Sabtu, 25 November 2017

Jika Pengasas PPBM Ditipu, Bagaimana Saya Boleh Yakin Parti Tidak Tipu Rakyat, Soal Anina






Kes ARMADA, sayap pemuda PPBM, yang tidak didaftarkan di dalam perlembagaan parti dan diiktiraf Jabatan Pertubuhan (RoS) merupakan suatu kes yang boleh membuka mata pengundi bahawa wujud suatu bentuk penipuan pimpinan parti kepada ahli-ahli, kata bekas pengasas parti itu, Anina Saadudin.

Menurut Anina, sebelum ini pimpinan PPBM menyatakan hanya sayap pemuda ARMADA sahaja yang berdaftar, sedangkan sayap Srikandi belum berdaftar sebagai justifikasi namanya dikeluarkan untuk mengetuai sayap wanita parti tersebut.

Namun, apa yang berlaku hari ini, kenyataan pimpinan PPBM itu terpesong daripada realiti yang sebenarnya.

“Menurut Setiausaha Agung BERSATU, Datuk Shahruddin Md Salleh, jawatan ketua Srikandi BERSATU secara teknikalnya tidak sah kerana sayap Srikandi belum wujud.

“Malah Timbalan Pengerusi BERSATU, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sendiri memaklumkan kepada saya di hadapan setiausaha agung bahawa pada ketika itu hanya sayap ARMADA (Pemuda BERSATU) sahaja yang baru didaftarkan dan ditubuhkan.

“Semalam saya dikejutkan sekali lagi apabila mendapat tahu bahawa sayap ARMADA sehingga kini masih belum wujud dalam sistem Pendaftar Pertubuhan (ROS)!

“Ini bermaksud, secara tenikalnya majlis angkat sumpah serta perlantikan semua barisan kepimpinan ARMADA BERSATU di peringkat pusat, negeri, bahagian dan cawangan juga adalah tidak sah.
“Kenapa perlu berbohong kepada saya dan ahli ketika itu? Dan berapa banyak pembohongan yang kepimpinan BERSATU nak lakukan terhadap ahli-ahlinya?,”soal Anina dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, jika beliau sendiri boleh ditipu pimpinan PPBM untuk mempercayai sesuatu yang tidak wujud, bagaimana beliau boleh yakin parti tidak menipu rakyat untuk mendapatkan sokongan.

“Jika pengasas-pengasas parti juga ditipu, beritahu saya bagaimana saya boleh yakin bahawa anda tidak akan menipu rakyat.

“Jika dahulu saya diketawakan dan dilabel gila jawatan kerana kononnya tergesa-gesa melantik barisan kepimpinan Srikandi, hari ini dengan kuasa Allah Taala yang maha adil maka Allah telah menunjukkan kepada semua rakyat siapakah yang gila jawatan dengan sesuka hati dan secara semberono mencantas sesiapa sahaja yang mereka tidak sukai untuk mereka terus membohongi rakyat,”katanya lagi

Tiada ulasan: