Sabtu, 16 Disember 2017

Kekurangan parkir tunjukkan Putrajaya tidak tumpu rakyat

 
Tajuddin Rasdi mengeluh seni bina dan reka bentuk bangunan kerajaan memenuhi keperluan penjawat awam dan bukannya masyarakat pembayar cukai.


Tajuddin-Rasdi-parking-putrajaya

KAJANG: Putrajaya menunjukkan betapa terputusnya kerajaan daripada rakyat yang sepatutnya menjadi tumpuan khidmat mereka, kata seorang pensyarah seni bina hari ini, melihat kepada kekurangan bangunan bertumpuan rakyat di pusat pentadbiran negara itu.

Tajuddin Rasdi, yang menerajui sekolah seni bina di Universiti USCI, mengambil kekurangan tempat letak kereta untuk orang ramai di bangunan-bangunan kerajaan sebagai contoh menjelaskan hujahnya.

“Kemudahan dibina untuk rakyat, maka menjadi tanggungjawab perkhidmatan awam menyediakan tempat letak kereta secukupnya dan ruang menunggu yang selesa.

“Penjawat awam sepatutnya memberi khidmat kepada rakyat, kerana cukai kita membayar gaji perkhidmatan awam. Sebaliknya, perkhidmatan awam hanya memberi khidmat kepada diri sendiri, dengan tanda tertera ‘kakitangan sahaja’, seperti lot tempat kereta tempahan.

“Rakyat patut diberi keselesaan sebanyak mungkin kerana kamu memberi khidmat kepada kami, bukan sebaliknya,” katanya di wacana tentang seni bina dan bina negara di Universiti Prasarana Kuala Lumpur (IUKL).

Tajuddin menambah seni bina boleh jadi lebih baik di negara ini kerana ia wujud sebagai kemudahan untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Seni bina perlu berubah, kamu tidak lagi boleh buat seperti itu kerana bandar sepatutnya milik rakyat.”

Ditemui FMT kemudiannya, Tajuddin berkata pesanan lain kepada para arkitek, ahli akademi yang mengajar seni bina dan para pelajar ialah, tanya diri sendiri apa erti hidup dalam masyarakat berbilang budaya dan demokrasi bagi mereka.

“Mereka terlebih dahulu harus faham diri mereka dalam ruang sosio-politik, sebelum mula mereka bentuk sekolah, masjid, gereja, hospital dan bangunan kerajaan.”

“Arkitek mesti perhatikan perkara itu. Sebagai seorang warganegara, bererti kamu harus tahu, kamu seorang Melayu, Cina atau India, dan itu hanya sebahagian.

“Sebahagian lain ialah bangsa Malaysia, bertoleransi, penuh belas kasihan terhadap budaya lain yang juga warganegara. Kamu perlu jadi sebahagian daripada keluarga besar itu,” katanya.

Tajuddin mengeluh masalah hari ini ialah setiap kaum hanya dalam kelompok sendiri, dan kehilangan ciri-ciri bangsa Malaysia.

“Agama juga disumbat ke dalam binaan seragam yang sempit sedangkan bukan begitu sepatutnya.
“Sistem pendidikan kita juga dimasukkan pelbagai macam perkara. Ia sama sekali melangkau idea demokrasi dan maruah warganegara di negara ini,” katanya

Tiada ulasan: