Ahad, 17 Disember 2017

Kementerian patut ringankan beban bukan tambah beban

MSO


Kejadian jemaah tidur di lobby hotel disebabkan
ketiadaan bilik gara-gara travel agen biasa berlaku.
Pelaksanaan apa dinamakan sistem Pemantauan Manasik Bersepadu (IMAMS) yang akan mengendalikan urusan pengeluaran visa umrah dan ziarah di negara ini telah menimbulkan pro-kontra dan menjadi polemik di dalam media sosial. Menerusi sistem itu semua visa umrah dan ziarah akan diuruskan secara tunggal oleh badan berkenaan menerusi sistem itu.

Rasional yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan (KPK) yang bertanggungjawab membenarkan sistem ini wujud, ialah untuk menambah-baikan urusan pengeluaran visa juga kebajikan jemaah mengerjakan umrah dan ziarah. Namun awal-awal sudah ada kecurigaan sejauh mana alasan dan hujah itu benar dan boleh dipercayai?
Beberapa persoalan muncul apabila sistem baru dilancarkan itu dan akan berkuat kuasa 18 Disember 2017 ini, antaranya mengenai pemilik atau anggota lembaga badan itu sendiri (IMAMS). Apakah ianya dipunyai atau diduduki oleh orang Islam sepenuhnya atau sebaliknya? Ada pertikaian mengenal hal ini.

Dan apabila jemaah ditipu makan tepat untuk
bergantung harap ialah pemberian sabil. 
Sebelum sistem ini dilancar KPK seharusnya menjelas dan mengumumkan anggota pengarah dalam IMAMS ini agar ia tidak menjadi pertikaian dan mengelirukan. Penjelasannya hendaklah telus agar ia dapat mengelak sebarang persepsi ia diwujudkan atas motif politik untuk memberi kelabaan kepada kroni?

Bukan itu sahaja rasional ia diwujudkan dan juga kebaikan-kebaikan yang akan diperolehi dengan adanya sistem ini yang mana sebelum ini terdapat pelbagai masalah dalam urusan jemaah umrah negara ini.

Selebih dari itu, kewujudan sistem ini juga menjadi pertikaikan apabila semua syarikat mendapat lesen (KLU) dibawah KPK untuk menguruskan visa umrah dan ziarah perlu membayar sebanyak RM45.00 campur RM2.70 cukai GST ke atas setiap pemohon visa diuruskannya. Apakah ia bermaksud syarikat (agensi) akan membayar tanpa dikenakan cukai balas kepada setiap jemaah?

Selain itu juga, menerusi sistem ini, insuran perlindungan yang hendak diambil oleh jemaah dikenakan bayaran sebanyak RM85.00 bersama cukai GST sebanyak RM5.10 perorang. Dalam satu kenyataan KPK menjelaskan setiap jemaah tidak perlu membayar lebih daripada ditetapkan sebanyak RM90.10?

Kalau diteliti kepada peraturan ini ada dua bentuk bayaran "tambahan" yang dikenakan terhadap setiap jemaah menerusi sistem ini yang mana tidak wujud sebelum ini. Bayaran itu difahamkan ia akan dibayar oleh syarikat atau travel agen mengenalikan umrah, tetapi apakah apabila ia dilaksanakan hakikat itu jadi sebaliknya. Bahawa tiada lagi bayaran tambahan yang tersembunyi dibuat yang bakal membebankan jemaah?

Munasabahnya apabila syarikat atau agensi telah terbeban, tidak boleh tidak, mereka akan berkongsi dengan jemaah. Atas nama "kebajikan komersial" mereka akan melakukannya. Justeru kenyataan dan jaminan oleh KPK itu tidak boleh dipercayai apa lagi berdasarkan pengalaman lepas.

Misalnya mengenai kesan pelaksanaan cukai GST, seorang timbalan menteri (sebut saja namanya Ahmad Maslan) pernah membuat kenyataan apabila cukai GST dilaksanakan harga barang akan turun. Apa yang berlaku sebaliknya, harga barang melambung-lambung, naik macam belon ditiup angin. Kan itu sudah pembohongan hangit.

Sudah dipastikah apabila segala terma dalam sistem ini dilaksanakan nanti kadar itu kekal atau pun akan ada tambahan-tambahan lain tersembunyi yang tidak diumumkan. Perlu disedari jemaah umrah dan ziarah akan sanggup membayar berapa sahaja keperluan diminta apa lagi bila diminta pada saat-saat akhir atau semasa sudah berikhram di tanah suci demi mereka dapat mengerjakan umrah dengan sempurna. Kalau (perangkap) ini terjadi ia sungguh malang dan boleh dianggap sebagai satu bebanan dan penganiayaan kepada jemaah umrah.

Sistem itu bukan lagi untuk menambah baik tetapi menambah beban jemaah yang sudah pun terbeban secara tanpa sedar dilakukan oleh travel agensi sepanjang perjalanan umrah dan ziarah.

Janganlah pihak IMMAS atau kementerian sendiri mahu mengambil kesempatan atas perkara ini. Cukuplah dengan kezaliman yang ada terhadap marhaen jangan tambah lagi. Mohammed Nazri Aziz selaku menteri harus membuat penyelidikan sedalam boleh bagi memastikan tidak berlaku penganiayaan.

Dan jikalau mewujudkan IMMAS itu hanya untuk memberi peluang pekerjaan dan kewangan kepada segelintir orang (kroni) ia sangatlah malang dan kejam. Ada cerita-cerita mengatakan IMMAS itu didalangi oleh bekas wakil rakyat Umno dan anggota lembaga pengarahnya bukan Islam?

Dalam ekonomi negara tidak menentu kini, sepatutnya kerajaan khasnya KPK berfikir macam mana mengurangkan kos umrah dan ziarah serta memberi perjalanan terbaik bukannya menambahkan beban. Perjalanan umrah dan ziarah yang baik oleh rakyat negara ini juga menjadi aset kepada kesejahteraan negara. Bukankah semasa jemaah di Makkah dan Madinah mereka juga turut berdoa untuk kesejahteraan negara.

Kerana pelancaran sistem itu sudah menjadi kalut dan ia juga mendapat bantahan oleh agensi pengendali umrah dan ziarah elok kalau KPK mengkaji balik kesan dan impilikasinya. Janganlah KPK melihat kerana jumlah umat Islam negara ini ratusan ribuan dalam setahun ke tanah suci maka peluang diambil untuk menahan lukah di pergentingan bagi menceduk wang mereka.

Tahun depan dianggarkan sebanyak 300,000 rakyat negara ini akan mengerjakan umrah dan ziarah. Dari jumlah itu dipercayai puluhan juta dapat dipungut secara mentah. Ini tidak termasuk RM10,000 yang ambil daripada syarikat kendali umrah berjumlah kira-kira 83 buah. Wang jemaah umrah dan ziarah adalah wang yang disaring dengan penuh kemurnian sepatutnya ia dicermati betul-betul untuk disonglap macam wang 1MDB itu.

Daripada cuba menyeksa jemaah dengan sistem itu, sepatut KPK bangkit membenteras dan mengenal pasti kejadian-kejadian yang dihadapi oleh jemaah umrah dan ziarah yang tertipu atau dipermainkan oleh agensi. Apakah KPK tahu bahawa disebabkan kerenah individu dan juga agensi pengendalinya meyebabkan jemaah menjadi mangsa penipuan melibatkan kerugian wang jutaan ringgit.

Berbagai-bagai masalah dihadapi jemaah di sepanjang tahun dilaporkan kerana syarikat pengendali tidak berintegriti atau pun mempunyai modal cukup mengendalikan umrah. Sering berlaku jemaah tersadai semasa di Makkah dan Madinah kerana ketiadaan hotel dan kenderaan. Bukan itu sahaja ada juga syarikat yang diberikan lesen khas untuk menguruskan umrah dan ziarah (LKU) bertindak menjual visa tetapi tidak menguruskan pemergian jemaah sendiri kerana diserahkan kepada pihak lain.

Dalam kata lain syarikat berkenaan sudah tidak amanah dan telah menyalah gunakan kebenaran itu dengan mendapat untung tanpa memikul tanggungjawab yang diikrarkan.

Apabila urusan umrah dan ziarah dilakukan oleh individu yang tidak berpengalaman, berintegriti maka berlakulah penganiayaan, jemaah ditekan dan dipaksa membuat bayaran lebihan. Ada jemaah dikapor sepanjang masa apabila sudah berada di Makkah dan Madinah.

Selain itu ada juga jemaah terkandas di Makkah dan Madinah kerana hotel dan kemudahan kenderaan dijanjikan gagal disiapkan. Di sinilah berlaku penganiayaan sehingga ada jemaah terpaksa menelefon waris warah dan kawan sobat di tanah air untuk membantu mereka.

Kejadian seperti ini tidak diketahui oleh syarikat diberikan lesen menguruskan visa itu, tetapi kerana mereka memegang lesen LKU mereka harus bertanggungjawab dan boleh dipersalahkan. Syarikat-syarikat berkenaan seharusnya tidak melepas tangan selepas mendapat wang bayaran visa yang diproseskan tetapi juga perlu bertanggungjawab di sepajang perjalanan umrah tersebut.

Kes-kes sebeginilah yang patut diberi perhatian oleh KPK sebagai kementerian bersangkutan dengan umrah dan ziarah (pelancongan), bukannya mereka-reka sistem untuk menambahkan lagi beban "asrama" kepada jemaah seperti IMMAS itu.

Peraturan atau sistem yang sedia ada sudah mencukupi kalau KPK berasa bertanggungjawab untuk membantu jemaah agar sempurna. Yang penting bukan sistem tetapi penguatkuasan. Mana-mana syarikat yang tidak menunjukkan wibawa mereka dalam pengendalian umrah dan ziarah hendaklah dibatalkan terus lesen mereka tanpa kompromi kerana penipuan kepada jemaah umrah dan ziarah adalah perbuatan paling keji lebih zalim dari perbuatan Abu Jahal dan Abu Lahab.

Tiada ulasan: