Rabu, 15 November 2017

Polis takut buka beg tertuduh kes bunuh Kim Jong-nam

MALAYSIAKINI



Seorang pegawai polis yang menahan tertuduh pertama Siti Aisyah dalam kes pembunuhan abang pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam kelihatan gugup apabila diminta membuka beg eksibit yang mengandungi baju tanpa lengan milik tertuduh di Mahkamah Tinggi di Shah Alam, hari ini.

Pegawai Turus D9 Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Selangor, Supt Nasri Mansor memberitahu mahkamah bahawa beliau takut untuk membukanya kerana bimbang dengan kesan yang mungkin akan dialaminya.

"Sebelum ini ketika serbuan dan rampasan dibuat, saya mengalami kesan sampingan selama seminggu akibat pengambilan baju itu kerana tidak memakai sarung tangan," katanya ketika pemeriksaan balas peguam Gooi Soon Seng yang mewakili Siti Aisyah.

Gooi: "Bahagian yang mengandungi racun sudah dipotong dan dibuang ketika membuat analisis oleh Dr S.Raja dan yang ada dalam beg eksibit ini adalah baki. Oleh itu eksibit itu boleh dibuka”.

Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad tidak membantah supaya beg eksibit itu dibuka dan menyerahkan perkara itu kepada budi bicara mahkamah.

Hakim Datuk Azmi Ariffin membenarkan beg eksibit itu dibuka selepas semua pihak termasuk pihak pendakwaan dan pembelaan bersetuju dan mengingatkan bahawa ia dibuka atas risiko sendiri.

Beliau turut membenarkan semua pihak yang mahu memakai penutup mulut semasa berada di dalam mahkamah.

Terdahulu Gooi meminta Nasri untuk membuka beg eksibit itu kerana beliau mahu menunjukkan tandaan yang sudah dibuat pada baju itu dengan menggunakan 'marker pen'.

Ia berikutan, apabila dilihat secara luaran daripada beg eksibit, tandaan itu sudah tidak kelihatan.
Saksi ke-16 itu menjelaskan bahawa tandaan itu sudah hilang kerana sebahagian baju itu sudah dipotong ketika dianalisis di makmal.

Kepada soalan lain Gooi, Nasri menafikan ada dua lagi wanita bernama 'Mey' dan 'Wati' menyewa bilik itu sejak setahun tinggal bersama-sama Siti Aisyah.

Gooi: Ketika serbuan, 'Mey' dan 'Wati' sedang baring di atas katil, manakala tertuduh hanya duduk di atas katil?

Nasri: "Tidak setuju".

Nasri memberi keterangan pada perbicaraan kes warga Indonesia Siti Aisyah, 25, dan warga Vietnam Doan Thi Huong, 28, didakwa bersama-sama empat yang masih bebas membunuh Kim Chol, 45, di Balai Pelepasan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) pada 9 pagi, 13 Feb lalu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azmi Ariffin bersambung esok.

Tiada ulasan: