Selasa, 19 Disember 2017

Lagi larangan oleh Singapura berkaitan skandal 1MDB

 
Yeo Jiawei dilarang menguruskan firma perkhidmatan kewangan dan kegiatan penasihat selama-lamanya, manakala bekas ketua eksekutif firma NRA Capital, Kevin Scully disekat selama 3 tahun.


mas-1mdb-1


SINGAPORE: Bank pusat Singapura hari ini memaklumkan bekas pengurus kekayaan bank swasta Switzerland, BSI cawangan Singapura, Yeo Jiawei yang terlibat dalam pelanggaran berkaitan 1MDB, disekat menguruskan firma perkhidmatan kewangan dan aktiviti penasihat selama-lamanya.

Julai lalu, sebuah mahkamah di Singapura menjatuhkan hukuman penjara 4 tahun setengah ke atas Yeo atas kesalahan pengubahan wang haram dan penipuan dalam satu kes berkaitan siasatan penyelewengan dana 1MDB.

Penguasa Kewangan Singapura (MAS) mengeluarkan perintah larangan tetap ke atas Yeo yang berkuat kuasa semalam dan larangan 3 tahun ke atas bekas ketua eksekutif firma penasihat kewangan NRA Capital, Kevin Scully.

“NRA dilantik menjalankan penilaian ke atas PetroSaudi Oil Services Limited (PSOSL),” kata MAS dalam satu kenyataan.

“Scully gagal memastikan penilaian NRA ke atas PSOSL dijalankan dengan berhati-hati, penuh pertimbangan dan objektiviti,” kata bank pusat itu.

Sehingga kini, MAS mengeluarkan larangan ke atas 8 individu terlibat pelanggaran berkaitan 1MDB, susulan 2 larangan diumumkan bulan lepas.

1MDB diasaskan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mempengerusikan lembaga penasihatnya sehingga tahun lepas, menjadi tumpuan siasatan pengubahan wang di sekurang-kurangnya 6 negara, termasuk Switzerland, Singapura dan Amerika Syarikat.

Najib bagaimanapun menafikan sebarang salah laku.

Bank pusat Singapura itu berkata, pihaknya menamatkan semakan semula selama 2 tahun dengan bank yang mempunyai transaksi berkaitan 1MDB, Mei lalu.

Tiada ulasan: