Jumaat, 15 Disember 2017

Ketua polis negara digesa ekstradisi Jho Low dari China



Pada awal bulan ini, akhbar Financial Times melaporkan yang 1MDB sedang bersiap sedia membayar balik hutang sebanyak AS$6.5 bilion (kira-kira RM26 bilion) dengan pertolongan negara China


Ketua polis negara digesa mendapatkan kerjasama kerajaan China untuk mengekstradisi ahli perniagaan kontroversi warga Malaysia, Jho Low bagi dibawa balik dan didakwa di negara ini ekoran penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Jurucakap Anak Muda Cari Jho Low (AMCJL) Faiz Fadzil berkata, akhbar The Australian mendedahkan bahawa penjenayah paling dikehendaki di dunia itu kini sedang bersembunyi di Shanghai, China dan menghabiskan masanya sama ada menginap di hotel mewah Peninsula atau belayar dengan bot mewahnya ‘Equanimity’ di sana.

Menurut Faiz, tiada keraguan bahawa Jho Low telah melakukan pelbagai kesalahan jenayah di negara ini dalam skandal 1MDB manakala Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat juga sedang melakukan siasatan terhadap perlakuan jenayah Jho Low.

Beliau menambah, Jho Low disebut sebagai arkitek utama penyelewengan dana 1MDB dalam saman Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DoJ) yang telah menggariskan kesalahan-kesalahan yang dilakukan di bawah undang-undang Malaysia termasuk penipuan menurut seksyen 415 dan 418 Kanun Keseksaan dan pemberian rasuah menurut seksyen 16 dan 17 Akta SPRM 2009.

Malah tegas Faiz, wang berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi MO1 (Malaysian Official 1) di Ambank daripada Tanore Account adalah dimiliki Jho Low.

“MO1 disahkan Menteri Datuk Abdul Rahman Dahlan sebagai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Ambank adalah institusi kewangan tempatan. Jadi, wang yang diseleweng daripada 1MDB tersebut boleh dianggap pelakuan merasuah MO1 bagi mengeluarkan Surat Sokongan yang ditandatangani Perdana Menteri bagi menjamin pengeluaran bon 1MDB sebanyak AS$3 bilion,” ujarnya.

Faiz melahirkan kehairanan dengan sikap ketua polis negara yang masih mendiamkan diri walaupun bukti-bukti berhubung kelakuan jenayah Jho Low telah banyak didedahkan.
“Tingkah laku sang penguasa di Putrajaya yang kini banyak berhutang dengan kerajaan China seperti projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) bernilai lebih RM55 bilion dan keistimewaan kepada negara kuasa besar dunia tersebut menguasai tanah-tanah di negara ini, tetapi pada masa yang sama membiarkan Jho Low bebas hidup di negara China mewujudkan persepsi negatif di kalangan masyarakat umum seolah-olah Jho Low sedang dilindungi kerajaan,” ujar beliau.
Sehubungan itu, Faiz menggesa Ketua Polis Negara bertindak dengan penuh integriti dalam menegakkan keluhuran undang-undang dengan mendapatkan kerjasama kerajaan China bagi menangkap dan mengekstradisi Jho Low untuk dibawa pulang ke Malaysia.

Malaysia dan China, tambah beliau mempunyai perjanjian Bantuan Perundangan Bersama (MLA) dan tangkapan Jho Low begitu penting bagi membolehkan siasatan jenayah dimulakan di negara ini.
Langkah ini, katanya penting supaya skandal 1MDB dapat diselesaikan dan masalah ekonomi terutama kejatuhan nilai Ringgit dapat diatasi.

“Jho Low tidak seharusnya dibiarkan terus bebas dan mengatasi undang-undang. Perlakuan jenayah Jho Low perlu dipandang berat semua pihak dalam negara ini kerana wang 1MDB berjumlah lebih RM20 bilion yang diseleweng Jho Low perlu ditanggung pembayar cukai di negara ini,” katanya.

Tiada ulasan: