Isnin, 13 November 2017

Perhimpunan Agung Umno 2017 tumpu persediaan PRU-14

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Perhimpunan Agung Umno (PAU) 2017 akan menumpukan kepada persediaan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bagi mendapat mandat lebih besar untuk kerajaan berbanding pemilihan parti.
 
Naib Presiden Umno, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, tiada gunanya jika perwakilan berbincang mengenai kedudukan atau jawatan tinggi dalam parti jika tidak mendapat mandat besar dalam PRU-14.
 
“Saya minta supaya usul-usul berkaitan dengan pemilihan Umno jangan kita bahaskan pada perhimpunan kali ini kerana tumpuan kita adalah pilihan raya dan bagaimana untuk mendapat mandat lebih besar.
 
“Setakat ini, kita menerima pelbagai usul daripada Umno bahagian dan majoriti mengemukakan usul berkaitan politik,” katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Usul Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn, di sini hari ini.
 
Yang turut hadir Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa dan beberapa ahli majlis tertinggi Umno iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Mahdzir Khalid.
 
Pada tahun ini, sebanyak 826 usul diterima daripada 191 Umno bahagian di seluruh negara.
 
Daripada jumlah tersebut, 635 usul diterima untuk rujukan, 191 usul diterima tanpa bahas manakala tiada usul yang ditolak.
 
Daripada 635 usul yang diterima, 238 usul adalah politik, ekonomi (79), agama (40), sosial (97), pendidikan (114), satu usul melibatkan pindaan Perlembagaan dan 66 adalah lain-lain usul. 
 
 

Tiada ulasan: