Khamis, 14 Disember 2017

Kritik Sultan Selangor: Polis pantau blog steadyaku47

 
Ketua polis negara berkata, setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung artikel tersebut.


fuzi558


PETALING JAYA: Polis sedang memantau blog dinamakan “steadyaku47” susulan penyiaran satu artikel mengkritik Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Ia menyebabkan perasaan tidak senang dalam kalangan orang ramai,” kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun kepada FMT ketika ditanya mengenai kandungan blog itu.

Fuzi berkata, polis akan menyiasat latar belakang penulis artikel yang diterbitkan pada 13 Disember lalu.

“Kami juga akan menyiasat sama ada orang yang menulis artikel tersebut berada di Malaysia atau luar negara.”

Beliau berkata, setakat ini tiada laporan polis diterima berhubung artikel tersebut.

Sultan Sharafuddin baru-baru ini menegur Tun Dr Mahathir Mohamad dengan berkata, agenda politik bekas perdana menteri itu didorong “kebencian mendalam” dan “kemarahannya akan membakar seluruh negara”.

Ia susulan kenyataan Dr Mahathir mengenai keturunan Bugis Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada perhimpunan anti-kleptokrasi di Padang Timur, Petaling Jaya, 14 Oktober lalu.

Sultan Sharafuddin yang berketurunan Bugis berkata, kenyataan Dr Mahathir dilihat cuba menghasut rakyat untuk membenci, menghina dan memandang serong terhadap etnik Bugis.

Tiada ulasan: