Selasa, 19 Disember 2017

169,250 keping lampin pakai buang tiruan dirampas

ANTARAPOS
 
Post Pic
 
 
KOTA BHARU: Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) negeri merampas sebanyak 169,250 keping lampin pakai buang jenama tiruan yang dianggarkan bernilai lebih RM73,000 dalam tiga serbuan di Rantau Panjang dan Wakaf Bharu, Tumpat semalam.
 
Pengarahnya, Datuk Ab.Ghani Harun berkata, serbuan yang bermula pada pukul 10 malam sehingga 4 pagi itu dilakukan selepas pihaknya menerima laporan daripada pemilik jenama lampin tersebut.
 
Katanya, serbuan tersebut dilakukan di dua buah premis di Rantau Panjang dan sebuah stor penyimpanan di Wakaf Bharu.
 
"Selepas melakukan serbuan dan merampas sebanyak 13,250 keping lampin pakai buang di dua buah premis di Rantau Panjang, kita telah mendapat maklumat baharu mengenai lampin tersebut yang turut disimpan di dalam stor di Wakaf Bharu.
 
"Selepas mengeledah stor tersebut, kita menemukan sebanyak 156,000 keping lampin pakai buang berjenama tiruan itu,' katanya dipetik Utusan Online.
 
Tambah Ab. Ghani, serbuan tersebut tidak melibatkan sebarang tangkapan berikutan pemiliknya tidak berada di premis.
 
"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Perihal Dagangan 2011 kerana menggunakan, membekal, menawarkan, mendedahkan atau mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan dengan cap dagangan berdaftar iaitu POPODRY.
 
"Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barang yang menggunakan perihal dagangan palsu atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali," katanya.
 
 

Tiada ulasan: