Ahad, 17 Disember 2017

Adun DAP gesa kerajaan ambil berat selepas gangguan elektrik 3 hari

 
Kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan perlu lebih serius bangunkan tenaga boleh diperbaharui kerana gangguan di Johor dan Skudai baru-baru ini membayangkan permintaan yang mendesak.


Boo-Cheng-Hau-elektrik

PETALING JAYA: Seorang Adun DAP menggesa kerajaan persekutuan, negeri dan tempatan membangunkan sektor tenaga boleh diperbaharui dengan lebih serius ekoran gangguan bekalan elektrik selama 3 hari di Skudai dan Johor Bahru baru-baru ini.

Adun Skudai Boo Cheng Hau mahu kerajaan setiap peringkat mengambil berat gangguan pada 13-15 Disember itu kerana ia membayangkan permintaan bekalan elektrik yang semakin mendesak, khasnya di Iskandar Malaysia yang sedang pesat membangun.

Malangnya, kerajaan belum ada sebarang dasar tenaga yang ketara demi mempromosi tenaga boleh diperbaharui.

“Johor memerlukan penyelidikan dan pembangunan dalam sumber tenaga boleh diperbaharui secara jangka masa panjang untuk mengimbangi pergantungan kepada bahan bakar fosil dengan biomas, bahan bakar bio dan hidro secara lestari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Persoalan sama ada kerajaan bersedia untuk mara ke arah negeri hijau melalui usaha mengalakkan pemasangan kuasa tenaga boleh diperbaharui perlu ditangani dengan kadar segera.”

Menurut Boo, gangguan bermula pagi 13 Disember itu melibatkan 18,000 pengguna di Skudai dan Johor Bahru. Menurut TNB, gangguan akibat kerosakan pada pencawang masuk utama Perling dan baik pulih melibatkan 164 pencawang yang terjejas.

Pada September, gangguan bekalan elektrik menyebabkan 126,171 pengguna di Johor Bahru dan Kulai terjejas bekalan air apabila loji rawatan air Semangar berhenti operasi.

“Permasalahan gangguan bekalan elektrik akan semakin serius tetapi boleh dikurangkan jika tenaga solar dan turbin angin dibangunkan secara proaktif,” kata Boo.

Beliau kesal menjelang 2030, arang masih menjadi sumber penjana elektrik utama iaitu 49%, diikuti gas asli (41%), hidro (5.7%) dan minyak (1%).

“Tenaga boleh diperbaharui cuma 3.3%,” katanya.

Tiada ulasan: