JOHOR BAHRU: Seorang lelaki berusia lingkungan 30-an mati selepas
ditikam dan dilanggar menggunakan sebuah kereta dalam kejadian di sebuah
stesen minyak di Jalan Sri Pelangi, Taman Pelangi di sini, malam Ahad.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7.30 malam ketika mangsa bersama
seorang wanita warga asing berusia 20-an yang dipercayai isterinya
sedang mengisi angin tayar kereta jenis Volkswagen mereka di stesen
berkenaan.
Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Khalil Kader Mohd berkata, kedua-duanya
kemudian secara tiba-tiba didatangi empat lelaki yang cuba menarik
mangsa masuk ke dalam kereta jenis BMW mereka.
Namun mangsa dilaporkan melawan dan akibat daripada itu, berlaku
pergelutan antara suspek dan mangsa. Melihat kejadian itu, wanita yang
bersama mangsa terus melarikan diri meminta bantuan orang awam.
"Dalam pergelutan itu, mangsa berjaya meloloskan diri namun suspek
kemudian naik ke kereta mereka dan membuat pusingan di stesen minyak
berkenaan sebelum bertindak melanggar mangsa dan kemudian mengundurkan
kenderaan dan melanggar mangsa sekali lagi sebelum melarikan diri,"
katanya kepada pemberita di lokasi kejadian di sini, malam Ahad.
Mohd Khalil Kader berkata, berikutan kejadian, mangsa meninggal dunia
di tempat kejadian. Daripada pemeriksaan, polis menemui satu kesan
tikaman di dada kiri mangsa.
Menurut beliau, polis kini sedang mengambil keterangan daripada wanita
asing berkenaan yang dilaporkan masih trauma akibat kejadian itu.
Motif kejadian masih disiasat dan kes diklasifikasikan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan