Oleh Ainor Rahim
SHAH ALAM: DAP belum membincangkan sebarang bentuk tindakan yang bakal
dikenakan terhadap ahlinya Datuk Zaid Ibrahim susulan tweet
'keterlaluan' kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Ahli Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) yang juga ahli jawatankuasa DAP
Selangor, Ronnie Liu turut meminta supaya semua pihak tidak membuat
sebarang spekulasi berhubung hal itu.
"DAP setahu saya belum ada perbincangan lagi. Kita belum ada
perbincangan lagi. Jadi jangan buat sebarang spekulasi," katanya ketika
dihubungi Antarapos hari ini.
Beliau mengulas gesaan Umno Selangor yang mencabar kepimpinan parti
dominasi Cina itu supaya memecat Zaid bagi membuktikan DAP tidak
mempunyai kaitan dengan kenyataan itu.
Zaid mencetuskan kontroversi apabila 'menegur' Sultan Sharafuddin
dengan menulis tweet berbunyi: "Sultan Selangor seharusnya lebih
berhati-hati dengan kata-katanya. Tiada sesiapa yang kebal apabila
negara terbakar.”
Zaid menulis tweet berkenaan sebagai reaksi kepada kenyataan Sultan
Sharafuddin yang berkata agenda politik Tun Dr Mahathir Mohamad didorong
“kebencian” dan akan “membakar seluruh negara dengan api kemarahannya”.
Kenyataan Zaid itu mengundang kemarahan, terutamanya daripada Umno yang
mahu tindakan diambil terhadap beliau kerana bersikap biadap terhadap
Sultan.
Kelmarin Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, ahli DAP “bebas
menyuarakan pandangan mereka, tetapi mesti sanggup berdepan akibatnya”.
Sementara itu, Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali pula
dilaporkan sebagai berkata Zaid perlu bertanggungjawab terhadap atas
tindakan beliau.
Dalam pada itu awal hari ini, sekumpulan ahli DAP yang diketuai Ahli
Parlimen Segambut Lim Lip Eng tampil membuat laporan polis terhadap
Ketua Umno Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Yunos, bagi
mempertahankan Zaid.
Ia susulan ugutan Jamal yang mahu 'menghentak' kepada bekas menteri hal ehwal undang-undang itu.
Jamal yang juga Pengerusi Gabungan NGO Malaysia direman dua hari
bermula hari dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan iaitu
dengan sengaja mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan dan
Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan