Selasa, 12 Disember 2017

13 Masjid di Terengganu dirikan solat Jumaat tanpa kebenaran



13 Masjid di Terengganu dirikan solat Jumaat tanpa kebenaran


Persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu hari ini diberitahu terdapat 13 masjid di seluruh negeri ini yang dikesan mendirikan solat Jumaat tanpa kebenaran.

Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Multimedia & Tugas-Tugas Khas negeri, Ghazali Taib berkata sembilan masjid tersebut berada di daerah Besut dan masing-masing sebuah di Marang, Dungun, Kuala Nerus dan Kemaman.

Beliau berkata pada 22 Februari 2015, mesyuarat Jawatankuasa Penasihat Hal Ehwal Islam Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bersetuju memberi kebenaran mendirikan solat Jumaat kepada tujuh surau di Besut, tertakluk kepada beberapa syarat.

“Syarat pertama,pemohon perlu mendapatkan sekurang-kurangnya 80 tandatangan pemastautin. Kedua, ia tidak akan menjejaskan solat Jumaat di masjid sedia ada, tidak dibenarkan mempamerkan sebarang simbol atau kenyataan berkaitan parti politik dan Maidam boleh mengawal surau tersebut.

“Permohonan kebenaran mendirikan solat Jumaat oleh surau Kampung Tok Saboh di Besut pula ditolak oleh Maidam kerana jaraknya dengan masjid sedia ada kurang daripada satu kilometer.

“Selain itu, Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) pernah mengarahkan Masjid Lama Tebing Tembah di Paka, Dungun agar tidak lagi mendirikan solat Jumaat, namun masyarakat mengingkari arahan itu. Sehubungan itu, Bahagian Penguatkuasaan JHEAT membuat pemantauan ke atas masjid tersebut,” katanya.

Beliau menjawab soalan lisan Mohd Iskandar Jaafar (BN-Jabi) di persidangan Dun hari ini.

Menjawab soalan tambahan Mohd Iskandar mengenai terdapat empat masjid mendirikan solat Jumaat dalam radius tiga kilometer sehingga menjejaskan kehadiran jemaah di masjid lama, Ghazali berkata kerajaan negeri tidak mahu mengambil tindakan tegas terhadap pengurusan masjid atau surau yang tidak mendapat kebenaran Maidam itu.

Sebaliknya, beliau menegaskan dakwah secara berhikmah perlu dibuat untuk menarik semula kehadiran jemaah ke masjid yang mendapat kebenaran Maidam sahaja.

“Sebenarnya, jumlah masjid yang mendirikan solat Jumaat tanpa kebenaran ini sudah semakin berkurangan hasil pendekatan berlembut diambil kerajaan negeri.

“InsyaAllah, kita akan terus berusaha untuk memastikan masyarakat faham pentingnya mengimarahkan masjid terdekat yang berada di kampung mereka sendiri untuk melaksanakan ibadah ini,” katanya.

Tiada ulasan: