Ahad, 17 Disember 2017

KL bandar raya ke-10 paling kerap dikunjungi pelancong asing

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Kuala Lumpur menduduki tempat ke-10 dalam senarai bandar raya yang menerima kedatangan pelancong asing tertinggi, mengikut laporan Top 100 City Destinations Ranking 2017 terbitan Euromonitor International.

Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan berkata kejayaan itu merupakan hasil usaha kerajaan dalam mempromosikan Malaysia serta melonjakkan Kuala Lumpur sebagai destinasi tarikan pelancongan utama dunia.

Keputusan menjadikan Jalan Bukit Bintang dan kawasan sekitarnya termasuk Jalan Alor sebagai pusat beli-belah terkenal dan moden membuahkan hasil apabila bilangan pengunjung bertambah secara mendadak dan setaraf dengan pusat beli belah terkenal di dunia seperti Oxford Street di London, Shinjuku di Tokyo dan Tsim Sha Tsui di Hong Kong.

“Sebagai destinasi beli-belah terkenal, Kuala Lumpur menjadi tumpuan pelancong antarabangsa dengan menawarkan harga berpatutan, menyediakan infrastuktur yang mesra pelanggan dan sistem pengangkutan awam yang efisien,” kata kementerian dalam kenyataan di sini, hari ini.

Kementerian itu berkata Kuala Lumpur berkembang daripada sebuah penempatan perlombongan dan kini muncul sebagai kota raya yang pesat maju dengan kemudahan infrastruktur dan sistem pengangkutan serta komunikasi moden.

Selain itu, Kuala Lumpur juga menawarkan banyak tarikan dan keunikan lain termasuk Menara Kuala Lumpur, Menara Berkembar Petronas, Bangunan Sultan Abdul Samad dan Hutan Simpan Bukit Nanas.–Bernama

Tiada ulasan: