Sabtu, 11 November 2017

Thailand tumpas cubaan seludup dadah ke Kedah



Bernama


BANGKOK – Satu cubaan menyeludup 81 kilogram dadah ‘Ice’ dan 200,000 pil ‘Yaba’ ke Kedah ditumpaskan oleh pihak berkuasa Thai yang mengadakan operasi dengan menggabungkan beberapa agensi keselamatan di Hatyai, bandar popular di selatan, beberapa hari lepas.

Menurut Ketua Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand, Sirinya Sitdichai, lima lelaki tempatan dari wilayah Narathiwat di selatan Thailand ditahan dalam serbuan di Hatyai pada 8 November.

“Suspek memberitahu penyiasat, mereka dibayar RM80,000 untuk menyeludup dan menyerahkan dadah kepada seorang anggota sindiket di Kedah,” katanya kepada media hari ini, dan menambah, dadah itu dijumpai disembunyikan di dalam sebuah kenderaan pikap yang berdaftar di Narathiwat.

Beliau berkata, dadah itu akan dibawa ke Australia selepas tiba di Kedah, dan dijual dengan harga lebih tinggi di pasar gelap.

Lelaki yang ditangkap itu turut memberitahu penyiasat, mereka berjaya menyeludup dadah itu ke Kedah dari daerah Rattapoom di wilayah Songkla, dua kali sebelum ini, sebelum gagal dalam percubaan ketiga.

Pihak berkuasa Thai kini berhubung dengan rakan setugas di Malaysia untuk memperluaskan siasatan, terutamanya dalam memburu dalang sindiket terbabit.

Sirinya berkata, pihak berkuasa Thai mengekori anggota sindiket sejak Oktober ketika dadah itu berada di utara Thailand sebelum dibawa ke wilayah selatan.Ditanya sama ada sindiket dadah itu
mempunyai sebarang kaitan dengan raja dadah yang ganas di selatan Thai dikenali sebagai “Usman Salamaeng”, ketua ONCB itu berkata mereka masih mengumpul maklumat lanjut berkaitan perkara itu.

Katanya, seorang daripada lima lelaki yang ditahan itu mempunyai sejarah pembabitan dengan aktiviti militan Thailand, bagaimanapun, beliau tidak mendedahkan butiran lanjut.- Bernama


Tiada ulasan: