Khamis, 23 November 2017

Kembalikan minat pelabur asing, selesaikan segera skandal 1MDB


Roketkini.com

KUALA LUMPUR: Ekonomi Malaysia akan terus terjejas jika skandal 1MDB tidak ditangani dengan segera oleh pihak berkuasa, tegas Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar.

“Skandal 1MDB dan penglibatan pemimpin utama seperti ‘MO1’ telah menjejaskan keinginan pelaburan asing melangkah masuk negara. Akibatnya, ekonomi negara terjejas.

“Keadaan ini tidak boleh berterusan. Kita perlu serius dalam hal menyelesaikan skandal 1MDB untuk kebaikan rakyat dan masa hadapan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut beliau, negara amat bergantung kepada pelaburan asing daripada beberapa negara lain bagi tujuan perkembangan ekonomi.

“Sebagai contoh, lima negara pelabur asing terbesar di Malaysia setakat tahun 2016 adalah seperti berikut; Jepun (RM88.5 bilion), Amerika Syarikat (RM71.9 bilion), Singapura (RM39.2 bilion), Jerman (RM31.2 bilion) dan Belanda (RM21.6 bilion).

“Jika kita tidak membetulkan imej negara, kita akan hilang lebih banyak pelabur asing. Pelabur-pelabur baru juga akan berasa gerun melabur di negara kita,” ujarnya.

Selain insentif kepada pelabur asing, katanya, isu ketelusan pentadbiran negara merupakan antara faktor penting dalam menarik pelabur asing untuk melabur di negara ini.

Katanya lagi, penutupan kilang-kilang milik pelabur asing akan merencatkan pertumbuhan ekonomi negara sekaligus meningkatkan kadar pengangguran dalam kalangan rakyat.

Justeru, beliau yang juga Timbalan Setiausaha Agung DAP menyeru pihak berkuasa negara ini agar dengan segera menyelesaikan siasatan ke atas skandal 1MDB.

“Pihak berkuasa PDRM, SPRM dan Peguam Negara harus menunjukkan sikap neutral apabila melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan demi rakyat Malaysia.

“Hari ini, nama baik institusi-institusi tersebut termasuk Dewan Rakyat tercemar kerana melindungi pihak-pihak yang terlibat dalam skandal besar ini,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: