya baru tuntutan ini dipenuhi bagi memperoleh populariti undi sedangkan rakyat terus menderita dan dihimpit kesusahan,” kata beliau.

Tiada ulasan: