Isnin, 13 November 2017

'Nelayan mahu kerajaan letupkan bot penceroboh'


Nelayan di Kuala Terengganu menggesa pihak berkuasa menghapuskan bot-bot nelayan asing yang menceroboh perairan Malaysia.

Anggota parlimen Kuala Terengganu Datuk Raja Kamarul Bahrin berkata beliau telah menemui 40 nelayan di kawasan itu yang meminta kerajaan lebih tegas seperti Indonesia yang meletupkan bot penceroboh.

Gesaan itu dibuat berikutan terlalu banyak pencerobohan yang dibuat nelayan asing di perairan laut negara ini serta operasi kerajaan yang dilihat 'tidak bersungguh' dalam menangani isu itu.

"Jumaat lepas, saya telah ke jeti utama nelayan di Pulau Kambing, Kuala Terengganu.

"Saya dapati hampir kesemua yang ditanya (mengenai operasi benteras nelayan asing) memberi komen sinis tentang operasi tersebut dengan menyatakan nelayan warga Vietnam dan bot mereka akan dilepaskan tidak berapa lama lagi serta bot mereka yang dirampas akan kembali beroperasi semula secara haram.

"Nelayan juga kecewa dengan sikap tidak tegas kerajaan yang melepaskan kembali bot yang di rampas dengan mudah sementara pihak berkuasa Indonesia lebih tegas dengan memusnahkannya," katanya dalam satu sidang media di parlimen, hari ini.

Raja Bahrin turut merujuk tangkapan pihak berkuasa yang dilihat aktif menangkap nelayan asing terutamanya daripada Vietnam baru-baru ini di seluruh negara.

Pada 9 November lalu, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dalam jawapan bertulis di parlimen berkata, sehingga 16 Oktober lalu, sebanyak 63 kes penceroboh Vietnam berbanding 39 tangkapan pada tahun lalu.

"Selepas tauke itu datang balik dan bayar denda mereka (pihak berkuasa) lepaskan begitu sahajalah. Jadi mereka denda dua atau tiga ribu adalah kecil. Sekali mereka buat tangkapan laut itu beratus ribu hasilnya," katanya.

Pada 14 Oktober lalu, Timbalan Perdana Menteri Datuk seri Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan pencerobohan dan rompakan hasil laut mengakibatkan negara rugi sehingga RM6 bilion setahun dan mengarahkan pihak berkuasa menanganinya dengan serius.


Tiada ulasan: