Sabtu, 9 Disember 2017

10,000 berhimpun di kedutaan bantah Trump

NUR HASMIRA MOHAMAD
 
 
LEBIH 10,000 umat Islam negara ini turun berdemonstrasi di hadapan kedutaan Amerika Syarikat pada hari semalam selepas tindakan biadap Presiden Amerika Syarikat mengisytihar Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel menimbulkan kemarahan umat Islam di seluruh dunia.
 
Kehadiran yang dikuasai 70 peratus daripada anak muda bangkit menyatakan kebersamaan mereka terhadap sokongan membantah kebiadapan Amerika Syarikat dan Israel yang telah menceroboh tempat ketiga paling suci untuk umat Islam
 
Bertalu-talu ucapan kecaman terhadap Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Israel menggegarkan Jalan Tun Razak malah pelbagai sepanduk dan bendera Palestin berkibaran di tengah-tengah himpunan menandakan amarah umat Islam terhadap tindakan sekutu Israel itu.
 
Himpunan bermula selepas umat Islam menunaikan solat Jumaat di Masjid Tabung Haji, Jalan Tun Razak dan berakhir sejam kemudian turut dihadiri oleh pelbagai latar belakang badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam dan bukan Islam yang dikepalai oleh PAS
 
Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Malaysia, ustazah Wan Hasrina Hassan dalam ucapannya mencabar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak agar bertegas dengan Amerika Syarikat dengan tidak secara bersembunyi tetapi memboikot semua produk daripada negara tersebut
 
Ujarnya, malangnya Barisan Nasional sendiri tidak menunjukkan ketegasannya dalam mempertahankan umat Islam di al-Aqsa dan keganasan yang dilakukan oleh rejim zionis itu.
 
Wakil MAPIM dalam ucapannya di perhimpunan solidariti bantahan sikap Amerika Syarikat 'menceroboh' Baitulmaqdis berkata, memorandum telah diserahkan dan diterima oleh Ketua Keselamatan kedutaan Amerika Syarikat
 
Tegasnya, penyampaian memorandum tersebut tidak datang daripada individu daripada negara ini sebaliknya ia adalah bantahan solidariti daripada seluruh umat Islam di negara ini yang menolak sekeras-kerasnya tindakan Presiden Amerika Syarikat itu.
 
"Di sini saya nak sampaikan amanat daripada Pengerusi MAPIM (Mohd Azmi Abdul Hamid) yang kini berada di Jakarta menyatakan bahawa bantahan ini bukan sahaja berlaku di negara ini malah di Indonesia seramai 1.8 juta umat Islam di sana telah berhimpun mengadakan bantahan
 
Bantahan juga dilakukan di Thailand, Brunei dan beberapa lagi negara Asean yang turut menyatakan suara kebersamaan ini," katanya.
 
Ujarnya, umat Islam negara ini tidak harus membiarkan tempat suci ketiga umat Islam itu dijajah sekali lagi selepas umat Islam pernah kehilangannya sejak tahun 1948 dan hari ini telah 69 tahun perkara itu berlalu
 
Namun peristiwa tersebut berulang kembali apabila Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump tanpa segan silu dan tidak bertanggungjawab bertindak mengisytihar Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel pada 7 Disember lalu waktu Malaysia.
 
Himpunan solidariti berakhir tepat jam 3 petang dengan diakhiri ucapan dan doa daripada Naib Presiden PAS, ustaz Idris Ahmad.
 
Dalam ucapannya, ustaz Idris menegaskan isu al-Aqsa bukan isu agama semata-mata sebaliknya ia merupakan isu sejagat, isu kemanusiaan, isu kedaulatan dan demokrasi malah tambah beliau, Palestin telah diiktiraf kerakyatan mereka.
 
Beliau yang berucap mengakhiri himpunan dengan ucapan doa selamatkan Palestin dan Baitulmaqdis diiringi air mata yang meruntun jiwa hampir seluruh hadirin yang hadir pada petang tersebut. – HARAKAHDAILY
doa
aman
aman1



Tiada ulasan: