Ahad, 12 November 2017

Pelumba wanita trek negara dibatalkan penyertaan pada final keirin di Manchester

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pelumba trek wanita negara, Fatehah Mustapa tidak mengalami sebarang kecederaan serius selepas terbabit dalam kemalangan pada final keirin di siri kedua Piala Dunia yang berlangsung di Manchester, awal pagi tadi.
 
Namun, malang buat Fatehah apabila komisar perlumbaan membatalkan penyertaannya dan mendakwa menjadi punca insiden kemalangan yang menyebabkan pelumba Australia, Stephanie Morton dan Simona Krupeckaite dari Lithuania turut terjatuh ketika saingan hanya berbaki 200 meter.
 
Keputusan itu menyebabkan tiada sebarang mata dipungut Fatehah di Manchester kerana penyertaannya dianggap batal.
 
Bagaimanapun rakaman video menunjukkan, Stephanie terlebih dulu berlanggar dengan pelumba Jerman, Kristina Vogel dan terjatuh di hadapan Fatehah yang tidak sempat mengelak lalu terus melanggarnya.
 
Kristina memenangi perlumbaan akhir berkenaan dengan dua pelumba Belanda, Shanne Braspennincx dan Laurine van Riessen meraih tempat kedua dan ketiga.
 
Pasukan negara kendalian John Beasley difahamkan akan mengemukakan rayuan untuk sekurang-kurangnya Fatehah hanya dikenakan tindakan "relegation" bagi membolehkan dia meraih mata pada kedudukan terakhir (keenam).
 
"Amat kecewa kerana sudah mengharungi perjalanan yang jauh dan berjaya mara sehingga ke final. Saya yakin ia bukan salah saya dan saya tidak berpuas hati.
 
"Saya harap apabila jurulatih (Beasley) cuba merayu sekali lagi esok, pihak komisar dapat mengubah fikiran dan sekurang-kurangnya memberikan saya "relegation" untuk sekurang-kurangnya mendapat mata," kata Fatehah.
 
Selepas terjatuh, pelumba CIMB Pro Cycling Team berkenaan bangkit untuk menamatkan perlumbaan. "Saya hanya mengalami sedikit luka. Saya yakin sekurang-kurangnya akan menaiki podium jika tidak berlaku insiden itu," tambahnya.
 
Rakan sepasukannya, Azizulhasni turut kemalangan semasa acara keirin siri pertama Piala Dunia di Poland pada minggu lalu.
 
 

Tiada ulasan: