Ahad, 12 November 2017

Jangan kata “Rasakan! Padan muka kau”…



ISMA WEB
 

Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah

 

Dakwah paling besar dalam sejarah di Malaysia apabila bukan Islam dibawa berlindung di masjid ketika banjir di Pulau Pinang

 

SAYA berasa sangat tersentuh apabila menonton video Ketua Menteri Pulau Pinang merayu kepada TPM (Kerajaan Pusat) untuk membantu negeri itu yang dilanda banjir yang mengejutkan dalam sejarah. Dalam keadaan sebak, beliau bercakap dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada TPM kerana sanggup menjawab panggilan telefonnya pada jam 3.30 pagi.

Alhamdulillah, bantuan segera telah dihulurkan oleh Kerajaan Pusat tanpa memilih bulu.

Inilah sifat negarawan yang selama ini saya nukilkan. Apabila kita dilantik memegang jawatan, sama ada dalam kerajaan negeri atau Kerajaan Pusat, kita adalah negarawan. Kita kepunyaan semua, kepunyaan rakyat, bukan hanya terhad kepada parti politik dan ahli-ahlinya.

Jangan ada yang berkata selepas ini dengan musibah yang menimpa Pulau Pinang dengan kata-kata: “Rasakan, padan muka kau”.

Sifat negarawan sebegini turut dikongsikan oleh Menteri Besar Kelantan. Lantas dengan segera meluluskan peruntukan RM50,000 dan mengerahkan sukarelawan PAS untuk membantu. Apalah nilai RM50,000 pada masa kini. Namun, bukan jumlah yang menjadi sandaran, keikhlasan manusia yang bergelar hamba, yang tidak sanggup melihat sesama saudara mereka menderita menjadi keutamaan.

Saya masih tidak lupa, ketika Kelantan dilanda banjir, ultra kiasu ini datang membantu, diikuti dengan sindiran tajam dan sinis kepada PAS. Negeri Serambi Makkah yang menjunjung Islam pun turut menerima musibah? Terfikir juga saya apakah itu bermakna tidak akan berlaku apa-apa kemalangan di kawasan Kaabah atau Makkah? Apakah kita sudah lupa tragedi kren jatuh di Masjidil Haram pada September 2015?

Ujian Allah boleh berlaku di mana-mana, tidak kiralah sama di kawasan Serambi makkah atau tidak atau di dalam kawasan Kaabah itu sendiri.

Nasib baiklah Menteri Besar Kelantan tidak memulang paku buah keras. Dalam laman sosial PAS, semua perkara baik-baik dilontarkan. PAS sanggup melupakan ‘dendam politik’, bantuan kemanusiaan dikerahkan. Kita adalah sesama insan. Lantas cahaya bulan menyinari di Pulau Pinang.
Saya amat yakin umat Islam di negara ini sentiasa berpegang kepada ibrah yang ditunjukkan oleh Baginda Rasullah SAW Jika dengan Yahudi pun Islam masih boleh berlembut, masalah isu yang sebegini kita masih memilih bulu.

Kita tentu ingat, peristiwa Rasulullah SAW dengan musuh tegar Islam, Yahudi. Apabila mayat Yahudi lalu di hadapan Baginda SAW, tiba-tiba Baginda bingkas bangun sehingga para sahabat terpinga-pinga dan bernyata: “Kenapa kamu bangun Ya Rasulullah, bukankah itu mayat Yahudi, musuh Islam yang selama ini menghina dan merancang membunuh kamu?”. Baginda menjawab; tidakkah kamu sedar bahawa Yahudi juga adalah makhluk Allah. Atas dasar itulah Baginda bangun memberikan penghormatan.

Banyak lagi kisah bagaimana lunaknya Baginda SAW berhadapan dengan musuh-musuh Islam. Atas dasar inilah, pimpinan negara tidak mengambil pendekatan membalas dendam, kerana sifat Islam tidak sedemikian. Malah, air mata mengalir apabila menatap video dan gambar bagaimana umat Islam di sana menawarkan masjid dan surau untuk mangsa banjir berlindung, tidak kira sama ada Islam atau tidak.

Saya lihat ada yang tidak berbaju, berseluar pendek dan berskirt berada dalam masjid. Mereka ini semua saudara sebangsa saya. Inilah dakwah yang paling besar dalam sejarah. Terima kasih umat Islam Pulau Pinang.

Marilah wahai saudaraku, terutama ultra kiasu, buang sifat bongkak, mari kita bekerjasama dalam perkara yang membabitkan kebajikan negara dan rakyat. Jangan terlalu beremosi dengan mengeluarkan kenyataan dan sindiran yang menyakitkan hati.

Misalnya, dalam isu Oktoberfest atau pesta arak yang dikaitkan dengan Taliban. Saya tidak kata, ini adalah balasan Allah kerana kelangsungan Oktoberfest. Tetapi, setiap perkara yang berlaku pasti ada pengajaran tersirat dan tersurat.

Cuma saya ingin mengimbau semula kata-kata ultra kiasu sebelum ini; Pulau Pinang tidak ada masalah dengan arak, sebab kami bukan negara Taliban. Ultra kiasu turut menawarkan sesiapa yang mahu minum arak datanglah ke Pulau Pinang.

Apakah dengan tidak ada label atau istilah Taliban, keadaan akan menjadi lebih baik? Menghalalkan arak yang diharamkan oleh semua agama dikatakan tidak Taliban. Hari ini negeri yang tidak Taliban dilanda musibah. Apakah negeri Taliban sanggup berdiam diri?

Kenapa kita tidak kisah dengan arak, tetapi amat kisah atau mengambil berat mengenai Taliban. Sejak bila Taliban menyusahkan kita. Sejak bila Taliban wujud di negara ini? Sikit-sikit Taliban. Janganlah kaitkan arak dengan Taliban. Kecil sangat isunya. Jika nak kaitkan dengan Taliban, cuba buat perbandingan. Siapa yang lebih kejam berbanding Taliban?

Sesungguhnya tidak ada Taliban di negara kita. Saya masih tidak dapat lupa kata-kata filem Kurbaan yang dibintangi oleh Vivek Oberoi dan Saif Ali Khan apabila memberikan kuliah bertajuk jihad daripada kisah benar. Islam dikaitkan dengan terrorisme, Taliban dan lain-lain istilah negatif yang bercanggah dengan cara hidup Islam. Klik dialog mereka dalam link berikut. https://www.youtube.com/watch?v=Tv4iBGjJbaw.

Begitu juga Peristiwa 911, siapa yang membuat serangan ke atas menara berkembar AS mengorbankan 3,000 nyawa dikaitkan dengan perbuatan Taliban yang tidak dapat dibuktikan sampai sekarang? Jika benar pun perbuatan Taliban, cuba bandingkan dengan berapa pula nyawa umat Islam yang terkorban apabila Agfhanistan dibom oleh kuasa besar?

Lebih 15,000 terkorban begitu sahaja. Itu adalah angka yang konservatif. Mungkin sekali ganda lebih. Kira-kira lebih 50 tan bahan letupan digugurkan ke atas orang awam Islam yang tidak berdosa. Perbuatan Taliban kah semua ini?

Taliban adalah ciptaan CIA AS untuk menentang Rusia, selain untuk memburuk-burukkan Islam dan membolehkan mereka campur tangan dalam hal ehwal negara Islam seperti yang telah mereka lakukan di Iraq. Atas alasan untuk mencari senjata pemusnah di Iraq, maka ia menghalalkan AS untuk campur tangan sehingga memusnahkan sebuah negara.

Berapa ramai umat Islam yang menjadi korban, 500,000, angka konservatif. Apa kuasa besar seperti AS dan Britain respon apabila senjata pemusnah tidak dijumpai di Iraq? Mereka berkata, maaf. Adakah pembunuhan ke atas jutaan manusia yang dilakukan oleh bukan Taliban boleh diterima dengan permohonan maaf. Sehingga kini mereka masih terus menguasai Iraq.

Jika dapat saya lontarkan semula kata-kata seorang sarjana Muslim di German, apabila Islam dikaitkan dengan Taliban dan keganasan. Siapa yang menjadi dalang mencetuskan Perang Dunia I dan II? Siapa pula yang bunuh 20 juta Orang Asli di Australia? Siapakah yang mengebom Hiroshima dan Nagasaki di Jepun hingga menjadi padang jarak padang tekukur?

Siapakah yang membunuh lebih 100 juta orang India di Amerika Utara? Siapakah yang membunuh 50 juta orang Red Indian di Amerika Selatan? Siapakah menghambakan kira-kira 180 juta orang Afrika. Siapa pula yang mencampakkan 88 peratus daripada mereka yang terbunuh ke dalam lautan Atlantik? Adakah semua ini perbuatan umat Islam?

Ini tidak termasuk lagi kekejaman komunis.

The Black Book of Communism, which came out in 1997, estimated that some 95 million people were either killed or made to starve to death in the communist attempt to create an egalitarian paradise on earth. Current research puts the number of victims of communism anywhere between 43 million and 162 million. As such, the original 100 million figure remains a remarkably accurate midway point. It is, also, a figure so large that people may have difficulty comprehending it without additional context. Leaving the (rightly) well-known example of the Holocaust aside, let us look at some other bywords for human cruelty (Marian L Tupy, 2017)

Pernahkah Taliban yang dikatakan dipelopori oleh orang Islam melakukan kezaliman sedemikian rupa? Saya memohon ketua ultra kiasu supaya tidak bersangka buruk dengan Islam. Hari ini, ‘taliban-taliban’ inilah yang datang berbondong-bondong ke Pulau Pinang untuk membantu atas dasar Islam. Mereka membuka surau dan masjid untuk mangsa banjir berlindung. Bantuan Islam merentasi agama, bangsa dan warna kulit.

Ingin saya tegaskan bahawa Islam adalah agama yang indah. Pernah memerintah dua pertiga dunia dengan membawa kebaikan dan rahmat kepada seluruh alam. Bermulanya di Madinah, seterusnya berkembang ke seluruh Tanah Arab, benua Afrika, sebahagian Eropah, Asia Tengah, China dan Asia Tenggara.

Buktinya, pergilah seluruh ceruk rantau, di situ pasti ada orang Islam. Ketika dunia berada dalam keadaan kegelapan (dark ages), dunia Islam bercahaya dengan ilmu sains dan teknologi.

Cahaya ini jugalah yang menyinari Andalusia, Cordoba, Sepanyol suatu ketika dahulu. Kotanya bermandikan nur kasih Islam yang begitu menakjubkan. Sehinggakan masyarakat Eropah berhampiran mengagumi Islam. Mereka datang menimba ilmu dengan ilmuwan Islam dalam pelbagai bidang ilmu pengetahuan.

Tidak ketinggalan, ada yang datang dan sanggup bernaung di bawah kerajaan Islam untuk mengelakkan kezaliman kerajaan Rom dan Parsi. Kenapa mereka begitu mempercayai Islam? Jawapannya mudah. Islam adalah agama hikmah. Islam tidak zalim dan menzalimi. Kedatangan Islam membawa hikmah. Justeru, kurangkan bersangka buruk terhadap Islam. Pasti keberkatan datang menghampiri.

Kenapa hari ini Islam dimusuhi hanya kerana Islam tidak dapat duduk bersama mereka yang engkar terhadap ajaran agama mereka sendiri. Islam mengharamkan arak, agama mereka juga sama mengharamkan. Kenapa Islam dilabelkan dengan Taliban?

Menurut M. Najhan (2017), Islam tidak perlu menempel atau ditempelkan dengan sistem atau isme lain untuk menjadi kuat dan berupaya. Ia tidak perlu diprogresifkan untuk kononnya menjadi lebih berupaya. Ia tidak perlu disekularkan untuk menjadi lebih maju. Ia tidak perlu ditalibankan untuk memberi keberkesanan pada amalinya. Ia tidak perlu didemokrasikan untuk menjadikannya lebih demokratik.

Jika diamati secara mendalam, segala yang ingin dicapai seperti maju, demokratik, berpandangan jauh, bertamadun dan berdaya saing, semuanya sudah ada dalam Islam. Hanya mereka yang jahil Islam sahaja tidak menemuinya, sehingga terpaksa meminjamkannya daripada agama lain dan pegangan lain yang tersasar daripada prinsip Islam.

Pendek kata, Islam tidak pernah bersetuju dengan tindakan Taliban, jika pun benar mereka yang lakukannya. Jika Islam mengharamkan arak, judi, seks bebas dan kemungkaran yang lain, yakinlah bahawa agama lain pun bersependapat. Mana mungkin Islam mengharamkan, agama lain menghalalkan. Jika begitu maksud agama, terlalu hina agama itu.

Justeru, insaflah wahai semua, kita hanyalah hamba. Kita tidak mampu untuk melawan kehendak Pencipta meskipun sehebat mana pun kita. Jangan terlalu bongkak, pasti satu hari Allah akan turunkan ujian untuk kita. Jika di sisi Kaabah, Makkah pun ada ujian, inikan mereka yang tinggal di serambi, apatah lagi yang jauh daripada serambi.



*Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah.Profesor Fakulti Pengajian Umum dan Pendidikan Lanjutan (FUPL). Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)


Tiada ulasan: