Ahad, 24 Disember 2017

Kematian Zulfarhan dan Nhaveen buka mata isu buli

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Berita kematian pelajar T. Nhaveen dan Kadet Laut Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) Zulfarhan Osman Zulkarnain pada Jun lepas membuka mata pelbagai pihak tentang isu buli dan dera di negara ini yang semakin membimbangkan.

Kedua-dua kes mendapat liputan meluas media tempatan serta menjadi bualan pengguna media sosial tempatan dan antarabangsa yang rata-rata mempersoalkan tahap kesihatan mental masyarakat khususnya golongan muda di negara ini.

Nhaveen, 18, dibuli dan dipukul dengan kejam oleh sekumpulan remaja di Jalan Kaki Bukit, George Town, Pulau Pinang, sehingga mati otak selain mengalami kecederaan di bahagian dubur, dan meninggal dunia setelah lima hari koma di Unit Rawatan Rapi, Hospital Pulau Pinang.

Dalam kejadian 2.10 pagi, 9 Jun itu, rakannya, T. Previin, 19, turut dipukul oleh kumpulan berkenaan menggunakan topi keledar namun sempat melarikan diri bagi mendapatkan bantuan.

Susulan kes itu, empat remaja termasuk pelajar Tingkatan Empat dan Tingkatan Lima dihadapkan ke Mahkamah Majistret George Town atas tuduhan membunuh Nhaveen dan 11 Jan depan ditetapkan untuk pengurusan kes berkenaan.

Kes kematian Kadet Laut UPNM Zulfarhan Osman Zulkarnain, 21, akibat didera oleh beberapa rakan seuniversiti selepas dituduh mencuri komputer riba milik rakannya menimbulkan persoalan tahap keselamatan di institusi pengajian tinggi.

Penuntut tahun tiga jurusan Kejuruteraan Elektrik itu meninggal dunia di Hospital Serdang dengan kesan lebam dan melecur di bahagian dada, tangan dan kaki dipercayai akibat ditekap dengan seterika wap.

Susulan kematian Zulfarhan, sebanyak 36 penuntut UPNM dan Universiti Tenaga Nasional (Uniten) ditahan untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Selepas siasatan, 19 penuntut UPNM didakwa atas pertuduhan membunuh, bersubahat membunuh dan mencederakan Zulfarhan dan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menetapkan 14 hari bermula 29 Jan depan untuk perbicaraan kes.

Selain itu, kes enam pelajar tingkatan dua Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Parit, Perak yang dibuli 10 senior mereka kerana enggan meminjamkan kasut bola turut menarik perhatian umum.

Kes itu berakhir dengan kesemua 10 pelajar senior berumur 15 dan 16 tahun ditamatkan pengajian selepas didapati bersalah.

Dalam pada itu, kematian dua anggota pasukan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Sungai Wangi, Sitiawan, Perak, dipercayai didera tiga anggota sepasukannya dalam kejadian pada 1 Okt lepas menggambarkan gejala kes buli dan dera tidak terhad dalam lingkungan institusi pengajian sahaja.

Berdasarkan laporan bedah siasat, didapati kematian LK1 Muhammad Baihaqy Nik Mat, 28, disebabkan pendarahan paru-paru akibat trauma tumpul manakala LK 1 TLS Muhammad Lailatuliman Mohd Sukri, 26, meninggal dunia akibat pendarahan paru-paru serta trauma tumpul pada tisu lembut.

Susulan peningkatan masalah buli, pada 24 Nov lalu Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan akan melaksanakan empat langkah utama dalam menangani kes buli yang diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Sosial Negara yang dipengerusikan oleh beliau sendiri.

Empat langkah itu ialah melaksanakan pengelasan data yang memenuhi definisi buli yang sebenar dan diikuti langkah kedua iaitu kolaborasi yang berkesan bagi mewujudkan intervensisosial bersepadu antara Jabatan Pendidikan negeri, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara serta PDRM.

Langkah ketiga pula adalah memastikan agenda sosial dibincangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Tindakan Negeri dan Jawatankuasa Tindakan Daerah manakala langkah keempat ialah penggunaan media sosial oleh badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang bertindak sebagai ejen antibuli.– Bernama

Tiada ulasan: