Selasa, 19 Disember 2017

Kit Siang Jadi PM : Guan Eng Bidas Tiong Lai Malukan Kaum Sendiri

 
 


Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng menuduh Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai memalukan kaum Cina apabila turut bersama-sama UMNO dan PAS memperbesarkan isu DAP bakal menjadi Perdana Menteri (PM) sekiranya Pakatan Harapan berjaya menawan Putrajaya pada PRU 14.

Guan Eng mendakwa kenyataan yang dikeluarkan Tiong Lai menyerupai kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang disifatkannya sebagai kenyataan perkauman yang akan memecahbelahkan rakyat di negara ini.

“Saya mengecam Tiong Lai kerana bersama-sama Abdul Hadi yang menuduh bahawa Lim Kit Siang (Penasihat DAP) akan menjadi perdana menteri jika Pakatan Harapan menang PRU14 nanti.

“DAP tak pernah tuntut pun. Tunjuk bukti jika ada. Yang selalu kata DAP nak jadi perdana menteri adalah UMNO dan PAS. Mereka macam berkempen untuk DAP pula. Yang sebenarnya, UMNO dan PAS kini memainkan sentimen perkauman dan ekstremis untuk hina kaum Cina dengan menyebut Cina DAP,” katanya kepada media hari ini.

Semalam, Tiong Lai berkata Kit Siang bakal menghancurkan negara sekiranya dilantik sebagai PM kerana pemimpin DAP itu bukan saja tidak boleh dipercayai, malah tiada prinsip kerana lebih mengutamakan agenda peribadi dan mengejar kuasa.

Katanya, memang impian Kit Siang sejak dulu untuk menggulingkan kerajaan demi untuk mendapatkan kuasa.

“Hanya Kit Siang yang tahu sama ada mahu menjadi Perdana Menteri atau Timbalan Perdana Menteri, namun kita tahu beliau bukanlah seorang pemimpin yang boleh dipercayai.

“Kit Siang pemimpin yang tidak ada nilai serta tidak ada prinsip perjuangan. Dulu sanggup menyuruh masyarakat menyokong PAS, namun apabila parti itu tidak mengikut telunjuknya, beliau kini beralih dengan menggunakan Tun Dr Mahathir Mohamad pula.

“Ini semua demi kepentingan peribadinya sahaja sehingga sanggup menggadai prinsip dan visi partinya yang sering berubah-ubah. Beliau juga cukup pandai memanipulasi keadaan dan membuat pusingan-U mengikut kepentingannya saja.

“Saya yakin hasrat Kit Siang menjadi pemimpin utama negara sekiranya pembangkang memenangi PRU14 hanya akan membawa perpecahan dan kemusnahan kepada masyarakat dan negara,” katanya.

Sebelum ini, Presiden PAS, Abdul Hadi dilaporkan berkata, rakyat perlu menolak pemimpin DAP yang bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri kerana ia bukan sahaja bercanggah dengan ketetapan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi juga hakikat kegagalan parti itu menjadi kerajaan bersih sepertimana yang berlaku di Pulau Pinang.

Minggu lalu, bekas Ahli Dewan Udangan Negeri (ADUN) DAP Jawi, Tan Beng Huat, mendakwa terdapat ‘cakap-cakap’ di dalam DAP mengatakan Kit Siang mahu menjadi Perdana Menteri, walaupun Ahli Parlimen Gelang Patah itu menafikan berniat demikian.

Tiada ulasan: