Isnin, 11 Disember 2017

Cadangan daftar portal berita dalam talian masih dikaji

DETIK DAILY

 
Kerajaan masih mengkaji cadangan mewajibkan semua portal berita dalam talian di negara ini supaya berdaftar dengan pihak yang berkaitan.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Jailani Johari juga hari ini mengesahkan kerajaan sedang berhubung dengan semua pihak yang berkenaan dalam hal itu.

"Untuk mendaftarkan (portal) dalam talian, kita tak boleh tiru langkah kerajaan Singapura begitu saja.

"Kita ada pendekatan sendiri. Kerajaan percaya buat masa ini beberapa undang-undang sedia ada memadai untuk membolehkan sesuatu tindakan diambil," katanya pada sidang media di Putrajaya hari ini.

Pada masa sama kata Jailani kementeriannnya cuba meningkatkan kesedaran orang ramai ketika ledakan teknologi maklumat serta internet berkembang pesat.

Ditanya sama ada kerajaan menetapkan tarikh akhir bagi menguatkuasakan peraturan itu, Jailani berkata, tiada keputusan diambil setakat ini.

"Belum lagi, sabar," katanya.

Cadangan untuk mewajibkan semua portal dalam talian berdaftar dengan kerajaan diumumkan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Salleh Said Keruak pada Ogos lalu.

Biarkan siasatan berjalan

Katanya cadangan berkenaan ditimbulkan supaya semua portal berita dalam talian di negara ini lebih bertanggungjawab dan pada masa sama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) boleh menentukan jumlah pelawat mereka.

Dengan pendaftaran itu semua portal berita tertakluk kepada undang-undang mengikut Akta SKMM.
Sementara itu ditanya mengenai siasatan ke atas portal berita The Malaysian Insight (TMI), Jailani berkata ia masih berjalan.

"Biarkan proses siasatan selesai dulu dan kami akan memaklumkannya kepada anda (apabila tiba masanya nanti)," katanya.

Portal TMI kini disiasat selepas beberapa pewakilan Umno membanngkitkan isu berkenaan semasa Perhimpunan Agung Umno yang baru berakhir Sabtu lalu.

Kata mereka portal berita itu giat menyerang kepimpinan parti, terutama presiden mereka, Datuk Seri Najib Razak.

Mereka juga menuntut kerajaan menyiasat isteri Peguam Negara Puan Sri Faridah Begum K A Abdul Kader yang menjadi pemilih portal terbabit. 
 
 

Tiada ulasan: