Ahad, 31 Disember 2017

1MDB: Malaysia tidak terhutang budi kepada sesiapa pun

THE MALAYSIAN TIMES
 


PUTRAJAYA: Malaysia tidak terhutang budi kepada sesiapa pun dalam isu melunaskan bayaran hutang 1Malaysia Development Bhd’s (1MDB), kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Kita tidak terhutang budi kepada sesiapa pun,”’ katanya kepada pemberita pada majlis pelancaran ePerolehan Baharu di sini, hari ini.

Beliau mengulas pertanyaan mengenai dakwaan pembabitan firma-firma China dalam usaha membantu melunaskan bayaran hutang 1MDB kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) yang berpejabat di Abu Dhabi.

Menurut laporan akhbar Straits Times Singapura, 1MDB telah membuat pembayaran akhir obligasi hutangnya sebanyak US$602.7 juta kepada IPIC dengan menjual kepentingannya dalam dua syarikat yang ada kaitan dengan dua firma milik kerajaan China.

Pembayaran berkenaan, iaitu yang kedua bagi pinjaman berjumlah US$1.2 bilion yang dilanjutkan pada Julai 2015 kepada 1MDB, telah dibuat pada 22 Disember lepas, kata laporan itu.

Malah, pembayaran berkenaan adalah lebih awal daripada tarikh akhir yang dijadualkan pada akhir Disember ini sepertimana dipersetujui kedua-dua pihak pada awal 2017, kata Straits Times.

Usaha pembayaran itu juga adalah tertakluk kepada Surat Ikatan Penyelesaian dengan Menteri Kewangan (Diperbadankan) Malaysia dan IPIC.

Ketika diminta mengulas laporan itu, Johari sebaliknya berkata perkara itu sewajarnya diajukan kepada Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Dr Mohd Irwan Serigar Abdullah.

“Saya tidak tahu menahu mengenainya. Anda boleh tanya (Tan Sri) Irwan Serigar yang juga Pengerusi 1MDB,” katanya.

Tiada ulasan: