Rabu, 13 Disember 2017

AMANAH sebenarnya tak yakin dapat kalahkan PAS

DETIK DAILY



PAS Kelantan berkata Parti Amanah Negara (AMANAH) sebenarnya tidak yakin dengan kekuatan mereka namun menyembunyikan keresahan itu dengan meletakkan calon kurang dikenali di kubu kuat parti terbabit.

Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari, berkata apabila Datuk Husam Musa menyatakan keyakinan bahawa AMANAH boleh menang kerusi Dewan Undangan Negeri Panchor, ada kemungkinan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan sebenarnya tidak yakin.

"Lalu beliau (Husam) letakkan orang yang beliau rasa kalau kalah pun tidak mengapa.

"Jika yakin menang, beliau sendiri (sepatutnya) bertanding dan tidak akan kata yakin menang," kata Ahmad Fadhli dalam satu kenyataan hari ini.



Kenyataan itu dilihat jawaban kepada cadangan Husam meletakkan Ketua Pemuda AMANAH Kelantan, Hazmi Hassan, untuk mencabar Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah di Panchor pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

Panchor terletak di dalam kawasan parlimen Pengkalan Chepa dan ia memang dikenali satu daripada kawasan selamat buat PAS.

Husam adalah bekas naib presiden PAS yang kini dilantik sebagai naib presiden AMANAH.

PAS cabar Husam

Sebagai rekod, Mohd Amar yang juga timbalan menteri besar Kelantan mempertahankan kerusi tersebut sejak 2004. Pada PRU lalu, beliau menewaskan calon BN, Che Rosli Hassan dengan majoriti 5,036.

Husam berkata Hazmi - atau lebih dikenali dengan panggilan Jeming - mempunyai kekuatan tersendiri dan boleh menggunakan pengaruh ayahnya yang aktif dalam PAS sebelum ini.



"Ayah Jeming ialah bekas setiausaha PAS Pengkalan Chepa, bekas pegawai khas kepada tok guru (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) cuma beliau belum isytihar masuk AMANAH.

"Tetapi kalau Jeming (Hazmi) jadi calon HARAPAN di Panchor, saya yakin ayahnya boleh menggunakan pengaruh beliau di Panchor," katanya.

Sementara itu, Ahmad Fadhli yang juga naib ketua Pemuda PAS Pusat dilaporkan mencabar Husam supaya bertanding sendiri di kerusi kubu kuat PAS itu.

Menurutnya, Husam tidak perlu mencalonkan orang lain untuk bertanding mencabar Mohd Amar.

"Pada saya, beliau sendiri tidak yakin untuk memenangi kerusi tersebut justeru meletakkan calon yang tidak merupakan pimpinan utama HARAPAN Kelantan untuk bertanding.

"Saya mencabar beliau. Jika yakin partinya boleh menang di kerusi yang dimenangi oleh PAS dengan majoriti selesa, beliau sendiri sepatutnya mengisytiharkan diri terlebih awal untuk bertanding di kerusi tersebut,” katanya seperti dilaporkan Sinar Online hari ini.

Tiada ulasan: