Jumaat, 15 Disember 2017

Ahli akademik akui kos sara hidup tinggi

 
Ahli akademik akui kos sara hidup tinggi



Selepas beberapa artis dan selebriti tanah air mengkritik tentang tekanan kos sara hidup yang dihadapi rakyat pada masa ini, ahli akademik turut menyuarakan hal sama beserta fakta semasa.

Dr Ahmed Razman Abdul Latiff

Penganalisis ekonomi Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berpendapat peningkatan kos barangan jauh melonjak berbanding kenaikan gaji yang perlahan.

Menurutnya, jurang pendapatan pula terlalu tinggi manakala sebahagian pendapatan bulanan yang rendah diperoleh majoriti rakyat negara ini terpaksa dihabiskan untuk perbelanjaan.

“Jika dilihat, kenaikan gaji di Malaysia tidak dapat menyaingi harga barangan yang semakin meningkat, selain wujud jurang ketidaksamaan antara gaji pengurusan tertinggi dengan pekerja peringkat bawahan.

“Malah, berdasarkan statistik juga purata perbelanjaan isi rumah di bandar dianggarkan kira-kira RM3,200 sebulan.

“Selain itu, sejumlah 89 peratus populasi pekerjaan di negara ini juga merekodkan pendapatan kurang daripada RM5,000 sebulan,” dipetik daripada akhbar Berita Harian hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) semalam berhubung penambahbaikan ke atas skim dan polisi KWSP.

Mengulas empat langkah penambahbaikan tersebut yang berkuat kuasa 1 Januari 2018, Dr Ahmed berpendapat usaha KWSP itu dapat mengurangkan beban pencarum dalam menangani kos sara hidup yang semakin tinggi.

Bagaimanapun, beliau mengingatkan pencarum juga perlu berdisiplin menguruskan kewangan dan bersedia untuk menghadapi tempoh persaraan dengan wang mencukupi selain peranan kerajaan dan pihak swasta dalam membantu ahli KWSP.

Semalam, KWSP mengumumkan polisi pengeluaran 55 tahun dan 60 tahun yang dipermudahkan bagi membolehkan pencarum melakukan pengeluaran sebahagian dalam sebarang jumlah pada bila-bila masa daripada akaun mereka.

Polisi semasa hanya membenarkan pengeluaran tidak kurang RM2,000 setiap 30 hari.

Turut diumumkan, pilihan Amanah Raya Berhad sebagai penama/pentadbir atau pemegang amanah kepada simpanan KWSP bagi memudahkan agihan simpanan kepada waris terdekat apabila pencarum meninggal dunia.

Ahli KWSP juga boleh membuat gabungan pengeluaran sebahagian dan bulanan pada bila-bila masa sehingga usia 100 tahun berbanding had umur semasa 75 tahun.

Selain itu, had umur ahli dilanjutkan kepada 60 tahun berbanding 55 tahun pada masa ini untuk waris terdekat menuntut bantuan kematian berjumlah RM2,500 jika pencarum meninggal dunia sebelum usia 55 tahun.

Tiada ulasan: