Isnin, 18 Disember 2017

Bukan demo tapi solidariti untuk Cikgu Azizan – NUTP

Muhamad Izwan Mohd Zubit



KUALA LUMPUR – Rancangan sekumpulan guru untuk hadir beramai-ramai esok di luar Mahkamah Majistret Seremban esok bagi menunjukkan solidariti kepada Cikgu Azizan bukan untuk berdemonstrasi, jelas Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP).


Setiausaha Agungnya, Harry Tan Huat Hock menerangkan rancangan untuk berhimpun tersebut akan diadakan secara aman dan beretika malah berjanji untuk menjaga imej warga pendidik sendiri.

“No piket, no demonstrasi…kita cikgu tetapi kita akan buat tiga tuntutan kepada masyarakat Malaysia, demi menyelamatkan murid dan pelajar kita…Anakku Sazali tidak akan berulang,” beliau dipetik berkata.

Dalam pada itu, beliau turut memberitahu beberapa peguam wanita daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Friends For Life (LFF) juga sudah menyatakan kesediaan membantu peguam mewakili Cikgu Azizan dalam perbicaraan kes esok.

Dijangka seramai 300 guru, ibu bapa, NGO dan masyarakat setempat akan hadir, termasuk Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda.

Turut dijangka hadir Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Exco Pendidikan dan Kesihatan Negeri Sembilan, Datuk Shamsulkahar Mohd. Deli.

Azizan merupakan Penolong Kanan Hal Ehwal Pelajar di sekolah tersebut.

Pada Oktober lalu, beliau dihadapkan di mahkamah di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan atas tuduhan memukul seorang pelajar. Jika disabit, Azizan boleh dihukum setahun penjara, denda RM2,000 atau kedua-dua sekali.

Penyokong Azizan turut melancarkan kempen di media sosial dengan hashtag “PrayForCikguAzizan”.

Kempen itu turut menerima sokongan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) yang turut mengajak guru berhimpun di mahkamah esok, di samping menyediakan peguambela untuk Azizan. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: