Sabtu, 11 November 2017

Mangsa banjir yang 'terlepas pandang' di Pulau Pinang


LAPORAN KHAS Ketika Pulau Pinang dalam proses pemulihan pusingan kedua banjir dalam beberapa bulan ini, kerajaan negeri telah menawarkan bantuan wang tunai sebanyak RM500 bagi setiap keluarga.

Ia tidaklah sebanyak mana jika dibandingkan dengan kerugian barang-barang rumah yang bernilai ribuan ringgit yang ditanggung oleh setiap keluarga yang terjejas dengan banjir.


Tetapi terlindung dari pandangan ialah penghuni Taman Senangin, Perai di tanah besar, yang terletak hanya tiga kilometer jauhnya dari jambatan Pulau Pinang, yang mungkin tidak langsung mendapat bantuan kerajaan.

Di ruang tamu yang hanya ada dua sofa tanpa kusyen dan satu meja kopi, pelarian Rohingya, Muhammad Abdul Hassan (gambar) merungut tentang keadaan rumah sewanya.

Dia dan rakan-rakannya yang lain telah membersihkan rumah teres satu tingkat itu dengan bantuan warga Rohingya dan sukarelawan NGO yang lain.

Mereka menjadi satu-satunya sumber bantuan kepada beliau dan pelarian Rohingya lain yang terjejas oleh banjir.

"Kerajaan tidak memberi saya sebarang bantuan," kata Muhammad kepada Malaysiakini.

Kisah bapa tunggal itu tiada bezanya dengan penduduk Pulau Pinang yang lain yang dilanda banjir hujung minggu lalu yang meragut tujuh nyawa.

Banjir telah mencapai paras yang tidak dijangka, menyebabkan kerosakan pada rumah dan memusnahkan perabot dan barangan lain.

Bantuan tunai one-off RM500 itu bertujuan membantu mengurangkan kos pemulihan.

Tetapi Stanley Sudagharan Singh (gambar), pengasas bersama sekolah LifeBridge Learning Centre untuk kanak-kanak Rohingya, melahirkan kebimbangan bahawa bantuan itu hanya akan diberikan kepada warganegara.

Adakah pelarian termasuk dalam program bantuan? Atau adakah hanya untuk warganegara Malaysia?

"Pelarian juga teruk terjejas sepertimana penduduk tempatan yang lain, dan mereka berada dalam situasi kewangan yang lebih teruk, mereka juga harus diberi bantuan RM500," kata Stanley.

LifeBridge adalah salah satu daripada kumpulan yang membantu warga Rohingya di Pulau Pinang pulih dari banjir, antaranya, dengan menyediakan makanan, pakaian dan membantu membersihkan rumah mereka.

Mereka menganggarkan di daerah Prai sahaja, terdapat sekurang-kurangnya 40 keluarga Rohingya yang terjejas akibat banjir hujung minggu lalu.

Namun begitu, Muhammad adalah salah seorang anggota masyarakatnya yang lebih bernasib baik.

Bapa tunggal berusia 35 tahun itu masih kuat dan dengan itu masih mampu bekerja bagi mencari nafkah dan memenuhi keperluannya.

Yang lainnya, seperti Shamsul Muhammad, 27, tidak begitu bernasib baik.

"Saya terjatuh ketika melakukan kerja pembinaan, dan saya terpaksa menjalani pembedahan untuk pasang batang logam di kaki saya.

"Saya tidak boleh bekerja lagi," kata Shamsul, sambil menambah dia tidak bekerja selama tiga tahun.

Isterinya, yang juga warga Rohingya, kini menjadi pencari nafkah keluarga, bekerja sebagai tukang sapu.

Tetapi dengan dua orang anak, termasuk bayi tiga bulan untuk dijaga, Shamsul berkata keadaan mereka hanya cukup makan.

Begitu juga dengan Muthu Rahmat Muthi Rahman yang berusia 65 tahun, yang juga bekas pekerja pembinaan yang dipaksa berhenti kerana kecederaan kaki.


Dia dan isterinya, Shahidah, 52, telah berpindah ke Malaysia sebelum berlakunya krisis etnik antara warga Rohingya denagn komuniti Buddha di Rakhine, dan berhijrah ke sini atas faktor ekonomi.

Kini pasangan itu meneruskan kehidupan dengan menjual barangan runcit seperti kopi segera kepada jiran mereka.

"Kami berjaya menyelamatkan barangan kami semasa banjir dengan mengikatnya pada siling," kata Shahidah.

Namun mungkin masih ada harapan untuk meringankan kesukaran mereka.

Stella Antoniammal Arokia Dass, pengetua sekolah LifeBridge, berkata Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk Pelarian (UNHCR) ingin memberi bantuan kepada warga Rohingya yang terjejas oleh banjir."Tetapi kami tidak pasti apa jenis bantuan yang akan diberikan," katanya.

Tiada ulasan: