Khamis, 16 November 2017

Najib umum pelan 10 tahun pembangunan kaum India

 
'Ini bukan lakonan,' kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengenai Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India yang melibatkan peruntukan lebih RM1 bilion.


mib-1


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak hari mengumumkan pelan tindakan pembangunan masyarakat India, yang pertama kali seumpamanya, seperti yang dijanjikan dalam Rancangan Malaysia ke-11.

Najib, dalam ucapan pelancaran Pelan Tindakan Untuk Masyarakat India di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) hari ini berkata, rangka tindakan 10 tahun ini merupakan hasrat kerajaan meningkatkan kedudukan masyarakat India.

Pelan yang akan mengatur hala tuju 1.7 juta orang India ini melibatkan peruntukan lebih RM1 bilion, dengan penekanan kepada pendidikan, penyertaan dalam perkhidmatan awam dan masalah taraf kewarganegaraan.

“Hari ini bukan kita membuat lakonan,” kata Najib. “Apa yang kita bentangkan ini bukan omong kosong, retorik politik atau ‘vetti pecchu’, sebaliknya ialah ‘nijjam’ atau kenyataan.”

“Pihak sinis akan kata ini hanya pelan, pelaksanaan cerita lain. Saya nak maklumkan pelan ini ada jentera yang jelas. Jawatankuasa eksekutif akan memantau program ini agar ia berjalan dengan efektif.”

Dilaporkan sebuah unit khas di bawah Jabatan Perdana Menteri diketuai seorang ketua pengarah akan melaksanakan pelan tindakan ini, dipantau jawatankuasa eksekutif yang dipengerusikan Presiden MIC Datuk Seri S Subramaniam.

Pelan tindakan khas ini menyusuli pelancaran hala tuju baru agenda Bumiputera, Transformasi Kesejahteraan Bumiputera (TKB) yang dilancarkan minggu lalu.

Menurut laman sesawang pelan tindakan tersebut, kali terakhir rancangan induk untuk masyarakat India dibentangkan pada 1974 tetapi gagal kerana “terlalu samar”.
   Kali ini, pelan tindakan 10 tahun ini memberi perhatian kepada 695,030 orang India dalam kategori B40, iaitu 40% isi rumah terbawah dengan pendapatan bulanan sehingga RM3,855.

Daripada jumlah tersebut, 139,010 keluarga menetap di 38 daerah di 9 negeri dengan pendapatan kurang dariapda RM2,537 sebulan.

“Ia tiada kaitan langsung dengan soal pilihan raya akan datang, kerana saya sudah menjanjikannya ketika Rancangan Malaysia ke-11 pada 2015,” kata Najib.

“Tapi saya tak halang kalau orang India nak sokong BN,” katanya disambut tepukan lebih seribu hadirin yang memenuhi Dewan Merdeka.

Program yang bakal diperkenalkan antaranya:

> RM500 juta bagi skim dana saham di bawah Permodalan Nasional Berhad untuk golongan B40

> Pertolongan khas meningkatkan kemasukan pelajar India ke universiti, kolej dan politeknik kerajaan, sekurang-kurangnya 7%

> Kerjasama dengan Yayasan Pendidikan Indus, melibatkan RM40 juta bagi tempoh 4 tahun bagi menangni masalah kesukaran melanjutkan pendidikan tinggi

> Meningkat penyertaan kaum India dalam perkhidmatan awam pada semua peringkat gred menjelang 2026, sekurang-kurangnya 7%

> Sistem kelulusan khas oleh kementerian dalam negeri bagi membantu golongan India yang lahir di Tanah Melayu sebelum 1957 mendapatkan taraf kewarganegaraan

> Pasukan petugas khas pelaksanaan (SITF) akan dijadikan ‘touch point’ antara kerajaan dan masyarakat India melalui 10 pusat perkhidmatan di kawasan yang mempunyai ramai orang India.

Tiada ulasan: