Ahad, 17 Disember 2017

Bicara kes perebutan Wisma Tok Guru 4 Januari ini

Manzaidi Mohd Amin
Husam Musa

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi Kota Bharu menetapkan 4 Januari depan bagi perbicaraan saman pemula Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor, Datuk Husam Musa.

Tarikh itu ditetapkan Timbalan Pendaftar, Wan Nor Aklima Wan Salleh untuk membolehkan pihak Husam yang diwakili peguam Hasif Azham Rizal dan Pas Kelantan menyediakan dokumen sebelum dikemukakan pada 2 Januari.

Husam mengemukakan saman pemula bagi menuntut haknya ke atas bangunan Wisma Tok Guru yang dijadikan pejabat DUN Salor selepas mendapat kebenaran daripada pemilik asal tanah itu, Allahyarham Datuk Rosli Ibrahim sebelum dijual.

Defendan yang juga Setiausaha Kerja Pas Kelantan, Mohd Yasin Yusoff diwakili peguam Nor Bahrom & Co.

Sebelum ini, mahkamah menolak permohonan injunksi Husam terhadap pemilik tanah itu.

Keputusan itu dibuat Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Ahmad Bache, selepas mengambil kira keterangan Husam selaku plaintif dan defendan Mohd Yasin, melalui peguam masing-masing. – MalaysiaGazette


Tiada ulasan: