Ahad, 26 November 2017

NIOSH lancar buku panduan khas untuk sekolah tahfiz

MALAYSIAKINI



Insititut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH) akan melancarkan buku panduan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) khas untuk sekolah tahfiz di seluruh negara, Januari depan.

Pengerusi NIOSH Tan Sri Lee Lam Thye berkata buku panduan itu antara lain memberi pendedahan mengenai perkara asas berkaitan KKP, program pembangunan kesedaran KKP di sekolah tahfiz dan cara melaksanakannya secara berterusan.

“Pihak NIOSH akan memastikan buku panduan itu mudah difahami agar dapat dilaksanakan dengan baik di semua sekolah tahfiz,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, hari ini.

Beliau berkata bagi menjayakan pelaksanaan KKP, NIOSH akan menganjurkan seminar berkaitan di seluruh negara.

Penerbitan buku panduan itu turut dimaklumkan dalam mesyuarat kedua Jawatankuasa Peringkat Tertinggi (HLC) Pasukan Petugas Khas Sekolah Tahfiz yang dipengerusi Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada Jumaat lepas (24 Nov).

Lee berkata Ahmad Zahid yang juga pengerusi HLC, dijadual akan merasmikan majlis pelancaran buku panduan itu dalam satu majlis khas yang akan diadakan di Bagan Datuk, Perak.

Katanya NIOSH dijemput menyertai HLC Pasukan Petugas Khas Sekolah Tahfiz bagi meningkatkan kesedaran mengenai aspek kelamatan dan kesihatan di sekolah-sekolah tahfiz seluruh negara.

Penubuhan jawatankuasa khas itu susulan insiden kebakaran yang meragut nyawa 21 pelajar serta dua guru pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Datuk Keramat pada 14 Sept lepas.

Lee berkata pada 30 Okt lepas NIOSH telah mengadakan seminar pengurusan KKP untuk sekolah-sekolah tahfiz Selangor di Bandar Baru Bangi yang dihadiri seramai 100 pengusaha dan pentadbir tahfiz.

Beliau berkata pasukan khas NIOSH telah melawat lima kategori sekolah tahfiz yang mewakili pelbagai jumlah pelajar dan status termasuk milik kerajaan, swasta dan persendirian untuk mendapatkan gambaran sebenar operasi pusat tahfiz serta cara mereka menguruskan risiko keselamatan dan kesihatan di tempat kerja. -Bernama

Tiada ulasan: