Ahad, 26 November 2017

PAS gesa kerajaan Pahang jawab isu pembalakan di Merapoh

MALAYSIAKINI
 




Kerajaan Pahang perlu memberikan penjelasan berhubung kegiatan pembalakan di Merapoh, Kuala Lipis, yang kini hangat diperkatakan di media sosial, kata Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Beliau merujuk kegiatan pembalakan di hutan tersebut yang dilaporkan melibatkan kawasan seluas 668.79 hektar berhampiran Gua Hari Malaysia, yang dianggap sebagai 'syurga hidupan liar' di kalangan pencinta alam semula jadi.

"Keindahan alam ini telah dicabuli. Ia dikhuatiri akan lenyap apabila aktiviti pembalakan mula dikesan di kawasan berkenaan sejak bulan lalu.

"Kerajaan Pahang perlu mempertahankan dan mengutamakan khazanah ini yang boleh membawa pendapatan berpanjangan daripada industri pelancongan, berbanding pembalakan yang (mendatangkan hasil) sekali lalu.

"Industri pelancongan dapat menambahkan pendapatan penduduk sekitar manakala pembalakan hanya menguntungkan segelintir yang kaya dan berkuasa," katanya dalam satu kenyataan, semalam.




Terletak berhampiran Taman Negara Pahang, terdapat lapan kampung di sekitar kawasan itu.

Justeru selain menjejaskan kawasan pelancongan, kegiatan pembalakan di sana juga mengancam sumber rezeki penduduk tempatan dan bekalan air bersih yang selama ini dinikmati lapan kampung di sekitarnya.

Memetik laporan Freemalaysiatoday semalam, setakat ini dianggarkan 200 hektar hutan telah ditebang.

"Ramai pelancong membatalkan kunjungan ke sini. Mereka ingat dapat tengok hutan hijau tapi apa yang dapat ialah lumpur, bukit digondol. Malah, jalan masuk ke Gua Hari Malaysia juga rosak teruk," menurut wakil penduduk Sabri Zoo, seperti dipetik.

Presiden Peka Puan Sri Shariffa Sabrina Syed Akil pula mendakwa pihak terbabit tidak memberikan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) kepada Jabatan Alam Sekitar (JAS), selain berlaku juga kegiatan perlombongan emas yang turut mengganggu bekalan air.

Ia disebalik arahan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsuddin kepada Jabatan Perhutanan Pahang agar memantau pembalakan di sana secara menyeluruh, seperti dilapor Berita Harian pada 2 November lalu.




Dalam laporan sama, Pengarah JAS Pahang, Rosli Zul juga berkata pihaknya akan bekerjasama dengan jabatan perhutanan bagi mendapatkan maklumat terperinci mengenai perkara itu, namun pada masa sama berkata EIA hanya perlu jika membabitkan pembalakan berskala besar.

Tuan Ibrahim berkata, PAS menyokong penuh kempen menyelamatkan hutan Merapoh yang dijalankan NGO.

"Apakah hasil pemantauan (jabatan perhutanan)? Apakah berlakunya pembalakan haram, atau lesen diberikan tanpa EIA untuk mengenalpasti apakah khazanah yang ada di sana?

"Atau wujud salah guna kuasa untuk sengaja memecah kawasan pembalakan dan memberi lesen secara kecil-kecilan hanya untuk mengelakkan adanya keperluan untuk EIA?

"Diharap kerajaan Pahang dapat memberikan jawapan dengan kadar segera," katanya lagi.

Tiada ulasan: